top of page

Kejayaan Adalah Ketika Menjadi Jujur Kepada Diri Sendiri

MENCINTAI DIRI SENDIRI


Benarlah jika dikatakan manusia sebenarnya adalah insan yang mencintai diri sendiri. Contohnya mudah, iaitu apabila orang memuji kita tentulah hati rasa bahagia. Rasa senang. Kita merasa lebih bangga dan yakin diri. Kebanyakan manusia juga lebih cenderung untuk bersama dan bergaul dengan orang yang satu fikiran dengannya. Sukar untuk menemukan seseorang yang dapat bersahabat baik dengan orang yang berbeza aliran pemikiran. Kerana tidak sejiwa. Jiwalah yang menarik manusia antara satu sama lain. Kerana jiwa atau hati itu raja kepada tubuh badan.


Setiap manusia yang hidup sentiasa mempunyai potensi untuk menjadi manusia yang suci dan baik. Sikap-sikap yang berunsur membesarkan diri adalah kerana hasil daripada kalahnya jiwa itu kepada hasutan syaitan dan nafsu syahwat. Segala kerosakan dan kehancuran yang berlaku di muka bumi ini adalah kerana manusia tidak sejiwa dan satu golongan merasa lebih mulia dan lebih betul daripada golongan lain. Sikap kekitaan ini sangatlah membinasakan kerana ia perkara yang memisahkan manusia. Seperti itu juga semangat kenegaraan yang berlebihan juga tidak patut diamalkan. Ia menjadikan kita menganggap manusia yang berada di luar daripada batas negara kita adalah orang lain yang tidak penting untuk ditolong. Banyak contoh yang kita boleh lihat sekarang ini.


MENGHARAPKAN PUJIAN


Kita akan sentiasa berperang dengan diri sendiri tentang suara jahat yang ada dalam diri kita. Ketika mana mahu melangkah keluar di pagi hari, sebelum itu kita sering melihat wajah kita pada cermin untuk memastikan kita adalah manusia yang paling sempurna dan terbaik pada hari ini. Hati juga berkata bahawa akan adakah seseorang yang memujinya dan menyukai dirinya pada hari itu. Adakah mereka akan menyukai penampilan dan pakaian yang dipakai pada hari ini. Ketika itu, apakah kita ikhlas dan jujur terhadap diri sendiri? Tidak, sebenarnya kita tidak menyayangi diri sendiri dan tidak menghargai diri sendiri. Kerana orang yang jujur terhadap diri sendiri tidak akan berharap kepada pujian dan perhatian daripada orang lain.



MENJADI JUJUR


Sukarkah menjadi jujur? Bagaimana menjadi jujur? Letaknya perasaan jujur itu adalah disudut yang paling dalam di dalam hati. Jujur itu perasaan hati yang tulus, ikhlas, suci hati, benar dan dipercayai. Hati merasa senang, tenang, lapang terhadap semua yang dilalui hari ini. Tujuan hidupnya hanyalah untuk mencapai keredhaan. Bagaimanakahseseorang itu menjadi jujur. Perubahan sikap memerlukan kepada riadah ataupun latihan. Tidak dapat diperoleh dengan begitu saja. Adatnya sesuatu perkara yang susah itu ada pada permulaannya berat. Namun, apabila sudah sering dan kerap kali kesukaran itu diharung ia akan menjadi ringan untuk dikerjakan. Lakukan dengan rutin kerana yang rutin itulah yang akan menjadi tabiat manusia.


Sebenarnya menjadi manusia yang menghargai orang lain dan yang mengasihi orang lain itu akan menjadikan hidup kita lebih mudah. Ia mendatangkan rasa yakin dan berani untuk menempuh hidup. Cuba bayangkan jika kita menjadi manusia yang sering merungut dan tidak berpuas hati terhadap orang lain. Bukankah kita merasa fikiran kita penuh dengan kebencian dan mengusutkan fikiran. Lepaskan kebencian itu di tepi dan tinggalkan. Gantikan dengan fikiran yang lebih bermakna yang boleh menjadikan diri kita lebih tenang. Benar, mustahil untuk tidak pernah membenci atau tidak senang dengan orang lain. Namun mengurangkan perasaan itu adalah perkara yang sangat baik dan memudahkan hidup kita.



MENYELAMATKAN DIRI DAHULU


Benarkan ada manusia yang tidak pernah rasa kecewa terhadap orang lain? Tentulah tidak benar. Rasulullah juga sering merasa kecewa sehingga baginda mahu membinasakan dirinya sendiri kerana umatnya tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa olehnya. Ini kerana, tugas sebagai khalifah hanyalah untuk menyampaikan risalah. Diterima atau tidak risalah itu tertakluk di bawah kuasa Allah Taala. Manusia hanya menanggung dosa diri sendiri sahaja. Pertama sekali dalam hidup adalah menyelamatkan diri sendiri dahulu daripada kesesatan hidup kemudian barulah orang lain.


BANGGA DIRI DAN ANGKUH


Sikap tidak jujur itu sebenarnya berpangkal dari sikap bangga diri atau angkuh. Sikap ini adalah kerana merasa diri lebih mulia daripada yang lain. Binasanya syaitan adalah kerana sikap ini. Tidak dapat menerima hakikat bahawa kadangkala Allah sengaja melebihkan satu golongan dengan golongan yang lain. Tujuannya hanyalah semata-mata untuk menguji keimanan. Kerana itu, marilah sama-sama kita berlatih untuk menjadi manusia yang jujur. Manusia yang jujur akan mengetahui keutamaan dalam hidupnya iaitu untuk menyembah dan membesarkan Tuhannya iaitu Allah Taala.


Sekian, Wallahu'alam.






SENARAI POS :
bottom of page