top of page

Kita Tidak Ada Ertinya Disisi Allah

Salah satu anggota manusia

Kita mengetahui, setiap kita lahir kerana ibu kita yang mengandungkan kita dan melahirkan kita. Setelah kita lahir kemudian kita membesar dewasa seperti yang sekarang. Kita sudah mampu untuk berdikari dan hidup sendiri tanpa memerlukan bantuan ibu bapa kita lagi. Kita adalah salah seorang ahli manusia yang mendiami muka bumi ini. Selain anda, terdapat berbilion-bilion lagi manusia yang sama-sama mendiami muka bumi ini. Betapa luasnya bumi ini yang dihamparkan oleh Allah untuk manusia dia di dalamnya. Kemudian kita bandingkan diri kita dengan matahari yang menjadi lampu kepada siang kita. Apakah perbandingan yang kita peroleh? Kita adalah tidak bermakna jika kita bandingkan dengan ciptaan Allah itu. Seolah-olah kita adalah pecahan daripada sebutir pasir yang dicampakkan ke permukaan matahari. Tidak terlihat dan tidak memberi kesan apa-apa kepada jasad matahari itu.



Kita dan matahari

Matahari hanya salah satu daripada berbilion atau berzilion bintang yang terdapat di angkasa sana. Ahli astronomi tidak pernah tahu berapa angka sebenar bintang yang terdapat di angkasa. Di dalam galaksi kita, iaitu galaksi Bima Sakti sahaja tidak mampu dihitung, apatah lagi bintang-bintang yang berada di luar galaksi kita. Tidak akan pernah terhitung selama-lamanya. Jika kita tahu, di angkasa sana terdapat berzilion-zilion galaksi. Semuanya berada di langit yang pertama. Allah, tuhan yang menciptakan tujuh lapis langit. Tuhan yang menciptakan kursi dan arsh. Yang kebesarannya tidak terfikir oleh akal dan tidak terlihat oleh mata. Jarak dari satu lapisan langit ke langit yang berikutnya adalah selama 500 jarak perjalanan. Menggambarkan betapa jauh dan lama perjalanan untuk menjangkau dari satu lapisan ke lapisan yang lain. Disebalik keagungan ciptaan itu, apakah nilai kita disisiNya? Sungguh kecil dan tidak ada harganya.


Kita tahu, manusia yang mendahului dalam kemajuan angkasa raya adalah manusia yang dapat menguasai dunia amnya. Kemajuan teknologi ketenteraan angkasa membolehkan mereka memiliki kebolehan untuk mengawal negara lain. Lihat saja negara yang maju dalam teknologi angkasa, seperti Amerika Syarikat dan Rusia. Mereka telah lama berjaya membelah angkasa menghantarkan angkasawan, satelit dan kapal angkasa untuk meneroka ilmu angkasa raya. Mereka telah menemukan banyak jasad-jasad samawi yang baru dari hari ke hari berpandukan teknologi yang mereka bina selama bertahun-tahun tanpa mengenal erti penat dan jemu.



Big bang


Namun, kepandaian dan kelebihan untuk meneroka langit yang luas itu, tidak mampu untuk membuka hati manusia untuk menjadi insan yang beriman kepada penciptanya. Semua kekuasaan dan keagungan telah terbentang di hadapan mata, namun hati tetap enggan untuk mengaku beriman. Sebagaimana penemuan teori big bang beberepa puluh tahun lalu saja. Walhal bukti kejadian itu sudah tercatat di dalam al-Qurah 1400 tahun dahulu. Kita pasti bertanya-tanya, bagaimanakah perkara tersebut mampu untuk diketahui pada zaman yang tidak ada teknologi dan pengetahuan tentangnya? Adakah ia hanya sebagai satu kebetulan sahaja? Peratus untuk menyatakan bahawa perkara itu cuma kebetulan adalah lebih rendah berbanding peratus untuk menyatakan bahawa perkara itu bukan satu kebetulan. Maka, kenapa kita tidak memilih bahawa ia bukan satu kebetulan dan mengakui bahawa ia wujud kerana ia mempunyai pencipta.

