top of page

CINTA SKIZOFRENIA


Harun merasa teramatlah gembira pada hari ini. Akhirnya penantian untuk mendirikan rumahtangga telah tercapai. Kegembiraannya dua kali ganda kerana isterinya, Maisarah adalah seorang perempuan yang menjadi dambaan kebanyakan para lelaki. Harun merasa sangat bersyukur kepada Allah kerana dalam kebanyakan lelaki yang ada, dialah yang bertuah kerana telah terpilih menjadi suami Maisarah. Sujud syukur dia ketika lamarannya diterima. Allahu Akbar!


Bagi Harun, dirinya tidaklah sepadan dengan Maisarah. Maisarah adalah wanita yang cantik, lemah lembut, berpendidikan pula dan seorang yang pandai menguruskan rumah tangga. Maisarah juga seorang yang patuh kepada ibu bapanya. Mudah kata, Maisarah ini wanita yang berpakej lengkap. Harun dijodohkan dengannya atas persetujuan ibunya. Maisarah hanya menurut. Hitam kata ibunya, hitamlah bagi Maisarah, putih kata ibunya, putih jugalah bagi Maisarah. Itulah kata-kata yang dapat menggambarkan sikap Maisarah. Maisarah seorang yang pemalu. Dia adalah wanita yang sangat menitik beratkan amalan agama Islam. Dia sangat menjaga peribadi sebagai wanita Muslimah. Tudungnya lebar, bajunya longgar dan kakinya disarung sarung kaki jika mahu keluar kemana-mana. Jika berjalan kepalanya menunduk lebih-lebih lagi jika berjalan di hadapan para lelaki. Langsung mukanya tidak ditoleh. Wanita solehah! Lelaki mana yang tidak bahagia kalau Maisarah menjadi suri hatinya. Syurga dunia sudah didapatkan oleh Harun!


Harun hanya bekerja di kebun pisang. Pendidikannya tidak tinggi. Hanya tamat sekolah rendah. Itupun sudah cukup bagus kerana dia tahu membaca dan menulis. Dia tidak meneruskan belajar tinggi kerana otaknya tidak terlalu bijak. Untung bapanya punya kebun sawit dan bendang. Dapatlah dia menyara Maisarah dengan hasil kebun dan bendang yang ada. Kebun sawit yang menjadi bahagiannya telah dilanyak separuh dan dibikin rumah. Maisarah harus disediakan rumah yang selesa supaya nanti hatinya senang dan dapat melayannya sepenuh hati. Dia mahu membina keluarga yang bahagia dan dan kelak jika disinari cahaya mata dia akan mengajarkan kasih sayang yang teramat erat! Itulah impiannya sejak mula-mula pandai berangan-angan untuk berkahwin. Sejak zaman remaja lagi!


Maisarah, walaupun Harun sudah bergelar suaminya, dia masih malu-malu. Bicaranya dengan suaminya begitu perlahan dan lembut sekali. Seakan berbisik-bisik. Harun tersengih-sengih sendiri mengingat akan hal itu ketika dia berada di kebun memetik sawit atau membaja sawah. Dia terkenang-kenang Maisarah yang pemalu dan lemah-lembut itu. Bagaimana Maisarah tidak malu? Harun hanya dikenalinya setelah selesai akad nikah. Dia tidak mengenali Harun sama sekali. Hanya dikenalinya dengan curi-curi melalui perbualan ibu dan kakaknya semasa keluarga Harun datang merisiknya dahulu. Bagi Maisarah, Harun orangnya rajin bekerja dan pandai mengambil hatinya. Selalu saja dia menerima hadiah. Padahal dia tidak meminta-minta. Dia tahu bahawa Harun sangat menyayanginya. Harun juga orang yang sangat menitik beratkan agama walaupun dia tahu pendidikan Harun bukanlah tinggi. Maisarah bersyukur kerana Allah telah mengabulkan doanya supaya dianugerahkan jodoh yang baik dan beragama. Kekayaan tidaklah berada di dalam senarai doanya kepada Allah. Dia hanya lelaki yang boleh membawanya ke syurga!


***

Tahun demi tahun, Hidup Harun dan Maisarah bertambah-tambahlah bahagia dengan disinari cahaya mata yang menjadi penyejuk bagi mata yang memandang dan hati yang penuh dengan kasih dan sayang. Maisarah seorang ibu yang lemah lembut terhadap anak-anaknya. Harun juga tidaklah terlalu garang terhadap anak-anaknya. Namun, Harun agak tegas terhadap anak-anaknya. Maisarah tidak pernah memukul anak-anaknya. Maisarah selalu menasihati Harun supaya jangan mendidik anak dengan kekerasan. Anak-anak yang kerap di kasari akan berjiwa kasar juga sekiranya mereka besar kelak. Jika Harun bersikap keras terhadap anak-anaknya, maka Maisarahlah tempat anak-anak mengadu dan dipujuklah oleh Maisarah sehingga hilanglah rajuknya dan jika disuruh akan Maisarah supaya kembali duduk di pangkuan Harun si anak mahu menurut! Bagitulah kasih Maisarah terhadap anak-anaknya.


