top of page

SA’OM

Namaku Cipu. Entah kenapa aku dipanggil Cipu. Padahal namaku indah. Siti Fauziah. Fauziah dan Cipu bukankah sangat jauh bezanya? Entah, tapi itulah namaku. Nama timangan. Di sekolah, aku juga mempunyai julukan popular. Ogy. Bukanlah ia diambil sempena kartun Ogy dan Coacroach. Tapi kerana Fauziah dan Ogy itu mempunyai sedikit persamaan. Menurutku lebih mudah memanggilku Ogy dari Fauziah yang kelihatan sangat klasik itu.


Aku insan biasa saja. Adik beradikku ramai, Sembilan orang dan aku anak yang kelima. Anak yang tengah. Atasku semua lelaki dan adik bawahku semua perempuan. Adil. Aku merupakan anak kampong. Tinggal di sebuah rumah kayu yang bertiang tinggi. Semasa kecil, aku bersekolah dengan menaiki basikal. Aku menaiki basikal kerana tidak muat motor bapaku untuk membawa empat orang anak ke sekolah sekaligus. Maka, aku dan abangku terpaksa mengalah. Bukan mengalah sebenarnya, tetapi bapaku yang membelikan kami basikal dan kami tidak mempunyai pilihan lain selain menuggangnya juga. Katanya, kamu berdua sudah besar, perlu belajar berdikari. Berdikari dengan pergi ke sekolah sendiri. Maka akupun gembira bukan kepalng kerana telah mendapat basikal baru. Namun, kegembiraanku sirna apabila melihat basikal yang dibeli oleh bapaku ialah basikal tua. Tapi aku tidak berani protes, kerana bapaku garang. Lagipun, jika aku protes, aku tetap perlu menunggang basikal ini. Menginginkan bapa akan menukar basikal yang lain itu hanyalah sekadar aku bermimpi di siang hari!


Bercampur baur perasaanku. Antara gembira, tidak puas hati dan malu. Semua ada. Gembira kerana tidak perlu menunggu lama untuk pergi dan pulang dari sekolah. Maklumlah, perlu menunggu giliran. Aku tidak berpuas hati pula kerana basikal itu besar dan kategori basikal tua pula. Aku mahu basikal racing!. Basikal yang boleh ditukar-tukar gearnya itu. Malu, kerana kakiku tidak sampai untuk memijk pedal. Walaupun sudah darjah lima, namun ketika itu aku pendek. Badanku kecil. Pasti kawan-kawanku akan mengejek melihat punggungku menjadi senget kekiri dan kekanan ketika mengayuh basikal tua itu. Ah, pedulilah semua itu. Janganlah dihiraukan bersangatan kata-kata orang.


Namun, perkara yang selalu menerawang difikiranku ketika aku memperoleh basikal ini adalah, aku merasa selamat dengan menunggang basikal. Selamat kerana jika aku bertemu dengan Sa’om, aku boleh mengayuh basikal ku laju-laju. Sa’om pasti tidak akan dapat mengejarku. Aku pernah ada pengalaman dikejar Sa’om. Ketika itu aku berjalan kaki pulang ke rumah. Kerana tak sabar menunggu bapaku yang sering lambat menjemputku di sekolah. Aku berjalan beramai-ramai bersama adik dan abang-abangku. Nasib kami tidak baik, dalam perjalanan kami bertemu Sa’om yang merayau-rayau di kebun seberang parit. Saom menunjuk-nunjuk kami dengan jari telunjuknya, matanya terbeliak dan mulutnya mengomel-ngomel. Terkejut beruk kami dan terus lari seribu langkah. Padahal, Sa’om hanya mengejar kami dari seberang parit. Kami memang sudah kecut perut, jauh berapa batu pun tetap akan rasa takut. Syukur kami semua selamat apabila Sa’om sudah tidak mengejar kami lagi. Termengah-mengah dia melihat kami dari jauh anak-anak sekolah rendah ini yang masih tetap berlari ketakutan seperti gayanya Watson Nyambek.


