top of page

Jadikanlah aku insan yang lebih baik

Manusia memang dijadikan bersifat lemah dan tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Tidak ada insan yang bersih dan suci daripada melakukan dosa. Hanya malaikat sahaja yang tidak berbuat dosa kerana kejadiannya hanyalah untuk kebaikan. Manusia istimewa kerana mempunyai kelebihan untuk membuat sendiri pilihan terhadap hidupnya samada untuk melakukan kebaikan atau sebaliknya. Kebebasan untuk bertindak. Al-Quran dan al-Hadis adalah panduan untuk manusia memimpin akalnya untuk melakukan kebaikan dan perintah yang seiring dengan tuntutan penciptanya. Rasulullah pula adalah manusia yang dipilih untuk menjadi guru dan contoh teladan untuk diikuti.


Normalnya manusia akan sentiasa diasak oleh bisikan syaitan supaya melakukan kejahatan yang boleh menyeretnya kedalam neraka. Oleh itu, mempertahankan diri daripada godaan itu perlulah diketahui bagaimana caranya. Iman yang kuat dapat menangkis godaan syaitan walau bagaimanapun hebatnya. Iman yang lemah akan mudah goyah dan jatuh ke lembah dosa yang menghinakan dirinya. Untuk meningkatkan iman perlulah dengan ilmu. Dengan mengetahui selok belok perkara yang memudahkan kita untuk bermaksiat membolehkan kita cuba menghindarkan diri dan menahan diri daripada terjebak dengan perbuatan dosa. Sifat takut kepada Allah adalah lahir daripada ilmu terhadap hakikat ketuhanan itu sendiri.


Manusia tidak boleh semata-mata yakin akan perbuatan baik yang dilakukan akan melorongkannya ke dalam syurga. Perlulah menyedari bahawa manusia adalah insan yang penuh dengan kelemahan. Sifat santun yang harus dipelihara terhadap pencipta adalah dengan merasakan bahawa kekuatan untuk tetap istiqamah dengan kebaikan adalah hasil daripada anugerah daripada Allah tidak semata-mata daripada kudrat diri sendiri. Manusia tidak pernah mampu untuk mengawal dirinya melainkan akhirnya Allah jualah yang menentukan gerak laku diri manusia. Namun begitu, jika kita merasakan bahawa kerana perbuatan kita sahajalah yang menjadikan kita mampu untuk berbuat baik maka saat itulah kita telah menjadi sombong terhadap Allah.


Setiap hamba yang melakukan dosa jika masih terdapat saki baki keimanan, pasti akan rasa menyesal dan benci terhadap perbuatan dosa yang dilakukan tersebut. Kadangkala merasa tidak mampu lagi menanggung beban perasaan terhadap dosa tersebut. Syaitan yang menjerumuskan kita ke lembah kehinaan dan menghilangkan kepercayaan terhadap pengampunan daripada Allah. Putus harapan terhadap rahmat dan kasih sayang Allah adalah sesuatu yang diidam-idamkan oleh syaitan. Putus asa adalah sama dengan hilang harapan dan keyakinan terhadap Allah Taala. Inilah sebesar-besar perkara yang harus kita pelihara kerana jika hilang rasa yakin dan berharap terhadap keampunan Allah maka saat itu, kita sudah hilang iman terhadap Allah. Kita sudah tidak merasa penting untuk menjadi seorang muslim yang harus sentiasa berusaha untuk mengawal diri yang menjauhi dosa.


Berdoalah!


Sabarlah!


Dan


Terus berdoa dan bersabar dengan diri sendiri. Bahawa menjadi insan yang bertaqwa itu tidak mudah. Jangan putus asa, jangan putus asa dan janganlah berputus asa. Teruslah berjalan. Jangan berputus asa dari rahmat Allah. Jangan berputus asa daripada mengharapkan keampunan Allah. Janganlah bersedih, sesungguhnya Allah ada bersama kita sentiasa.


Pegang harapanmu erat-erat. Peluklah dirimu sendiri. Kerana tidak ada sesiapa yang akan mampu memelukmu untuk seumur hidupmu. Hanya dirimu sahaja yang memiliki dirimu. Pilihan untuk kau terus berjuang ada ditanganmu. Berjuanglah dan berdoalah untuk kekuatan perjuangan itu daripada pemilik dirimu. Allah sentiasa ada untuk mendengarkan doa-doa kita.


Sekian,

Wallahualam..


SENARAI POS :
bottom of page