Bab solat amatlah Maisarah pelihara terhadap anak-anaknya. Selagi belum terangkat punggung anak-anaknya untuk bersuci tidaklah akan diam mulutnya dari berpesan. Diselitnya beberapa kisah-kisah mengerikan tentang orang-orang yang tidak bersembahyang. Tidak pernah dia mahu mengancam dengan kekerasan dahulu. Biasanya akan diancam dengan mulut sahaja. Diajarkannya kisah-kisah mengenai segala mara bahaya orang yang tidak bersolat. Semua ceritanya adalah benar yang dipelajarinya dan yang diulang telaahnya sendiri sekiranya kisah itu mula luput dari ingatan. Begitulah perilaku Maisarah terhadap anak-anaknya.


***

Pelangi tidak sering ada menghiasi langit hidup Harun. Panas tidak sentiasa hingga ke petang. Terkadang ada hujan yang menghinggap hari itu. Terhias juga oleh guruh dan kilat yang mewarnai sehari yang disangka selalu cemerlang. Selepas melahirkan anak yang keenam, Maisarah sudah jarang bercakap-cakap dengan Harun. Maisarah lebih suka untuk mengurung diri di dalam bilik. Jika sebelum ini kepulangan Harun disambut dengan wajah manis dan berbaju lawa. Kini hanya senyuman sepi tak bernada. Dicedoknya nasi lalu dituangnya air ke cingkir kaca. Kemudian tidak ditunggu lagi Harun menjamu. Ditinggalkannya Harun termangu-mangu makan seorang diri. Perut yang lapar tidak rasa mahu diisi kerana hati tidak gembira. Kenapa suri hatinya sudah tidak mahu menemaninya bersantap lagi? Selepas habis makan diturut isterinya di kamar. Maisarah hanya baring mengiring menghadap wajah si anak yang lena di atas katil setelah kenyang minum susu dua puluh teguk. Wajah Harun tidak dipandangnya langsung. Jeling pun dia tidak sudi. Maisarah seolah-olah tekun memandang anaknya yang seumpamanya ada bahaya yang bakal menimpa. Padahal elok saja anak itu tidur sambil mendengkur halus. Harun buntu, apakah dia ada membuat salah sehingga suri hatinya merasa dongkol hati terhadapnya. Tetapi setelah diselidiki segenap fikiran, rasanya tidak ada pula. Semua janjinya terhadap Maisarah setakat ini sudah ditunai. Harun lesu, terus diangkat punggung mahu membersih diri dan solat. Sebentar lagi anak-anaknya mahu pulang. Harunlah yang akan menjemputnya.


Mula dari saat itulah, Maisarah sudah tidak mahu bercakap-cakap lagi dengannya. Ditanya Harun berkali-kali tidak dipeduli. Mukanya hanya menekur saja ke lantai. Hampir saja hilang pertimbangan Harun. “Apa aku ini bercakap dengan tunggulkah? Jika ada salah dijelaskan apa masalahnya. Jangan bikin kusut fikiran dengan diam seribu bahasa seperti ini!” Harun terlepas juga suara kerasnya kepada Maisarah. Padahal selama hidup tidak pernah dia meninggi suara. Namun kali ini sudah tidak mampu ditahan batinnya tentang perilaku Maisarah yang begini. Hidup berumahtangga jika tidak ada bicara sekerat habuk apa namanya perhubungan! Boleh menjadikannya edan jika berterusan begini. Paling membimbangkan Harun ialah apabila Maisarah sering mengunci kamar dari dalam. Diketuk berkali-kali tidak pula dihiraukan. Menunggu ketukan yang agak keras baru dibukanya. Itupun wajahnya seperti ketakutan. Seperti mahu menerima hukuman mati dari Harun. Pakaian yang dibasuh juga tidak terlipat olehnya. Dilonggokkan sahaja di penjuru rumah. Padahal Maisarah orangnya rajin dan tidak pernah ada baju yang berlonggok di mana-mana. Apatah lagi baju yang bersih!