Bukan apa, takut kami bersebab. Kerana Sa’om itu orang gila! Mana tahu diapa-apakannya kita. Siapa yang mahu menanggung? Sudah lama Saom itu gila. Aku rasa sebelum aku lahir, Sa’om itu sudah menjadi orang gila. Pernah aku tanya bapa, kenapa Sa’om gila? Aku ingat aku tidak pernah mendapatkan jawapan kepada persoalan itu dari bapa. Aku hanya berjaya mendapatkan jawapan itu dari Emak. Emak memberitahuku, dahulu Sa’om itu seorang anak muda yang sangat bagus, kemas, pandai dan kacak. Sa’om sangat menjaga kekemasan penampilannya itu, di poket seluarnya sentiasa tersisip sikat. Mana tahu kalau-kalau rambutnya ditiup angin kuat ketika menaiki bas, bolehlah disisirkanya semula. Maka ramai anak-anak dara yang tergila-gilakannya. Kebanyakannya hanya tergila-gila dalam diam. Cakap belakang-belakang. Eh Sa’om itu begitu dan beginilah. Dia akan menampar-nampar pula bahu temannya kerana malu ketahuan bahawa dia peminat Sa’om. Dia tidak mahu mengaku, padahal memang nyata dia suka!


Oleh kerana kelebihan itu maka seringlah Sa’om menerima surat cinta dari anak gadis. Tak kurang ada bapa gadis yang tidak segan silu menjadi wakil “perigi mencari timba” anak gadisnya. Sa’om orangnya bagus, siapa pun pasti mahu dan suka. Tapi semuanya ditolak. Ini kerana, dia sudah ada pilihan hatinya sendiri . Nama gadis itu Saodah. Saodah itu anak gadis yang pemalu dan baik. Saom jatuh hati ketika pertama kali berselisih di stesen bas. Saodah gadis yang sopan. Tak pernah matanya meliar memandang-mandang lelaki. Jalannya menunduk saja. Maka itulah peribadi yang menambat hati Sa’om. Maka dipinangnya Saodah. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Saodah pastilah terima! Maka diikatlah tali pertunangan antara mereka. Bergembiralah keluarga kedua-dua belah pihak dengan pertunangan itu.


Namun, ramai juga yang tidak gembira. Meranalah anak-anak gadis yang cinta dalam diam terhadap Sa’om. Bukan setakat tidak gembira dan merana jiwa, tetapi bertukar menjadi dendam. Itulah yang terjadi pada Rubiah yang cinta mati terhadap Sa’om. Cintanya terhadap tak didiam-diamkannya. Malah sering dijaja-jaja kepada semua orang. Memang dia cantik menawan. Jelita sekali. Tapi lidahnya tidak bertulang. Berkata sekadar berkata. Tak fikir baik dan buruk. Banyak yang buruk dari yang baik. Tersematlah dendam di dalam hatinya ketika cintanya ditolak mentah-mentah oleh Saom. Dia malu menjadi seorang Rubiah kerana dia tewas terhadap Saodah yang dianggapnya sebagai gadis yang lembab dan bodoh. Padahal bukan bodoh dan lembab, tetapi adalah orang yang berfikir sebelum bertindak. Tidak melulu seperti dia itu.


Sudah berapa kali dia memujuk Sa’om. Jejaka itu tetap kebal dengan pujuk rayunya. Sudah berbelas-belas kebaya Saloma ditempahnya khusus untuk menggoda Sa’om, namun semuanya hampa. Sa’om tidak tertipu dengan badan yang cantik menggoda. Kerana manusia yang cantik akan sentiasa kelihatan hodoh jika perangainya hodoh. Maka, disihirnyalah Sa’om sehingga dia menjadi gila. Begitulah sorotan sejarah bagaimana Sa’om menjadi gila yang kudapatkan dari Emak. Sa’om bukan gila biasa-biasa. Tapi gila yang berbahaya. Tambahan cerita emak, dan cerita itu buat aku bertambah gerun terhadap Sa’om. Emakku bilang Sa’om itu telah membunuh ayahnya. Waktu itu penyakit gilanya memuncak. Dihentam kepala bapanya dengan batang kayu sekuat hati. Aku pun tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan itu. Sungguh mengerikan. Sa’om itu sudah sering ulang alik hospital sakit jiwa. Sa’om akan dimasukkan ke hospital jika keadaannya tidak boleh dikawal dan membahayakan keselamatan orang lain. Jika dia sudah tenang dan tidak agresif, dia dikeluarkan dari hospital. Begitulah hidup orang gila. Tidak ada tempat yang sesuai lagi untuk didiami olehnya.


