3 PERKARA MUDAH DIAMALKAN YANG BOLEH MEMAKNAKAN HIDUP
FIKIR YANG MUDAH-MUDAH DAHULU
Sebenarnya untuk memaknakan hidup tidaklah sesukar mana. Kita sahaja yang berfikir terlalu sukar untuk melakukan perkara yang sebegitu mudah. Semudah kelipan mata. Kita tidak boleh terlalu idealistic. Nanti sampai ke sudahlah kita tidak mampu untuk melakukan apa-apa.
Kita fikir kita patut menunggu harta kita banyak barulah kita akan bersedekah. Tidak perlulah menunggu kita cukup baik untuk melakukan kebaikan. Sekecil-kecil perkara tetap akan dikira oleh Allah walaupun sebesar biji sawi.
Saya percaya kita semua selalu ada cita-cita dan angan-angan untuk menjadi seorang yang pemurah dan dapat beramal dengan banyak. Namun, kadang-kadang niat baik tersebut terkubur begitu saja kerana sikap yang terlalu idealistic dan perfectionist tersebut. Tidak ada siapa yang sempurna di sini dan kita harus yakin bahawa kita sentiasa boleh memaknakan diri kita dengan melakukan apa sahaja perkara yang baik walaupun sekecil-kecil perkara.
TIDAK TERLALU IDEALISTIK
Oleh kerana terlalu kompleksnya angan-angan dan cita menyebabkan kita tidak mampu untuk berfikir secara mudah bagaimana menjadi orang yang terinspirasi untuk kebaikan. Apakah perkara-perkara yang mudah namun memberi impak kerpada motivasi diri? Jangan ambil mudah soal ini kerana terdapat orang yang membunuh diri kerana gagal untuk menghargai diri dan tidak tahu bagaimana untuk memaknakan diri.
BERWAKAF BERMULA DENGAN YANG RINGKAS DAN MUDAH
Pertama sekali perkara mudah yang boleh kita lakukan ialah dengan berwakaf. Jangan fikir perkara yang besar-besar dahulu. Sebagai contoh, kita berfikir bahawa kita berimpian untuk mewakafkan sebidang tanah untuk tujuan pembinaan masjid ataupun surau. Tidak usah besar-besar, boleh saja kita mewakafkan sepasang selipar jepun di masjid untuk kegunaan ramai orang yang ingin mengambil wuduk di masjid. Kelihatan kecil bukan, tapi bayangkan jika selipar itu digunakan oleh ribuan orang yang hadir ke masjid. Alangkah beruntungnya kita. Satu sahaja, buatlah perkara tersebut secara sembunyi-sembunyi untuk menjaga keikhlasan niat. Mudah bukan?
Apa lagi yang boleh kita sumbangkan? Banyak sebenarnya, contoh lain adalah dengan meletakkan telekung di surau atau masjid. Hadiahkanlah telekung kepunyaan kita jika kita punya lebih dari dua telekung. Bukankah lebih bermakna jika barang kita dimanfaatkan orang untuk beribadah? Selain itu adalah dengan menghadiahkan buku ke perpustakaan. Pilihlah buku yang bermanfaat untuk orang membacanya dan hadiahkan ke perpustakaan sekolah, university mahupun perpustakaan awam. Saya percaya, kita tidak akan selalu dapat menghabiskan membaca buku-buku yang kita punya dalam satu masa yang sama. Sungguh bermakna sekali jika buku kita itu dibaca oleh orang ramai dan mereka terinspirasi dari buku tersebut dan menyebarkan ilmu yang terkandung di dalamnya.
Wakafkan buku
MENULIS TENTANG PERKARA BAIK YANG MUDAH
Kedua, apa lagi perkara mudah yang kita boleh lakukan? Setujukah kalau saya katakan bahawa penulisan yang bermanfaat atau yang berunsur positif dapat memberi makna kepada hidup kita? Kadang-kadang kita tidak tahu bahawa terdapat orang yang terinspirasi dengan tulisan kita. Mereka membaca tulisan kita secara senyap dan sentiasa menanti tulisan kita yang seterusnya. Saya tahu mungkin tidak semua orang mampu untuk terus menulis dengan baik. Menulis ibarat menaiki kereta. Semakin banyak kita latih semakin mahirlah kita. Sekali lagi peringatan dari saya, jangan terlalu mahukan yang sempurna dari diri sendiri untuk tahap permulaan. Berikan diri kita peluang dan latihan sebelum menjadi seorang yang mahir.
Sekarang, mulut kita sudah berada pada tangan kita. Kita bercakap menggunakan tangan. Jarang kita menggunakan mulut di media social. Daripada kita memperbanyakkan perkara yang tidak bermanfaat dan tidak bermakna lebih baiklah kita menginspirasi diri dengan menyebarkan maklumat yang baik dan yang boleh memberi manfaat sehingga kita mati esok. Tulisan kita akan kekal walaupun kita sudah tiada. Yang penting, pastikan isinya baik dan sumbernya betul.
AKHLAK BAIK YANG MUDAH DIAMALKAN
Baiklah, yang terakhir sekali ialah mengamalkan akhlak yang baik. Jangan sangka ia adalah perkara yang kita sedia tahu dan kita tidak mahu ambil tahu lagi. Perkara asas beginilah kalau kita tinggalkan akan membawa kerugian yang banyak kepada kita. Kalau kita sedar, kita selalu mengabaikan penggunaan perkataan baik dan sopan yang sesuai dengan adat agama kita. Kita selalu terikut-ikut dengan budaya bercakap menggunakan perkataan yang sebenarnya kasar dan tidak sopan namun kelihatan santai dan tidak menyakitkan hati sesiapa kerana sudah biasa didengar. Contohnya, doh, sengal, dan sebagainya. Kita perlu ingat bahawa setiap yang kita perlu ingat setiap yang keluar dari mulut akan dicatat. Alangkah ruginya jika buku kita banyak tertulis perkataan yang tidak bermakna tersebut.
Kita tidak perlu malu jika kelihatan tidak moden dan tidak santai jika tidak menggunakan perkataan yang dianggap ‘sopan’ berikut. Cuba bayangkan, jika kita sebagai ibu dan bapa sudah menggunakan bahasa tersebut, bahasa apa lagikah yang akan digunakan oleh anak-anak kita nanti. Saya tidak membayangkan mereka akan menggunakan bahasa yang lebih sopan dan yang lebih baik dari kita jika kita sebagai guru awal mereka tidak menggunakannya. Setujukah?
Akhlak baik yang mana lagi yang boleh kita wariskan kepada masyarakat sekeliling? Yang mudah dan memang tidak mengeluarkan modal. Tidak ada yang lain kecuali senyum. Senyum tidak menyebabkan harta kita luak ataupun hati kita sakit. Senyum malah menambahkan hormon gembira kepada diri orang yang senyum apatah lagi jika senyuman itu dibalas pula! Senyum boleh mengindahkan lagi hari kita dan orang sekeliling kita. Senyumlah! Jangan ada benci.
Saya rasa cukuplah ini sahaja dahulu. Hari ini mungkin boleh mula praktikkan. Mula dengan senyuman. Latih otot pipi kita untuk bergerak. Jika sudah terbiasa, tidak akan rasa kekok lagi. InshaAllah, jika hati kita ikhlas Allah mudahkan. Semoga kita semua mampu untuk memaknakan diri dan memberi inspirasi pula kepada orang lain.
Sekian, Wallahu a'lam
Sumber gambar: Google Images