top of page

Hidup Adalah Kenangan


Risalah Iman dan Solat


Badiuzzaman Said Nursi di dalam risalah iman dan solat ada memberikan analogi tentang kehidupan dunia. Manusia boleh membuat pilihan samada untuk melihat dunia sebagai medan ratapan dan penuh dengan penderitaan ataupun sebagai medan zikir dan menganggap kematian adalah satu pelepasan tugas. Hidup dianggap sebagai penderitaan kerana melihat dunia dengan cermin yang sempit dan hanya mementingkan diri. Sedangkan, pihak yang satu lagi tidak melihat dunia sebagai tempat yang penuh dengan kejahatan sebaliknya adalah tempat yang penuh dengan keindahan dan segala perkara yang menakjubkan.


Hidup adalah perjalanan untuk menciptakan kenangan. Masa lalu adalah bayangan yang tidak akan kembali. Hanya akan dirasai dan disentuh dengan fikiran juga hati. Benar, hidup adalah kenangan. Setiap manusia yang kita temukan, jarang untuk ada selamanya dengan kita. Satu persatu kita terpaksa meninggalkannya atau dia yang terpaksa meninggalkan kita kerana kita tidak bebas dari ikatan masa. Masa adalah usia. Semakin lama, masa kita semakin pendek.



Tiada Yang Selalu Kekal Bersama Kita


Tidak akan ada sesiapa yang mampu untuk selalu ada bersama dengan kita. Kerana hati kita adalah punya kita sendiri. Orang tidak akan dapat merasa hati kita walaupun dia ada. Walaupun dia cuba untuk mendengarkan suara hati kita. Kerana lapisan hati kita yang paling dalam hanyalah punya kita sendiri yang tidak ada orang lain yang mempu untuk memahaminya melainkan pencipta hati itu sendiri.



Raja di Usia Kecil


Ketika kita kecil, kita selalu ada bersama dengan ibu kita. Jika ibu kita pergi sebentar sahaja, menangislah kita. Tidak boleh lepas. Siang dan malam di dalam dakapan atau dukungan ibu. Kadangkala, ayah kita pula yang menjaga kita. Kesana kemari kita dibawanya. Tidak akan dibiarkannya kita sendiri kemana-mana. Kitalah raja mereka. Semua urusan kita akan dilakukan oleh orang lain tanpa ada duit kita untuk membayarkan perkhidmatan. Hanya dibayar dengan rengekan dan tangisan. KIta lapar, makanan disuakan kemulut terus, kita mahu minum, air disuakan pula, kita mahu mandi. diangkatnya kita terus ke bilik air. Sempurna, segalanya tersedia. Kita semua adalah raja ketika bergelar bayi. Memegang takhta istimewa.



Medan Persekolahan


Kemudian, kita membesar dan mula bersekolah. Kita sudah pandai bermain. Waktu itu kita akan mula berkawan. Tidak kira dengan siapapun. Sri sewaktu kecil ramai kawan. Kawan Sri adalah sepupu-sepupu Sri yang tinggal berdekatan dengan rumah Sri. Disekolah, SRI bertemu pula dengan kawan-kawan lain. Sekarang sekolah tadika itu sudah tidak ada lagi. SRI masih ingat lagi, ketika Mu'allimah (cikgu) menyuruh Sri untuk makan ubat cacing. Sri tidak suka tapi terpaksa juga makan. Entah kenapa Sri tidak suka bersekolah waktu itu. Hanya seminggu sahaja barangkali Sri bersekolah di tadika tersebut. Selebihnya Sri hanya berada di rumah dan bermain bersama adik-adik Sri.


Setelah itu, bermulalah sesi persekolah Sri di sekolah rendah. Entah mengapa pada masa itu, Sri memang semangat benar untuk ke sekolah. Tidak perlu ada ibu dan ayah untuk menghantar Sri. Sri ingat, Fatimah sepupu Srilah yang menghantar Sri ke kelas. Sri ada rasa takut, tapi masih tetap mahu sekolah. Maka, ramailah lagi kawan-kawan baru Sri temukan. Ada kawan yang sudah Sri kenal ketika Sri di tadika dan yang lain ramai lagi yang tidak Sri kenal. Kebanyakannya kerana mereka dari kampung yang berbeza. Sri berkawan dan ada dari kalangan mereka yang menjadi sahabat karib Sri.



Menyimpan Kenangan


Sekolah itu banyak sekali menyimpan kenangan Sri. Kenangan manis semuanya. Ada kelakuan yang baik dan tidak yang telah Sri lakukan. Enam tahun lamanya bersekolah di situ. Kawan-kawan sudah seperti adik beradik kerana sudah terlalu lamanya berkawan.


