top of page

3 Perkara Asas Untuk Mencapai Impian


Bermimpilah!

Adakah kamu memiliki impian dalam hidup? Seperti menjadi kaya, memiliki isteri yang cantik, memiliki rumah besar ataupun dapat mengelilingi dunia. Samada kecil ataupun besar, pasti kita memiliki satu impian. Bahkan saya percaya bahawa kita memiliki banyak impian yang tidak terucap. Berimpianlah! Kerana ia hanya percuma yang masing-masing boleh melakukannya. Apa yang membezakan adalah samada impian itu akan menjadi kenyataan ataupun hanya menjadi mimpi.


Tidak ada yang mustahil


Apakah mustahil untuk menjelmakan impian? Mustahil untuk orang yang berimpian sambil menggoyangkan kakinya. Mustahil untuk orang yang hanya berbaring menunggu emas jatuh dari langit. Perkara yang menghilangkan mustahilnya setiap impian itu untuk dicapai adalah usaha. Usaha untuk menjelmakan mimpi itu di alam nyata.

Jelaskan impian


Jika kamu memiliki impian. Ia sudah cukup bagus dan ia menunjukkan bahawa kamu seorang yang sentiasa maju ke hadapan dan sedar tentang kewujudan kamu di muka bumi. Dengan mempunyai impian, hidup akan terasa lebih bersemangat. Kita akan menjadi lebih berdisiplin dan teratur. Satu perkara yang perlu diperhatikan adalah kita perlu untuk menjelaskan impian kita. Jadilah lebih spesifik bukan sekadar umum. Benar, kita sudah mempunyai impian, iaitu untuk menjadi kaya. Namun, ia masih terlalu umum. Sila nyatakan kekayaan yang bagaimana anda mahukan. Adakah seorang yang kaya dengan memiliki rumah besar atau kaya yang tidak memerlukan anda untuk membina rumah besar. Kaya daripada sumber yang bagaimana. Adakah anda ingin menjadi kaya dengan hanya menulis buku sahaja? Atau anda mahu kaya dengan perniagaan hartanah.


Menjadi spesifik anda membuka ruang untuk minda kita lebih jelas dan tahu cara-cara untuk bergerak maju dan tidak menjadi seseorang yang terperangkap dalam angan-angan kosong kerana tidak jelas terhadap impian.


Fahami cara mencapai impian

Setelah kita mengetahui impian. Tidak boleh tidak kita pasti akan menuju jalan untuk menggapai impian tersebut. Bagi yang mahukan ia tercapai, perlulah mencari sebanyak mungkin maklumat dan pengetahuan berkaitan impian tersebut. Sudah pasti, sesuatu itu tidak akan berhasil tanpa ada strategi dan usaha yang betul. Ramai yang terhenti di tengah jalan kerana melakukan sesuatu perkara tanpa ada pengetahuan yang betul. Dengan memiliki pengetahuan, jalan akan menjadi lebih mudah untuk dilalui berbanding hanya membabi buta melangkah tanpa ada panduan. Setiap perkara mempunyai aturan dan undang-undang yang betul.


Nikmati perjalanan mencapai impian

Perkara terakhir ini adalah yang paling penting sekali. Dalam susah payah anda melalui pelbagai rintangan untuk menggapai cita-cita, jangan lupa untuk menikmati perjalanan itu. Jangan lupakan kehidupan sekeliling anda. Jangan tinggalkan sahabat, keluarga dan masyarakat. Impian memang penting dalam hidup, namun memisahkan diri anda dengan manusia atas sebab untuk fokus mencapai impian akan menjadikan lebih menderita ketika mencapai impian tersebut. Kadangkala anda akan berputus asa dan terus tidak mempunyai kekuatan untuk bangkit lagi. Nikmatilah hidup anda. Janganlah lupa luangkan masa anda untuk berehat dan bergembira. Diri dan perasaan anda juga memiliki hak yang perlu ditunaikan. Jangan terlalu fanatik sehingga anda lupa terhadap kebahagiaan diri sendiri dengan melupakan keseronokan hidup bermasyarakat seluruhnya.


Kesimpulan


Sebagai manusia, kita memang perlu untuk bekerja dan bersemangat untuk hidup di dunia. Namun begitu, kita juga adalah hamba yang memiliki Tuhan. Semak kembali impian tersebut. Adakah impian tersebut hanya semata-mata kepentingan terhadap dunia. Jika ya, maka kita telah berada dalam kerugian yang nyata. Benar, hidup adalah untuk bekerja, namun bekerjalah untuk keduanya. Iaitu sekali untuk kehidupan di akhirat.Jadikan usaha anda di dunia turut berbaloi untuk kepentingan anda di akhirat. Jika ia hanya semata-mata untuk tujuan keduniaan sahaja maka ia bukanlah impian yang baik. Janganlah merugikan diri sendiri dengan pemikiran kecintaan terhadap keduniaan semata-mata.


Sekian, Wallahualam.


Siiru 'ala barakatillah..


*Sumber gambar : Google Images


SENARAI POS :
bottom of page