Aku sering tertanya – tanya kepada diri sendiri. Sa’om itu orang yang gila. Tidak boleh mengurus diri. Makan minum entah di mana-mana. Tidur entah di mana. Tapi umurnya panjang. Tidak sakit dan tidak demam. Dia boleh ulang alik ke pekan. Entah dengan siapa, kadangkala menaiki bas. Sa’om membayar tambang bas juga. Dia bayar RM2. Dari mana dia dapat duit? Dari peras ugut orang. Sa’om akan meminta kepada orang-orang yang dia bertemu di jalanan. Ayatnya mudah saja, dua ringgit! Selalunya akan diberi juga oleh orang tanpa banyak songeh. Barangkali takut Sa’om bertindak kasar jika tak diberi duit. Malas mahu banyak karenah, diberinya saja RM2 itu. Tak luak pun poket dengan nilai RM2. Yang penting Sa’om tidak mengganggu. Pernah, ketika aku dan kakakku mahu ke pekan dengan menaiki bas. Tiba-tiba bas itu berhenti dengan mengejut. Terdorong kami kehadapan. Rupa-rupanya Saom yang menahan bas itu. Apabila dia masuk kedalam bas itu, diberinya RM2 yang ada ditangannya. Orang gila juga tahu halal haram menaiki bas! Dia mahu membayar tambang juga. Pemandu itu tidak mahu menerima. Katanya tidak apa. Lalu Saom bercakap keras, Bodoh!. Aduh, pemandu bas itu dibodohkan oleh Sa’om kerana tidak menerima duit tambang. Siapa yang sebenarnya bodoh? Aku tidak mahu campur urusan dengan orang gila.


Pernah adikku bercerita kepadaku, sewaktu dia pulang dari kedai, dia terlihat Sa’om dicelah-celah semak samun di jalan lama kampung. Terbongkok-bongkok Sa’om. Adikku tertanya-tanya. Apakah yang dilakukan Sa’om sehingga terbongkok-bongkok sedemikian rupa. Apabila basikalnya sudah berada agak hampir dengan kawasan Sa’om itu berada, rupanya Sa’om sedang tercirit! Kasihan. Ditekan-tekan perutnya. Mukanya berkerut-kerut seribu. Sa’om juga manusia, ada masa dia perlu melabur. Namun yang tidak senonohnya Sa’om melabur di tepi jalan orang lalu lalang. Tapi dia tidak boleh dipersalahkan kerana dia memang orang gila. Hanya orang yang gila sahaja yang melabur merata-rata! Tergeleng-geleng kepalaku mendengarkan ceritu itu. Geli campur kasihan.


Menurutku, dalam beragam sikap dan perangai gila Sa’om, ada satu peribadinya yang sangat bagus. Sikap yang ada pada kebanyakan orang gila seperti Sa’om barangkali. Sikap tersebut adalah jiwa merdeka. Sa’om bagiku adalah orang yang merdeka. Kenapa pula? Kerana bagiku Sa’om hidup dengan bebas sebebasnya. Tidak ada perkara yang ditakutinya. Dia tidak takut sakit. Dai tidak takut dimarahi orang. Dia tidak tahu malu. Dia tidak pengecut. Dia tidak takut lapar. Dia tidak takut dilanggar mati oleh orang ketika melintas jalan. Dia tidak takut apa-apa! Pernah terdetik di dalam hatiku, Sa’om tidak takut kepada tuhan jugakah? Orang gila tidak berakal, usahlah dicampurkan hal-hal tuhan segala! Aku membenarkan kata hati kecilku sendiri.


