Astronomi Sebagai Ilmu Yang Dapat Mendekatkan Diri Kepada Pencipta
Astronomi itu apa?
Manusia pada zaman ini amat jarang yang mengetahui selok belok tentang langit walaupun hidup sehari-harinya berada di bawah langit. Kesibukan manusia sering menjadikannya lupa untuk sekali sekala mendongak ke atas untuk memerhatikan langit. Sering orang mencari ketenangan dengan melihat kepada pohon-pohon hijau, tumbuh-tumbuhan yang berbagai rupa dan bentuk. Menjemput ketenangan dengan memerhatikan alam semula jadi. Langit juga adalah alam semulajadi yang diciptakan tuhan. Di langit pada waktu siang dihiasi dengan matahari dan awan yang memiliki pelbagai bentuk yang berlainan. Kadangkala mendung kadangkala cerah dan sekali sekala terhias dengan pelangi yang diperhatikan di ufuk langit. Jika hari mahu hujan, kadangkala timbul kilat dan guruh. Kita merasa kecut perut melihat kilat sambar menyambar di kaki langit. Di waktu malam, matahari terbenam dan terbit pula bulan. Bermula dari anak bulan sabit menuju ke bulan purnama dan akhirnya muncul pula akhir bulan sabit. Ketika purnama, malam yang gelap jadi terang Jika langit elok dan cuaca bagus, kelihatanlah taburan bintang-bintang.
Lampu terang
Namun sayang sekali, kerana banyaknya cahaya lampu yang terang benderang menerangi malam menjadikan suasana malam gelap tidak dirasai. Langit yang gelap sudah tidak mampu menimbulkan cahaya dari bintang-bintang yang jauhnya berjuta-juta tahun cahaya. Jika ada kelihatan, sudah tidak menarik lagi kerana agak samar-samar. Para penggemar ilmu astronomi begitu sensitif dengan cahaya terang. Kerana itu, jika ada aktiviti bergelap selama satu jam atau digelar sebagai EARTH HOUR mereka akan merasa gembira kerana waktu itu adalah waktu untuk menyaksikan kegelapan malam seperti sediakala tidak dicemari dengan cahaya yang melimpah-limpah dari lampu-lampu. Namun, tidak semua yang menyahut seruan bergelap itu walaupun hanya satu jam. Orang tidak menghargai astronomi barangkali kerana mereka tidak kenal dan mereka tidak tahu. Dengan itu, elok untuk kita berkenalan dengan apa ilmu astronomi ini.
Ilmu astronomi ialah ilmu yang mengkaji tentang pergerakan bintang-bintang tetap dan planet-planet. Pemerhatian bagaimana pergerakan itu berlaku membolehkan pengetahuan ciri-ciri pergerakan dan kedudukannya diketahui dengan geometri.(1) Manakala menurut Hartmann (1987) telah mengatakan bahawa ilmu falak ialah ‘sains yang mengkaji objek di angkasa’. Menurut maksud yang telah dinyatakan, kita boleh simpulkan bahawa ilmu astronomi adalah ilmu mengenai angkasa raya. Jika saintis kimia makmal melakukan uji kajinya di makmal, saintis angkasa makmalnya adalah langit keseluruhannya. Makmal yang terlalu luas untuk diterokai dan mungkin tidak akan pernah habis untuk diterokai sehingga hari kiamat.
Jika kita amati, di dalam al-Quran terkandung banyak ayat-ayat yang menyebut tentang astronomi. Ini membuktikan bahawa al-Quran bukan sebuah kitab yang diciptakan oleh manusia biasa. Ia merupakan kitab yang diciptakan oleh pencipta alam semesta itu sendiri yang mengetahui perkara yang belum diketahui oleh manusia amnya dan para saintis astronomi khususnya. Berikut adalah sebahagian ayat – ayat mengenai ilmu asrtronomi :
Ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang ilmu astronomi
1) Nebula – Surah ar-Rahman ayat 37
“Selain itu (sungguh ngeri) ketika langit pecah-belah lalu menjadilah ia merah mawar, berkilat seperti minyak.”
