5 Tips Mudah Untuk Menjadi Pembersih dan Kemas
Apa itu bersih dan kemas?
Kebanyakan orang suka kepada peribadi manusia yang pembersih dan kemas. Definisi bersih dimaksudkan sebagai tidak kotor manakala kemas adalah sesuatu yang tersusun dengan elok dan bersih serta teratur (Pusat Rujukan dan Persuratan Melayu). Bagi orang-orang yang sudah terbiasa dengan budaya bersih dan kemas adalah tidak sukar untuk meneruskan amalan tersebut. Akan tetapi, bagi individu yang Ttidak biasa berikutan faktor pendidikan ketika kecil menjadikan ciri-ciri orang pembersih dan pengemas sukar untuk ditiru apatah lagi untuk dijadikan amalan hidup.
Kadangkala amalan pembersih dan kemas hanya dapat dilakukan secara bermusim sahaja. Sebagai contoh, ketika menghadiri majlis-majlis istimewa seperti makan malam tahunan, kenduri kendara, perayaan besar, penganugerahan pangkat dan sebagainya. Individu yang tidak pembersih dan kemas kadangkala merasa rendah diri kerana menjadi orang yang tidak berapa disukai. Lebih-lebih lagi jika akhlak juga tidak berapa bagus.
Terdapat beberapa tips yang mudah yang telah saya amalkan untuk menjadi seorang yang pembersih dan kemas. Berikut adalah tips-tips tersebut:
1. Simpan barang yang perlu sahaja.
Ramai orang suka membeli barang. Namun, kita perlu sedar bahawa tidak semua barang kita perlu beli. Kadangkala kita suka membeli barang yang kita sudah miliki dan kita tidak terlalu memerlukannya. Sebagai contoh, barangan dapur seperti periuk dan kuali, pinggan dan mangkuk. Kita sudah memiliki banyak set-set berikut tetapi nafsu kita masih lagi merasa mahu membeli dan membeli lagi.
Penyelesaian untuk orang yang demikian adalah dengan memberikan barangan yang mereka ada yang masih elok kepada orang lain. Jangan simpan perasaan sayang jika barangan tersebut jarang anda gunakan. Lebih baik anda gantikan dengan barang baru anda beli tersebut. Lupakan yang lama dan gantikan yang baru. Anda akan dapati tugas anda untuk mengemas menjadi mudah kerana semua barang yang anda miliki anda gunakan dan anda tahu dimana letaknya barang--barang anda itu.
Barangkali saya boleh masukkan contoh peribadi Nabi kita yang suka memberi nama barang-barang yang dimilikinya. Ini kerana, setiap benda memberi makna. Kita akan lebih menyayangi barangan itu jika kita memiliki nama khas untuknya.
2. Letak sesuatu pada tempatnya.
Sifat adil adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya. Setiap kali kita melakukan sesuatu pekerjaan, pastikan setelah menggunakannya haruslah kita letak pada tempatnya. Bersifatlah adil kepada barang-barang milik anda. Setiap barang memiliki rumah mereka masing-masing. Jika anda tidak meletakkan kembali di tempat asal mereka, ingatkan kepada diri anda bahawa anda telah bersifat tidak adil kepada barang-barang tersebut dan mewujudkan suasana bersepah.
Harus diingatkan, keadaan akan menjadi lebih teratur jika anda seorang yang pandai melakukan susun atur. Kadangkala kita sudah meletakkan barang kita di tempatnya, namun masih lagi kelihatan tidak kemas. Ini kerana gaya susun atur juga mempengaruhi suasana kebersihan dan kekemasan diri dan hidup anda.
3. Jangan bertangguh.
Jika anda berfikir untuk melakukan sesuatu, elakkan untuk menangguhkannya. Setiap pekerjaan yang ditangguh akan menjadikan tugas anda menjadi semakin banyak dan pada akhirnya anda tidak akan mampu lagi untuk menyelesaikannya semua pada satu masa yang sama.
Contoh mudah yang saya boleh berikan ialah, baju yang telah dibasuh. Kita malas untuk terus melipat dan menyusun di dalam almari baju-baju tersebut. Hal ini akan dilalui lebih-lebih lagi orang yang bekerja. Pekerjaan melipat baju memerlukan kita untuk fokus pada sehelai demi sehelai baju yang kita perlu lipat. Apabila kita malas, baju tersebut akan menjadi semakin banyak dan kita akan menjadi lebih malas lagi kerana melihat banyaknya pekerjaan yang harus diselesaikan.
Saya nasihatkan untuk melakukan pekerjaan yang sedikit daripada menangguhkan sehingga ia menjadi banyak dan sukar untuk diselesaikan. Cuba tanamkan dalam diri anda supaya tidak melakukan pekerjaan dua kali. Latih diri anda untuk terus menyelesaikan kerja yang harus anda selesaikan pada masa itu juga dan tidak perlu untuk diulang kembali.
4. Cara fikir (Mindset)
Kita selalu menyangkakan sesuatu perkara itu sukar padahal kita tidak melaluinya lagi. Ini kerana cara fikir membentuk sikap kita. Fikiran kita adalah apa yang akan kita laksanakan. Mustahil pemikiran yang negatif akan menghasilkan perilaku yang positif. Saya akui merubah mindset juga sukar. Namun, sesuatu perkara akan menjadi kebiasaan dengan cara kita melatihnya.
Fikiran kita akan berubah berdasarkan maklumat yang kita ada. Maklumat menghasilkan kepercayaan. Kepercayaan mungkin boleh disamakan sebagai prinsip hidup yang kita pegang. Prinsip hidup seseorag biasanya akan berubah seiring dengan perubahan maklumat yang diperolehi. Semakin meningkatnya usia sepatutnya pengetahuan kita semakin bertambah dan prinsip hidup juga seharusnya berkembang menjadi lebih baik.
5. Allah suka kepada orang yang membersihkan diri.
Dosa adalah satu kotoran yang terletak di hati manusia. Membersihkan diri daripada dosa adalah amalan yang dapat meninggikan darjat kita disisi Allah. Begitu juga perumpamaan yang kita boleh samakan dengan sifat bersih dan kemas. Kebersihan akan menghasilkan keindahan. Ia berjalan seiring. Sebelum kita menyembah Allah kita haruslah membersihkan diri dengan berwuduk. Syaitan pula suka kepada kekotoran. Selain itu, kekotoran boleh menimbulkan kepada banyak penyakit.
Kesimpulan
Sebenarnya menjadi individu yang pembersih banyak kelebihannya. Selain kita boleh meningkatkan keyakinan diri, kita juga lebih menghargai diri sendiri dengan menjadi orang yang bersih dan terurus. Suasana yang bersih dan kemas dapat menimbulkan perasaan yang damai dan tenang.
Kesimpulannya, membentuk sikap yang bersih dan kemas adalah tanggungjawab individu tersebut. Orang lain tidak mampu untuk mengubah diri kita jika kita sendiri tidak mahu mengubah sikap kita sendiri. Memulakan habit positif yang baru tidaklah mudah jika tidak ada keinginan dan azam yang kuat.
Sumber gambar: Google Images