Pernah aku memberitahu kawanku, Huda namanya. Aku kata seronok sekali menjadi orang gila kerana orang gila akan masuk syurga. Tidak perlu dihitung amalannya. Seperti kanak-kanak yang mati sebelum dia mencapai akil baligh. Semua perbuatannya dimaafkan kerana dia berbuat semua perkara tanpa menggunakan akal yang waras. Orang tidak berakal tidak berdosa! Tapi kawanku Huda pula menjawab begini, engkau mahu menjadi gila boleh. Syaratnya aku perlu sanggup untuk tidur di mana-mana saja. Kadang-kadang tak usah berpakaian, rambut kusut masai, badan bau hapak dan gigi kuning berkarat. Tak ada orang mendekat. Sanggupkah? Oh, rasanya aku tidak sanggup! Lebih baik menjadi seperti sekarang. Berakal waras dan tidak gila seperti Sa’om yang melabur pun ditunjuk kepada orang! Tapi, hati kecilku mahukan syurga. Padahal nyata sekali syurga bukan percuma. Harganya adalah menjadi gila! Gila sekali idea mahu menjadi gila ini. Tidak pernah difikirkan orang kecuali aku.


Merdeka Saom tentu tidak sejujur menjadi merdeka yang sejati. Merdeka Saom adalah pentingkan tubuh sendiri. Hanya dirinya sendiri yang merdeka. Sedangkan, orang lain tidak merasa itu adalah kemerdekaan jiwa yang sejati. Bukankah bagus jika orang yang berakal waras mempunyai sebahagian sikap kemerdekaan yang ada pada Sa’om itu. Tidak takut dicemuh orang jika diri benar. Tidak takut jika lapar dan haus jika yakin Allah jua yang memegang rezeki. Tidak takut tertimpa sakit jika yakin Allah jua yang memberi ubat. Berkata terang. Apa yang terbuku di hati itulah yang dilancarkan di mulut. Terang, jelas dan nyata. Mudah kata, jujur! Alangkah sempurna sekali peribadi merdeka yang sejati itu. Masih adakah di zaman ini? Tentu! Hanya dua perkara saja alat yang boleh menyempurnakan kemerdekaan Sa’om itu. Iaitu akal dan kejujuran!


Sa’om, dia tidak pernah berbohong terhadap orang yang dia benci. Dia tidak menyimpan perasaannya jika dia bertemu dengan orang yang dia tidak suka. Dia akan terus melengking marah sesuka hatinya. Dia tidak diam. Padahal orang yang diam sering saja berbohong. Malah kadangkala orang yang diam itulah yang lebih banyak berbohong. Diam ketika melihat perkara yang mungkar dihadapan walaupun tahu itulah kebohongan yang nyata! Berbohong terhadap hati kecil yang mahukan kebenaran tegak. Ramai yang suka beramal dengan iman yang selemah-lemahnya iaitu hanya berani mencegahnya dengan hati. Kerana tidak dapat meniru satu sikap yang ada pada peribadi Sa’om iaitu tidak pengecut! Berkata benar walaupun ia pahit mahupun berbahaya kepada diri sendiri! Alangkah permainya dunia jika ramai orang tidak beramal dengan amalan pengecut ini. Sikap inilah yang sering menjadikan negara tergadai ataupun gulung tikar. Kerana apa? Kerana orang merasa pengecut untuk menegur pemegang amanah negara dari menggelapkan duit rakyat! Itulah sikap yang suka bermuka-muka dan tidak merdeka!


Memang berkata itu mudah. Berdegar-degar berucap bahawa kita harus menjadi seperti begitu dan begini. Beramal dengan ucapan itu tidak ramai yang sanggup. Apalagi mahu tekun dan iltizam untuk beramal. Sa’om saja yang sanggup! Kerana dia tidak mempunyai kepentingan apa-apa kecuali untuk dirinya sahaja. Dunianya luas, fikirannya bebas, dia tidak memenjarakan dirinya dengan pangkat gaya dan kebendaan serta omongan orang. Dia tidak hidup dalam persepsi. Dia hanya yakin menjadi diri sendiri yang gila, bebas, miskin dan hina. Dia gila, tetapi disisi Tuhan dia mulia. Dia tidak takut menegur orang walaupun dengan teguran yang kasar. Orang yang tidak mahu menolong orang lain akan diberinya ajar. Contohnya ketika mana dia mahu menumpang kenderaan orang, ditahan mana-mana kenderaan yang lalu dihadapannya. Kalau orang itu berat tulang mahu menolong akan diajarnya dengan dilempar dengan batu. Jika tidak mahu cermin kereta dan lori pecah atau kepala menjadi benjol, maka tolonglah jika Sa’om meminta tolong. Sa’om mendidik juga tetapi dengan cara memberi ancaman. Maka, ramailah orang-orang kampung yang sudah terdidik mindanya dan faham bahawa jika melihat Sa’om mendepangkan tangan di pinggir jalan hendaklah berhenti dan tolonglah dia. Dengan itu, tidaklah diapa-apakan orang itu. Jika bernasib baik, dihulur juga oleh Sa’om wang upah sebanyak seringgit dua. Itukan bonus namanya. Kerana orang yang merdeka tidak akan menolong untuk mendapatkan imbalan! Bukan begitu?