Semakin hari Maisarah semakin menjauhi Harun. Anak-anak juga sudah tidak keruan! Makan minum tiada yang mengatur. Urusan rumahtangga jadi kacau bilau. Hidup Harun jadi tidak tentu arah. Sudah berapa bulan dia tidak pergi ke kebun. Dia bimbangkan Maisarah dan anak-anak. Diajak pergi berubat di hospital Maisarah tidak mahu. Siapapun yang memujuk Maisarah tetap enggan!. Jangan dia dikasari, nanti makin hatinya terkunci rapat serapatnya. Tidak ada siapa yang boleh menyentuh. Rumah Harun seperti dilanggar geroda. Harun terkial-kial mengurus anak kecil dan juga anak-anaknya yang lain. Sudah banyak hari anaknya tidak ke sekolah kerana Maisarah tidak boleh ditinggal! Bimbang apa-apa terjadi padanya. Sekarang keadaan Maisarah makin parah. Sudah pandai membuang-buang barang. Baju-baju berlonggok dirasakannya menyemakkan mata. Mahu dikemas. Caranya mudah. Dilonggokkan di atas kain pelikat. Kemudian diikat bonjot. Lalu diangkatnya dan dibawa turun terus di humbankan di dalam parit. Berhampiran tempat pembuangan sampah pula!. Diambil Harun semula di bawa kerumah. Maisarah melihat Harun yang membawa naik bonjotan berisi kain yang dibuangnya tadi lalu dia mendengus, bergegas dirampas dan dibawanya lagi dengan termengah-mengah ke parit semula beberapa kali. Kali kelima begitu saja, Harun sudah hilang tenaga! Dibiarkannya dahulu. Nanti malam jika Maisarah lena akan diambilnya semula. Akan di sorokkannya di belakang tilam. Jangan sampai dilihat Maisarah!.


***


Piring gelas dan mangkuk segala di campakkan ke bawah melalui tingkap. Berdentum-dentum bunyinya. Nasib baik Harun sempat mengelak. Kalau tidak terbelah tengkorak kepalanya! Ketika itu dia baru selesai menjerang baju. Melompat dia terkejut. Siapa yang melayangkan pinggan kaca di atas kepalanya tadi? Harun sudah mengagak, ini pasti kelakuan Maisarah yang sudah tidak siuman! Berlari-lari dia naik kerumah. Dilihatnya, Maisarah sudah siap menumpukkan pinggan di tangan, tinggal mahu dilayangkan saja. Pantas direnggut Harun. Dirampas lagi piring-piring itu oleh Maisarah. Berjaya. Eh, kuat sekali tenaga ini perempuan! Harun tidak mahu merampas barang itu semula. Tenaga lelaki tidak setanding dengan perempuan. Bimbang nanti dia akan menyakiti Maisarah. Dia tidak mahu bercakaran dengan Maisarah kerana berebut pinggan yang kotor itu. Harun melihat saja Maisarah membuang-buang pinggan. Berlinang-linang air matanya. Aduhai Maisarah, apakah penyakit yang kau deritakan ini. Sehingga begini perilakumu. Kembalilah peribadimu yang dahulu Maisarah. Abang sudah letih menangiskan keadaanmu. Hati abang hiba Maisarah! Pulanglah Maisarahku yang dahulu. Humaira si kecil yang sedari tadi diam menyaksikan drama ayahanda dan bondanya berebut piring meluru kepangkuan. Seolah-olah mengerti akan duka dihati bapanya kerana mengenangkan keadaan ibunya yang sudah gila meroyan!


Barang-barang di rumah semuanya mahu dibuang di dalam parit. Geram Maisarah jika mendapati barang-barang yang sudah dikemaskan dan dibuang di parit itu ada semula di dalam rumah. Dia tahu ini mesti kelakuan lelaki yang dipanggil orang Harun itu. Kenapa orang itu selalu mengacau hidupnya? Segala perkara yang dikerjakannya selalu diperhati oleh lelaki itu. Jika dia berasa terlalu rimas dan jengkel diperhatikan oleh lelaki itu, akan dijelingnya tajam dan dia mendengus dengan kuat. Apabila begitu, lelaki itu akan terus menoleh kearah lain ataupun pura-pura melakukan kerja-kerja lain. Matanya tidak memerhatikan Maisarah lagi. Maisarah tidak tahu, Harun akan tetap memerhatikan perilakunya walaupun dengan ekor mata! Selalu Harun yang akan mengelek Humaira yang sudah berumur 8 bulan kesana kemari. Kadang-kadang sedang leka anak itu bermain bersama Harun, Maisarah datang dan terus melarikan Humaira ke dalam bilik. Lalu dikunci. Harun terkasima, lalu dia menurut Maisarah ke bilik. Rupanya dikunci oleh Maisarah. Dilekapkan telinganya kemuka pintu. Terdengar suara Maisarah mendodoikan anaknya itu dengan nyanyian dan zikir-zikir. Merdu sekali suara itu. Harun duduk dimuka pintu. Mendengarkan suara Maisarah bernyanyi, terkenang Harun sebelum Maisarah sakit, sering dia meminta Maisarah mendendangkan lagu untuknya. Maisarah mula-mula malu. Lama-lama sudah terbiasa dan bakat suara merdunya makin terserlah. Terbit senyum di bibir Harun. Kini senyumannya telah bergabung dengan air mata. Ada gembira dan ada hiba!


