top of page

KEPING-KEPINGAN WAKTU


Berkurangnya ahli keluarga


Awal tahun lalu, SRI telah kehilangan seorang ayah saudara. Beliau tinggal berdekatan dengan rumah SRI. Satu demi satu ahli keluarga SRI pergi. Sebelum aidilfitri lalu, nenenda SRI juga telah pergi menemui Tuhan. Juga dua hari lepas, adik kepada datuk SRI telah jua pergi menemui Tuhan. Lalu kedengaran suara-suara yang menyatakan bahawa sudah ramai ahli keluarga kita yang pergi. Lalu kami sedar bahawa usia kami juga sudah berusia. Begitu jualah yang dilalui oleh almarhum datuk nenek serta ayahanda. Pernah merasa muda lalu menjadi tua dan sudah tiba masanya untuk mereka pergi. Kami tidak lupa, bahawa sebuah keluarga itu sentiasa berkurang juga bertambah dengan kehadiran bayi-bayi yang menggantikan ahli keluarga yang sudah pergi. Orang baru yang bakal mewarisi susur galur sebuah keluarga.


Keping-kepingan waktu


Tanpa kita sedar bahawa kita telah melalui keping-kepingan waktu satu demi satu. Ada orang dia tidak rela untuk menjadi tua. Tapi dia tidak mampu untuk menghentikan masa. Gelisah memikirkan masa hadapan yang penuh misteri. Ada dua perasaan. Takut dan bimbang. Takut barangkali kerana tidak berpengetahuan tentang apa itu kematian dan bimbang barangkali kerana menyedari bahawa diri tidak memiliki banyak kebaikan yang boleh dijadikan bekalan. Kata HAMKA dalam Tasauf Moden, kalau semua orang tidak mahu mati bagaimana halnya dengan dunia ini? Sudah tentu penuh dan padat dengan manusia sejak dari zaman Saidina Ali sehingga sekarang. Maka tidak muatlah ruang yang ada di muka bumi ini. Tentulah tidak logik perkara yang sedemikian itu. Tidak mungkin ia terjadi.



Menjadi tua

Begitu sunyinya menjadi seorang tua. Dahulu kita sibuk bekerja untuk menyara keluarga, setelah daya dan tenaga tidak ada, berehatlah kita dari sibuknya medan pekerjaan. Lutut juga sudah lemah dan tidak berpeluang lagi untuk terlalu aktif beraktiviti. Lalu kita diam di rumah saja menghabiskan sisa-sisa usia yang ada. Kita melihat ke kehidupan yang lalu, sungguh kita merindukan masa itu. Sayangnya, kita sudah tua dan tak akan mampu untuk memutarkannya kembali ke masa itu. Kadangkala terasa pula betapa gelapnya hidup ke depan itu. Seperti di dalam sebuah gua yang dalam dan gelap. Apakah rasanya mendiami lubang kubur itu? Selalu kita menyedari dan menginsafi bahawa bekalku masih lagi sedikit dan tidak tahu pula adakah bekalan itu bersih atau masih lagi berdaki yang harus dipersoalkan keikhlasannya. Ah, sungguh dadaku penuh dengan perasaan dukacita.



Sunyi dan gelap


Badiuzzaman Said Nursi di dalam bukunya, Tuntutan Buat Para Wanita dalam rumahtangga ada menyentuh tentang usia yang telah tua. Beliau menyatakan perasaan sunyi dan gelapnya usia tua itu. Penuh dengan rasa resah dan gelisah. Al-Quran sahaja yang memberinya harapan tentang hidup. Kematian adalah masa untuk istirehat setelah penat lelahnya bekerja untuk memenangkan hak Tuhan. Apa yang kita perlu yakini bahawa saat itu akan tiba dan setiap manusia pasti merasakannya. Ada orang yang langsung tidak mahu memikirkan soal itu kerana ia telah membantutkan perasaan untuk hidup. Perasaan untuk berusaha dalam hidup. Kerana dia telah memisahkan urusan hidup dengan urusan matinya. Sedangkan kedua perkara tersebut adalah satu jalan. Dunia adalah jambatan untuk ke akhirat. Mana mungkin untuk kita menuju ke akhirat jika hidup hanya solat semata-mata sehingga kain solat juga tidak mampu untuk dibeli kerana tidak pernah bekerja. Sedangkan hidup dengan Islam ada semuanya tentang cara hidup termasuklah bekerja untuk hidup dan bekerja itu juga adalah satu bentuk ibadah.



Sebaik-baik teladan


Untuk hidup yang lebih baik adalah dengan melihat kepada kehidupan-kehidupan manusia yang telah lalu. Kehidupan para Nabi dan Rasul jualah sebaik-baik contoh yang perlu diikuti. Berdasarkah panduan dari al-Quran dan al-Sunnah. Kesempurnaan itulah yang dituju dan diusahakan untuk dicapai namun diakui tidaklah mudah untuk mencapai kehidupan yang berada di darjat yang tinggi tanpa ada latihan. Untuk mampu mengawal diri perlulah dilatih. Tidak mudah-mudah didapat begitu sahaja. Kebaikan akan menutup kejahatan. Janganlah sesekali kita berhenti untuk meneruskan kebaikan kerana sudah berputus asa terhadap kejahatan yang kita lakukan. Ingat saja dalam Fatihah kita bahawa Dialah yang maha PENGASIH dan PENYAYANG.


"Berdoalah kepadaku nescaya akan aku perkenankan!"

(Ghafir, 40 : 60)


*Sumber gambar : Google




SENARAI POS :
bottom of page