2) Letupan besar/Big bang – Surah al-Anbiyaa’ ayat 30
“Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman”
3) Bulan dan matahari – Surah as-Syams ayat : 1-2
“Demi matahari dan cahayanya yang terang-benderang;”
“Dan bulan apabila ia mengiringinya”
4) Bintang - Surah al-A’raf ayat: 54
“Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa lalu Ia bersemayam di atas Arasy; Ia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan deras (silih berganti) dan (Ia pula yang menciptakan) matahari dan bulan serta bintang-bintang, (semuanya) tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Allah jualah tertentu urusan menciptakan (sekalian makhluk) dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbirkan sekalian alam.”
Selain mencari dan mengkaji tentang ilmu astronomi yang terdapat di dalam al-Quran, kita boleh saja untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan langit. Banyak perkara yang menarik yang boleh kita lakukan melalui ilmu astronomi. Kita boleh lakukan bersama-sama dengan ahli keluarga kita atau boleh lakukan dengan sahabat handai kita.
Cadangan aktiviti yang boleh dilakukan :
1.Mengenal bintang dan planet melalui peta bintang
Semenjak dahulu lagi, kebanyakan bintang-bintang yang cerah dan mudah untuk dicerap telah diberi nama oleh orang-orang yang terdahulu. Nama-nama tersebut telah diabadikan di dalam sebuah peta bintang yang boleh diakses dengan mudah di laman sesawang. Oorang-orang zaman dahulu telah melakukan imaginasi dengan menjelmakan bintang-bintang di langit dengan benda hidup. Kita boleh lihat sendiri pada buruj-buruj 12 yang kita ketahui. Dengan adanya penjelmaan terhadap bentuk-bentuk hidupan, akan menjadikan bintang-bintang tersebut mudah untuk diingat dan untuk dijadikan sebagai panduan.
Jika kita tahu, pada zaman dahulu tidak mempunyai teknologi yang canggih seperti yang sekarang. Antara kegunaan bintang ini adalah sebagai penunjuk arah perjalanan. Arah tersebut dapat diketahu melalui bintang-bintan yang terdapat di langit. Bintang tersebut digunakan berdasarkan kawasan yang mereka diami. Jika mereka berada di langit utara, mereka akan bergantung kepada bintang-bintang utara begitu juga yang sebaliknya.
2. Merakam imej bintang yang kita lihat dengan kamera
Jika anda minat untuk merakan gambar-gambar yang cantik, cubalah satu aktivit yang baru dengan merakam imej langit di waktu malam. Diingatkan, untuk merakam imej bintang yang lebih cantik, eloklah anda mencari tempat yang gelap dan yang tidak berawan. Contoh kawasan tersebut adalah kawasan perkampungan yang kurang pengaruh cahaya lampu. Anda boleh lakukan time lapse dan saksikanlah hasil yang menakjubkan. Jika anda mempunyai teleskop ia adalah lebih baik kerana anda dapat merakam gambar objek samawi tersebut dengan lebih dekat. Objek yang paling mudah untuk dirakamkan dengan kamera adalah bulan.
3. Melihat planet atau bintang dengan menggunakan teropong
Jika anda inginkan aktiviti yang lebih mengujakan cubalah beli sebuah teleskop yang berharga paling rendah. Lakukan aktiviti melihat bintang-bintang di langit dengan ahli keluarga anda. Anak-anak anda pasti akan teruja dan akan lebih menghargai keindahannya.
Astronomi sebagai salah satu ilmu yang menyeronokkan.
Semua orang boleh untuk mempelajari ilmu astronomi ini tidak kira peringkat usia. Ilmu astronomi dapat mendekatkan diri kita kepada pencipta. Ilmu astronomi adalah ilmu yang sangat dekat dengan kita. Ilmu astronomi adalah ilmu yang berkaitan dengan aktiviti seharian kita tanpa kita sedari. Dengan melihat semua keindahan-keindahan yang terbentang di alam semesta ini, kita pasti akan merefleksi diri akan keagungan penciptanya. Sedikit sebanyak iman kita pasti akan bertambah teguh.
Rujukan :
(1) Ibnu Khaldun (1332), Muqaddimah edisi terjemahan oleh abridged F.R (1987