Beberapa tahun berlalu. Aku sudah tidak sering-sering berada di kampung halaman. Aku hampir melupakan kewujudan Sa’om di dalam hidupku. Entah bagaimana keadaan Sa’om sekarang. Satu hari, ketika aku berada di kampung sempena cuti hari raya aku duduk di ruang dapur bersama adik bongsunku. Tiba-tiba adikku yang sedang duduk di tangga meluru naik dengan wajah cemas dan takut. Aku pun turut merasa cemas melihatnya dan bertanya kenapa. Adikku berkata bahawa ada Sa’om yang sedang berlegar-legar di kawasan kebun belakang rumah. Segera dikuncinya pintu dapur takut kalau-kalau Sa’om itu mahu masuk kedalam rumah. Bahaya besar akan menimpa kami! Aku mengintai dicelah-celah tingkap. Oh, masih hidup lagi rupanya orang gila ini. Masih dengan gaya berjalan yang lama. Masih kelihatan tidak siuman. Masih gila! Namun, aku dapat melihat satu perbezaan yang sangat ketara pada Sa’om. Bahawa dia telah tua. Aku dapat melihat dengan jelas garis-garis tua di wajahnya, kulitnya yang semakin berkeriput dan rambutnya yang sudah semakin memutih. Berapa puluh tahun agakanya umur Saom itu. Aku berkira-kira barangkali umurnya sudah menginjak 50 tahun. Sudah lama sekali, namun masih tetap sihat dan masih lagi kuat untuk berjalan sekeliling kampung. Sa’om sudah kelihatan agak kurus. Jalannya juga sudah sedikit perlahan. Jika dia mengejar, masih sempat untuk melarikan diri. Sungguh kasihan aku melihatnya.


Antara perkara yang aku hairankan ialah bagaimana Sa’om hidup dengan pakaian yang sentiasa bertukar ganti. Jarang-jarang pakaiannya sama setiap hari. Selalu akan bertukar. Walaupun tidak baru tetapi ia kelihatan bersih. Siapakah yang baik hati itu? Setahuku semua ahli keluarganya telah membuangnya. Siapakah yang tulus dan merdeka jiwanya itu? Yang membantu tanpa mengira jenis orang. Tidak kisah samada manusia itu gila atau waras! Asalkan gelarannya manusia akan tetap dibantu. Dalam diam aku mengagumi insan-insan yang telah beramal terhadap satu perbuatan yang tidak akan diberi penghargaan oleh orang yang dibantunya itu untuk selama-lamanya. Sa’om tidak akan tahu untuk membalas budi orang terhadapnya kerana makna budi itu dia sendiripun tidak faham. Kerana dia gila. Benarlah setiap manusia itu ada malaikat yang memeliharanya. Sa’om, ada yang menjaganya. Jika tidak, mustahil dia dapat hidup sendiri sebegitu lama. Seribu kali aku bersyukur kerana menjadi aku yang tidak gila dan waras untuk sentiasa memperbaiki diri menjadi manusia yang merdeka jiwanya dan masih sentiasa dipandu dengan akal dan iman. Mudah-mudahan satu hari nanti aku akan dikumpulkan bersama-sama dengan Sa’om disyurga setelah kami meninggal dunia nanti. Kerana orang gila itu tidaklah berdosa!


Sekian. Hanya Allah Yang Lebih Mengetahui.


Sumber gambar : Google.





SENARAI POS :
bottom of page