***


Harun tersedar dari lamunan apabila bahunya ditepuk oleh Humaira. Bau kopi semerbak menusuk kedalam hidungnya. Humaira telah membikinkannya secangkir kopi panas. Humaira kini sudah berumur 21 tahun. Dengan itu sudah 20 tahun lamanya Maisarah menderita jiwa. Kini Humaira sudah melanjutkan pelajarannya di menara gading. Kasihnya terhadap Maisarah tetap segar seperti dulu. Maisarah tetap dipeliharanya. Walaupun barangkali kasih Maisarah terhadapnya mungkin sudah berubah. Namun dia tidak pernah mengira perkara itu semua. Segala kesusahan itu sanggup ditanggung olehnya. Tidak diceraikan Maisarah. Walaupun ibu Maisarah membenarkannya untuk berbuat begitu. Tidak diturutkan kata hatinya walaupun terkadang ada satu masa, jiwanya goyah dan ingin melepaskan Maisarah. Mahu dibina hidupnya yang baharu bersama isteri yang baharu! Namun dia tidak tega ketika memikirkan bahawa jika dia melepaskan Maisarah, maka isterinya itu harus ditempatkan di rumah sakit jiwa! Hanya saja Harun yang sanggup memelihara Maisarah dalam keadaan yang begitu. Semua ahli keluarga tidak menghalang jika dia mahu melepaskan Maisarah dan berkahwin lagi. Semua orang sudah hilang usaha mahu mengubatkan Maisarah dengan cara yang bagaimana. Hanya Harun saja yang sanggup! Setelah difikir-fikirkannya dengan dalam, Harun mengambil keputusan untuk terus memelihara Maisarah. Biarlah walaupun Maisarah sudah tidak waras, dia sudah bertekad untuk memelihar Maisarah sehingga akhir hayatnya!


Selama 20 tahun ini, sudah tidak ada layanan istimewa dari Maisarah. Sekian lama ini juga dia tidak merasa masakan dari air tangan Maisarah. Bajunya tidak dicucikan Maisarah. Hanya dilakukannya sendiri. Hanya apabila anak-anaknya sudah semakin besar dan mengerti kesusahan ayah mengurus diri lalu diambil alih oleh anak gadisnya yang penuh pengertian akan pengorbanan seorang ayah. Harun redha dengan ketentuan yang telah ditulis oleh Allah kepadanya. Maisarah, telah diberikan suntikan setiap bulan bagi menenangkannya dan supaya dia tidak bertindak lebih agresif. Dengan demikian, Maisarah hanya tahu berbaring lesu di katil. Hanya bangun apabila tiba waktu makan, minum, mandi dan beribadah. Syukur penyakit Maisarah sudah tidak seteruk dahulu.


Harun dan Maisarah kini sama-sama sudah tua. Syukur, walaupun Maisarah sakit, dia masih lagi taat beribadah kepada Allah. Sembahyang dengan hanya berbaring sambil mulut terkumat kamit. Maisarah sekarang sudah boleh berbicara dengan Harun. Suaranya begitu perlahan dan halus. Seakan berbisik. Seperti pengantin baru. Begitupun sudah cukup membuat Harun gembira. Jika Harun mahu berangkat keluar, diajukan kepada Maisarah apa yang dia mahukan. Kuih apa yang mahu dibelikannya. Perlunya Maisarah apa? Semuanya dituruti. Segalanya hanya kerana diturut rasa cinta dan kerana tanggungjawab. Harun telah memahami begitu dalamnya janji yang diambil daripada Allah taala di hari pernikahannya dengan Maisarah. Mithaqon Gholizo! Maisarah bukan hanya seorang perempuan yang hanya layak disayangi dan dijadikan orang menunggu rumah ketika waktu bahagia, cantik dan elok. Tetapi dia juga harus disayangi, dipelihara ketika waktu dia jatuh, rendah, lemah dan sakit. Ketika itulah cinta manusia teruji. Harun telah berjaya membuktikan bahawa dia bukanlah lelaki cinta wajah jelita tetapi adalah lelaki yang mencintai dan beramanah kepada Allah!


*Catatan : Kisah ini adalah ilham daripada kisah benar yang telah ditokok tambah untuk menaikkan lagi penghayatan cerita.


Sumber gambar : Google Images


"Masih ramai sebenarnya manusia yang memiliki hati yang tulus ikhlas dalam dunia ini. Jika anda tidak menemukannya insan tersebut bererti andalah insan itu "

:)



SENARAI POS :
bottom of page