FASTAQIM KAMA UMIRTA
Membayar Kewajipan
Ternyata apabila seorang manusia itu sudah jelas tentang tujuan hidupnya dia menjadi seorang yang tidak takut mati. Baginya mati itu malah menghidupkan. Mati kerana membayar kewajipan.Kewajipan menjadi seorang hamba yang soleh . Kewajipan yang merupakan tanggungjawab seorang abid disisi Tuhannya. Terlihat atau tersembunyi, setiap langkahnya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Kerana kuasa Tuhan lebih daripada sepasang mata manusia yang memerhati. Tuhan yang selalu memerhati.
Memang sentiasa ada manusia yang hitam hatinya. Menurut petunjuk syaitan untuk menyebarkan pula kehitaman hati itu. Lalu yang hitam dan yang putih bertemu. Nyatanya, sering yang putih itu kalah dahulu. Namun setelah itu putih itu pula yang akan menang. Tetapi kemenangannya kemudian. Setelah dipenuhi bekasnya dengan kesabaran.
Role Model
Tulisan ini kutujukan khas buat role modelku. Mungkin boleh kukatakan sebagai role modelku baharu ini sahaja. Kerana dia baharu saja kukenal. Kerana setiap hamba yang baik disisi tuhan itu ku cuba menjadikan dia sebagai role modelku. Siapa dia? Seseorang. Izinkan aku berkata, bahawa boleh jadi wajahku pernah terakam di kotak fikirannya. Sebagai kenangan seimbas lalu. Kerana pernah bertemu tanpa sempat untuk berkata.
Siapakah dia?
Dr Fadi al-Batsh.
Aku berehat dahulu
Seorang syahid disisi Tuhannya. Aku percaya sekarang mungkin dia telah tertawa-tawa. Kerana telah mendapatkan tempatnya di sisi Tuhannya. Meninggalkan aku, kamu dan kita semuanya yang masih beratur menunggu gilirannya. Entah aku keliru untuk menjadi bagaimana. Kadang aku menangis kerana sayu dan kadang aku tersenyum mengingatkannya. Seperti itukah perasaan Rasulullah saat melihat sahabatnya yang tercinta yang bernama Julaybib itu. Jatuh air matanya berguguran di birai mata tetapi kemudian Baginda tertawa pula.
Aku menangis kerana kehilangan cintaku terhadap semangatnya yang tidak mudah untuk mencapainya. Pahlawan itu telah hilang. Entah siapa pula yang dapat menirunya dengan sepantas kilat. Aku menangis kerana insan yang menganiaya itu akan kelak menghadapi pertanyaan kerana apa perbuatan itu dilakukan. Dosa apakah dia. Bakal menangislah kelak dia juga ketika disoal oleh Tuhannya mengapa tanganmu itu membunuh satu roh yang suci itu? Dia senang mahu menuju kepadaKu, tetapi kau telah menghalangnya dan telah kau bunuh dia!
Jesteru kemudian aku tersenyum dan tertawa pula kerana saat istirehatnya telah tiba. Isiterahat setelah sekian lama bekerja. Tidak ada baginya kesakitan lagi. Itulah sangkaanku yang kuat terhadap kehidupannya yang sekarang. Bagaimanakah keindahan itu saudaraku?
Saudaraku, pertemuanku sekali sahaja denganmu. Barangkali jika kau masih hidup. Akan kuhapuskan sahaja kenangan pertemuan itu di dalam benakku. Kerana tidak terlihat berharga dan penting. Setelah begini takdirnya, aku pula yang mahu menempelkan kenanganku yang biasa dan tidak kuhargai itu kerana engkau sudah merangkul nama, kebesaran dan kemuliaan. Aku mahu menjadi antara saksi terhadap keikhlasanmu untuk perjuangan tanah airmu. Walaupun ketika itu kau sudah ada ribuan saksi lain. Biarlah aku menjadi salah seorang daripadanya.
FASTAQIM!
Buat yang masih tinggal fastaqim! Jangan lupakan perkataan ini. Fastaqim kama umirta! Berjalan dan hidup di atas dunia ini dengan pegangan 'an ta'budallah kaannaka taraahu. Capailah maqam musyahadah itu. Engkau menyembahnya seolah-olah engkau menyaksikannya! Sesungguhnya setiap apa terjadi di dunia ini adalah untuk menentukan siapakah yang baik amalannya. Semoga kita semua berjaya seperti Dr Fadi al-Batsh.
Sekian, Wallahu 'a'lam.