Kerana masa itu berlalu, kita tidak selamanya akan menjadi kanak-kanak. Sekarang sudah tiba masanya untuk kita beralih ke usia remaja, Meningkat remaja bererti kita harus bersekolah menengah. Sri pindah lagi ke sekolah yang baru. Kali ini lagi ramai kawan-kawan yang Sri tidak pernah kenal. Muka-muka baru dan terasa sangat asing ketika kali pertama bertemu. Sekolah dan guru-guru juga lain. Namun, lamanya masa kita luangkan ketika di sekolah baru itu membuatkan memori kita merakam satu demi satu nama dan peristiwa di situ. Kita sudah tidak menjadi orang baru lagi disana bahkan kita menjadi sebahagian dari sekolah itu. Setiap lorong-lorong di sekolah itu Sri ingat dan tidak akan pernah tersesat.


Habis saja sekolah menengah menuju pula dunia universiti, kemudian terus menuju alam kerjaya, perkahwinan, menjadi ibu bapa, menjadi tua dan kemudian apa lagi?


Tidak Memiliki Apa-apa


Betapa ramainya orang yang telah kita temukan. Sekarang, kita sudah tua dan siapalah pula yang bersama dengan kita, Anak-anak sudah besar dan memiliki keluarga sendiri. Pulang hanya sekali sekala. Bagaimana sayang dan rindu kita kepada mereka, kita tidak akan sentiasa bersama dengan mereka. Kita tidak pernah memiliki apa-apa. Kita hanya wakil untuk menjaga. Begitu juga dengan ibu bapa kita. Betapa kita sayang kepada mereka. Kita tidak akan dapat untuk selalu atau selamanya bersama dengan mereka. Mereka akan tua dan mereka harus pergi. Akhirnya, kita akan kehilangan mereka juga.


Masa berlalu, kita berpindah dari satu tempat ke satu tempat yang lain dan setiap orang yang kita temukan juga akan sentiasa bertukar ganti dan yang sentiasa ada bersama kita hanyalah diri kita sendiri. Kita membawa jasad kita yang merupakan bekas kepada jiwa kita. Kita membawanya berjalan kesana dan kemari. Namun, ternyata ia juga sama sahaja. Ia tidak akan kekal bersama kita. Lambat laun ia juga harus berpisah dengan diri kita sendiri. Ketika itulah kita hanya ada diri kita sendiri yang sebenar-benarnya.



Hanya Dia Yang Kekal


Hanya satu sahaja yang kekal. Yang ada ketika kita masih belum ada. Yang ada ketika kita telah ada dan tetap ada selamanya ketika kita tidak ada lagi. Hanya Dia yang satu. Dari kita lahir kedunia sehingga kita tua renta, Dia sahajalah yang sentiasa ada. Insan-insan yang lain telah menjadi kenangan sebagaimana hidup itu sendiri yang merupakan kenangan. Kita berjalan dan terus berjalan. Dia sentiasa ada menemani kita. Hanya saja kita yang mahu merasakan keberadaanNya atau kita jadikan dia seolah-olah tiada. Terserah kepada kita.


Masa lalu dan masa hadapan bukanlah bayangan yang selalu menakutkan kita dengan kenangan pahit dan masa hadapan yang penuh dengan ketidakpastian yang membimbangkan. Kita adalah petugas yang hadir untuk bekerja dan setelah itu akan ada petugas lain yang akan menggantikan kita. Kemudian kita akan ada pelepasan untuk berehat dan bersenang lenang. Dunia adalah medan zikir yang luas. Asma' Allah terlihat di mana-mana. Hakikatnya, manusia kesemuanya adalah bersaudara dan menjadi lengkap dengan kasih sayang.


Hidup dan Pilihan


Hidup adalah pilihan. Mahu melihat dunia dengan kaca mata kebaikan atau dengan kaca mata keburukan. Hidup bukan untuk kesenangan diri semata-mata. Bukan juga kepentingan diri seorang. Tapi adalah kesenangan dan kepentingan semua orang. Kerana manusia itu seperti satu jasad. Jika sakit sebahagian jasad itu, keseluruhan jasad akan merasai kesakitan. Hidup penuh dengan kenangan, hanya Allah sahaja yang tidak menjadi kenangan, tapi ia adalah kenyataan tentang satu kewujudan agung yang menyebabkan kewujudan yang lain.


Sekian, wallahu a'lam.





SENARAI POS :
bottom of page