top of page

Kerana Harapanlah Manusia Itu Hidup


bpualam - WordPress.com

APAKAH YANG KITA MAHU?


Selama kita ada diatas muka bumi ini, cubalah tanya kepada diri apakah yang paling dihajati dalam hidup. Banyak kita dengar orang mahukan kekayaan. Kaya harta, rumah besar, wang banyak, isteri cantik, anak-anak ramai dan ramai pengikut. Cubalah lihat juga, berapa ramai orang yang sedia kaya tapi hatinya masih tidak gembira. Mengapa? Kita tahu bahawa makanan yang perlu diambil oleh seorang insan tidak hanya makanan zahir untuk memelihara tubuh badan. Makanan batin juga sama penting malah kadang terlebih mustahak daripada makanan zahir itu. Jasad luaran kita pelihara dan jaga dengan makanan yang baik untuk sentiasa kelihatan sihat, bagus dan rapi. Namun, kenapa ramai orang lupa untuk memberi makan kepada zahirnya.



HATI NURANI


Tidak ada sesiapa yang dapat menafikan tentang kewujudan perasaan dan hati nurani. Tidak ada. Bahkan jika ada orang yang tidak menyukai perbuatan yang berperasaan seperti sastera adalah kerana jiwanya belum cukup penghayatan terhadap perasaan. Kerana cinta juga adalah perasaan. Maka, setiap orang akan memiliki khayalannya berdasarkan perasaannya. Perasaan itu tidak dapat disentuh dan dilihat. Hanya bekas daripada perbuatan sahaja yang dapat membuktikan keberadaannya. Hal yang mudah seperti perasaan itupun tidak mampu dilihat, bagaimana pula kita mahu melihat Allah? Sungguh manusia memang selalu mengikut perasaan. Perasaan angkuh.



WASATIYYAH


Perasaan akan wujud dalam pelbagai bentuk. Satu perasaan akan mendatangkan perasaan yang lain. Perasaan benci seseorang akan mendatangkan perasaan kecewa kepada seseorang yang lain. Seperti kebencian Zionis terhadap orang Palestin. Maka dirampasnya tanah Palestin itu dan diakui menjadi miliknya mutlak. Jesteru, perasaan kecewa dan sedih pula muncul kepada orang Palestin berakibat daripada perasaan benci tersebut. Perasaan yang berbagai itu perlu ada. Sebagaimana perasaan benci, kasih dan perasaan kecewa. Namun, perasaan itu tidak boleh dihayati secara berlebihan. Sesuatu yang dilakukan secera berlebihan itu kebiasaannya akan mendatangkan mudarat kepada si pelakunya. Setiap perkara perlu diletakkan pada tempatnya dengan sederhana dan pertengahan. Itulah ajaran agama Islam yang sering mengambil jalan pertengahan ataupun kita gelarkannya sebagai wasatiyyah.



ANTARA TAKUT DAN HARAP


Manusia sering bergantung kepada perasaan takut dan harap dalam hidupnya. Perasaan itu adalah perasaan yang patut dimiliki oleh seorang hamba Tuhan. Perasaan takut adalah apabila mengingat akan ancaman-ancaman yang bakal kita terima jika melakukan perbuatan-perbuatan yang salah. Manusia akan terhalang daripada melakukan perbuatan salah kerana dibayangi dengan ketakutan ini. Perasaan ini biasanya ada pada orang-orang mudah yang masih tercari-cari tujuan hidupnya. Kemudian, kita mempunyai pula perasaan harap. Kita berharap akan penerimaan oleh Tuhan akan amalan baik yang kita lakukan. Kita merasa rendah diri bahawa insan yang hina dan kerdil seperti kita tidak layak untuk berasa yakin terhadap penerimaan yang mutlak oleh Tuhan terhadap amal baik kita.


Kedua-dua perasaan itu perlu seimbang dan sentiasa menguatkan antara satu sama lain. Tuhan itu adalah berdasarkan sangkaan hambanya. Bersangka baiklah wahai sekalian manusia terhadap Tuhanmu. Sangkaan itu adalah dengan memelihara harapan baik. Hidup dengan harapan baik, fikiran yang baik. Sebagaimana orang-orang yang telah ditimpa kesusahan, dia berani untuk meneruskan hidup yang susah dan derita itu kerana dia telah memelihara harapan baik terhadap Tuhannya. Dia memiliki harapan yang baik dan perasaan percaya. Percaya bererti yakin. Yakin itu adalah iktikad. Iktikadi itu pula adalah KEIMANAN!



HARAPAN YANG BAIK


Mengapa kita perlu hidup dengan harapan baik? Kerana manusia itu dapat menjadi teguh kerananya. Cuba kita lihat, bagaimana teruknya serangan tentera Monggol terhadap orang Islam, Bagaimana perasaan orang-orang Islam ketika mana dihalau daripada Sepanyol oleh kerajaan Christian sewaktu kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Zaman sekarang, bagaimana kita membayangkan perasaan orang-orang Syria. Orang-orang yang melihat bahawa dirinya tidak ada harganya kita dapat merasakan betapa sempitnya jiwa mereka menahan kesakitan. Namun, apakah yang masih tinggal hidup ini mahu menamatkan hidupnya kerana tidak tahan derita. Apakah benar, dengan membunuh diri kesakitan sudah tidak ada lagi? Lalu, apa yang masih tinggal hanyalah satu, perasaan berharap. Harapan yang setiap kesusahan akan berganti dengan kemudahan. Perasaan percaya. Iktikad bahawa Tuhan akan menunaikan segala janjinya. Bila janji itu dapat ditunaikan bukanlah urusan kita untuk mencari tahu. Hanya dengan mati sahaja jawapan itu akan dapat diketahui.


Setelah kita memiliki harapan baik itu, tentu kita mampu hidup dengan ikhlas. Apa lagi yang diharapkan selain dapat menjadi ikhlas terhadap diri sendiri. Campaklah dirinya dimana sahaja, percayalah dia akan terus hidup! Dia sentiasa hidup, kerana dia sentiasa memegang harapanya. Dia memegang sangkaan baiknya terhadap Tuhannya!


Sekian, Wallahu'alam.



SENARAI POS :
bottom of page