Ujian di muka bumi


Yang mengetahui tujuan atau sebab kita wujud dan peraturan alam yang tersedia ini sudah tentulah pencipta kepada sesuatu itu sendiri. Sebagai tanda bersyukur kerana telah dicipta dan memperoleh banyak nikmat, maka setiap manusia yang pernah hidup di atas bumi ini ditugaskan untuk menyembahNya sahaja. Menyembah dengan erti tidak mempersekutukan dengan yang lain. MengesakanNya. Mempercayai bahawa hanya Dia satu-satunya pencipta alam semesta ini. Kerana itu kita hidup di dunia ini. Dunia sebagai tempat untuk menguji kita. Jika kita lulus ujian tersebut kita seterusnya akan dibalas seiring dengan markah ujian yang kita peroleh. Pencatat markah itu adalah para malaikat yang setia mendampingi kita dan mencatatkan segala amal baik dan buruk yang kita lakukan. Segala yang zahir atau yang tersembunyi di dalam hati akan diketahui dan dicatatkan di dalam buku amalan kita. Buku itu akan dibentangkan kepada kita pada hari akhirat kelak.


Amalan baik dan buruk walau sebesar zarah akan tetap dihitung tanpa ada satupun yang tercicir. Baik akan dibalas dengan yang baik dan yang buruk akan dibalas dengan yang buruk. Tiada perkara yang layak untuk membalas segala amal baik yang telah kita lakukan melainkan dengan balasan yang baik juga. Sudah tentu Allah tidak akan memungkiri segala janjiNya. Di dalam kita suci al-Quran Allah sering menceritakan perihal syurga dan neraka dengan silih berganti. Allah akan memasukkan sesiapa sahaja yang dikehendakinya ke dalam syurga. Seiring dengan sifat Allah yang adil sudah tentu kita akan memperoleh balasan setimpal dengan amal perbuatan kita di dunia. Hasil diperoleh berdasarkan tahap usaha kita.



Hati adalah pemandu


Untuk membetulkan keadaan diri kita awal mulanya adalah dengan mengetahui di mana letak hati kita. Apa asas yang kita bina di dalam hati nurani kita. Apa perkara yang kita tempatkan di dalam hati kita. Awwaluddin makrifatullah. Perkara pertama yang kita perlu perbetulkan adalah pengetahuan kita terhadap Allah itu sendiri. Betul dan tepat pengetahuan kita terhadap Allah maka anggota lain secara automatik akan menurut kepada asas kepercayaan hati. Kerana hati tugasnya adalah memandu tubuh badan. Kepercayaan tempatnya adalah di hati, maka tidak boleh tidak kita mesti menggunakan akal untuk mencari dan memahami kepercayaan itu. Pekerjaan akal adalah untuk berfikir terhadap sesuatu perkara itu mengapa dan kenapa ia perlu begitu dan begini. Setiap perkara yang diciptakan oleh Allah sudah tentu mempunyai tujuan yang tersendiri.



Bekerja dan berusaha


Setelah menggunakan akal dan mengetahui sebab kenapa dan mengapa kita hidup maka sedarlah kita bahawa kita adalah terlalu kerdil dibandingkan dengan Allah taala. Sedarlah kita bahawa kita tidak ada ertinya disisi Allah. Sama sahaja antara kewujudan kita ataupun tidak, tidak ada bezanya disisi Allah. Allah boleh menukarkan kita dengan umat yang lain jika Dia mahu. Dengan menyedari hakikat kekerdilan kita maka eloklah kita untuk memenuhi hidup yang singkat ini dengan perkara yang selayaknya sebagai seorang hamba. Seorang hamba yang penuh rasa takut dan pengharapan kepada penciptaNya akan nasib yang bakal diterimanya di negeri akhirat. Ketahuilah, hidup adalah untuk bekerja dan berusaha. Kelak kita akan menuai hasil di kemudian hari. Begitulah adat yang telah temaktub.


Rujukan :


1) The Merciful Servant : The Throne of Allah (Youtube)



SENARAI POS :
bottom of page