Aku dan Ramadhan
Ramadhan, Iya. Sekarang bulan Ramadhan. Puasa, tidak boleh makan, tarawikh, bazar dan selepas itu ada raya.
Semasa aku kecil, setiap kali Ramadhan, perkara yang ada dalam fikiranku ialah, selepas puasa akan ada raya. Untuk beraya, mestilah ada baju baru, kasut baru dan juga pelbagai kuih raya. Paling beruntung adalah aku akan mendapatkan duit raya.
Ketika aku ke kedai-kedai untuk membeli baju dan kasut raya, terdengarlah lagu-lagu raya dan hatiku berbunga-bunga gembira dan tidak sabar untuk menyambut raya. Bila hari raya semakin dekat, pastinya bertambah-tambah tidak sabarnya aku untuk mengenakan baju baru. Dam dim dum bunyi mercun dan meriam! Memeriahkan lagi sambutan menjelangnya raya.
Tapi, itu dulu.
Sekarang tidak lagi. Satu perkara, mungkin saja kerana aku sudah dewasa. Banyak perkara yang ada difikiranku. Kalau diikutkan, baju raya tidak perlu dibeli pun tidak apa-apa. Yang penting kan baju itu kelihatan baru dan cantik. Untuk meraikan kejayaan berpuasa, maka aku beli juga baju. Jika tidak aku sendiri yang membeli, ada kakak-kakakku yang selalu baik hati membelikan aku baju baru.
Sekarang, awal-awal Ramadhan lagi, aku melihat ada orang-orang yang tidak sabar untuk menyambut hari raya, hati aku jadi sensitif. Ada rasa tidak enak di dalam hatiku. Apatah lagi melihat iklan-iklan raya seketika Ramadhan baru saja bermula tiga hari. Seakan-akan fokus kita menyambut Ramadhan adalah untuk beraya. Aku faham, bulan Ramadhan adalah bulan baik untuk urusan bisnes, terutama yang berkaitan dengan persediaan raya.
Budaya yang ada di Malaysia ini aku rasa harus diubah. Barangkali kita tidak faham tentang kelebihan bulan Ramadhan. Barangkali kita tidak tahu kenapa Allah jadikan bulan Ramadhan. Mengapa harus ada satu bulan untuk berpuasa. Mengapa di dalam bulan Ramadhan itu ada malam Lailatul Qadar yang lebih baik dari seribu bulan.
Mungkin kita tidak tergerak hati lagi untuk memahami. Cuma saja aku berharap agar. Jika kita masih belum terbuka lagi hati untuk tahu, janganlah cemarkan lagi bulan yang suci ini dengan perkara-perkara yang selayaknya tidak dilakukan di bulan Ramadhan ini.
Ramadhan bukan hanya untuk tidak makan dan minum saja. Puasa semuanya. Mahu saja aku tukarkan semua siaran televisyen yang tidak cocok dengan kemuliaan Ramadhan. Para pembisnes baju raya yang tidak menepati syarat. Aku harap mereka tidak ada. Aku harap mereka tidak mempromosikan produk mereka lagi dengan hanya satu kali petik jari.
Itu semua mustahil.
Jika semua yang kita mahu lihat di dunia ini adalah perkara yang baik-baik saja, tentu tidak ada gunanya Allah ciptakan syurga dan neraka. Kita hidup dalam dunia yang penuh cabaran. Untuk terus hidup dalam cabaran, satu perkara yang perlu kita pegang. Jangan putus asa dengan rahmat Allah. Jihad untuk lawan diri sendiri. Diri sendiri yang memilik sifat kesyaitanan. Kita perlu singkirkan.
Seteruk mana jua sekeliling hidup kita. Alat untuk mencapai kekhusyukan dalam menjalani ibadah Ramadhan adalah dengan mendamaikan hati dengan kebaikan yang dilakukan yang hanya mahu dibuktikan semata-mata kerana Allah Taala. Gunakan mulut, mata, telinga dan anggota lainnya untuk mengenal dengan lebih dekat lagi dengan Allah.
Gunakan mulut untuk mendekati sahabat-sahabat kita yang masih belum mencapai kesedaran dengan perkataan yang baik dan sangkaan yang baik. Ramadhan yang perlu diisi dengan sikap kesabaran. Teguran dan ajakan adalah untuk membuktikan kita mencintai antara satu sama lain. Kerana kita adalah saudara. Dibawah keyakinan iman yang sama. Mengapa harus ada sesuatu yang memisahkan kita.
Semudah perkara untuk dilakukan pada bulan Ramadhan ini adalah dengan memberi hadiah sebuah senyuman kepada sahabat kita yang tidak pernah kita tahu namanya. Mungkin, wajah kita akan menjadi ingatannya ketika dia sendiri dan merasa susah. Mungkin saja. Allah tidak akan alpa untuk menghargai senyuman ikhlas kita kepada saudara kita yang lain.
Serasanya, sebentar saja hari-hari Ramadhan ini berlalu. Apatah lagi jika kitapenuhi dengan perkara-perkara yang tidak berguna. Betapa ruginya usia kita. Tidak termasuk jika ditolak dengan masa tidur, masa makan dan selainnya. Alangkah singkatnya hidup ini.
Marilah sama-sama kita mulakan hidup baru dengan gaya hidup baru dan semangat yang baru. Ramadhan ini adalah waktu yang terbaik untuk kita mulakan. Jangan pernah putus asa. Kerana Allah sentiasa ada bersama kita. Selagi kita percaya dengan keberadaanNya, maka disitulah harapan itu sentiasa ada.
Semoga berjaya!
Terima kasih kepada sesiapa yang sudah membaca sehingga habis! Tahniah buat anda. Sejujurnya, tulisan kali ini langsung tidak aku rancang dahulu. Semuanya spontan. Maafkan aku jika tidak sampai maksud.