top of page
Air Jangan Dicincang, Kerana Ia Tidak Akan Putus
Persaudaraan.
Apakah yang kita faham tentang kalimat saudara ini. Menurut Kamus Dewan, saudara membawa maksud sebagai orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita. Tidak kira hubungan dari sebelah mana yang utamanya adalah berkaitan dengan “keluarga”. Kita punya datuk, nenek, pakcik, makcik, sepupu sepapat, dua pupu dan tiga pupu sekalipun, itulah merupakan keluarga kita. Di zaman serba moden ini kita dapat merasakan kelonggaran ikatan terhadap persaudaraan ini. Ini kerana, kita sudah mempunyai alat yang dapat memungkinkan kita untuk sentiasa berhubung dengan saudara kita tanpa perlu untuk bertemu muka dengannya. Keakraban banyak tertonjol di alam maya. Tidak di alam nyata. Realiti yang tidak mungkin untuk dinafikan.
Bercakap dengan mesin
Hakikatnya kita sebenarnya sedang berkomunikasi dengan alat. Kita bertukar emosi dengan alat. Kita menangis, ketawa dan marah kepada peralatan teknologi tersebut. Persoalannya, adakah perkara tersebut salah dan memberi kesan yang buruk kepada hidup kita? Tepuk dada dan tanya diri sendiri. Hak dalam hidup menurut HAMKA salah satunya adalah hak terhadap keluarga tidak kira hak ibu bapa kepada anak, hak anak kepada ibu bapa atau kepada siapa-siapa sahaja yang bergelar keluarga. Maka, setiap insan mempunyai tanggunggjawab dan hak terhadap ahli keluarganya. Hubungan darah tidak akan dapat dinafikan meskipun kita mahu untuk memutuskan hubungan kita dengan keluarga jika berlaku perselisihan. Tidak ada siapa yang mampu untuk menyatakan bahawa kewujudan dirinya terjadi dengan sendirinya tanpa asbab adanya ibu bapa. Jika ada, itulah satu kebohongan yang paling nyata yang pernah didengarkan.
Komunikasi
Berkomunikasi dengan keluarga adalah salah satu perkara utama yang menimbulkan kekuatan jiwa dan perasaan. Komunikasi yang baik akan menjadikan jiwa seseorang kuat dan mampu untuk menyerlah di medan kehidupan. Sering kita lihat, banyak masalah sosial manusia timbul disebabkan oleh tiadanya komunikasi yang baik di dalam sebuah keluarga. Institusi keluarga yang telah runtuh telah menyebabkan runtuhnya kekuatan jiwa yang positif. Ini kerana, jiwa yang tidak membesar dalam suasana yang positif sukar untuk menjadi insan yang positif. Persekitaran adalah guru yang tidak langsung yang membentuk jiwa kita.
Tukang besi atau pembuat minyak wangi
Ia umpama kita mahu memilih kawan, jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, pastilah baju kita akan turut berbau asap dan terkena belerang bekas-bekas membuat besi tersebut. Begitu juga jika kita bersahabat dengan seorang pembuat minyak wangi. Tidak dapat tidak kita juga turut terkena haruman minyak wangi tersebut. Begitulah perumpamaan kehidupan kita di dalam kekeluargaan juga. Namun tidak dinafikan, ada juga manusia yang dapat bersinar walaupun hidup suasana yang tidak memotivasikannya untuk menjadi seorang yang baik. Perkara begitu jaranglah bertemu dalam masyarakat kita. Jika ada mungkin hanya satu dalam seribu.
Menyentuh tentang persaudaraan ini, penulis mahu kita supaya menyedari kepentingan hubungan persaudaraan. Antara perkara yang tidak disukai oleh Rasulullah ialah orang yang memutuskan silaturrahim. Bahkan siapa yang mahu rezekinya diperluaskan dan umurnya dipanjangkan adalah dengan menyambung silaturrahim.[1]
Hadith:
Daripada Anas RA bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang suka diluaskan rezeki dan dipanjangkan umurnya maka hendaklah dia mengeratkan silaturahim”.
Ini menunjukkan betapa besarnya nilai silaturrahim itu. Ini kerana masyarakat terbina daripada keluarga. Kuatnya ikatan kekeluargaan itu akan menjadi kekuatan kepada hubungan kemasyarakatan. Daripada masyarakat kita dapat membina sebuah negara yang kukuh dan cemerlang.
Berkorban
Menjaga hubungan persaudaraan pada zaman moden kini menuntut kita untuk melakukan pengorbanan. Pengorbanan terhadap nafsu pentingkan diri dan nafsu yang tidak suka untuk mengambil tahu hal orang lain. Persaudaraan adalah satu ikatan yang membolehkan kita untuk bantu membantu. Apabila berlakunya sikap saling tolong menolong, kejiwaan manusia akan menjadi lebih akrab dan seterusnya menimbulkan kasih sayang antara satu sama lain. Allah telah menyarankan kepada kita untuk membantu saudara mara yang terdekat terlebih dahulu berbanding orang lain.[2] Kita dituntut dalam Islam untuk mengutamakan ahli keluarga terlebih dahulu berbanding sahabat, jiran dan orang lain. Ini kerana saudara adalah orang yang mempunyai talian darah dan orang yang hampir dengan kita.
Bagaimana untuk memperbaiki hubungan?
Bagaimanakah cara untuk kita mengekalkan ataupun bagaimana untuk memperbaiki hubungan kekeluargaan kita. Untuk menjalin hubungan yang baik dengan saudara memerlukan kita untuk sentiasa menurunkan rasa ego dan bersifat memaafkan dan lapang dada. Mungkin saja kita tidak mempunyai hubungan yang baik dengan saudara kita kerana sikap buruk yang saudara kita miliki. Di dalam agama kita yang mulia, Allah telah menyuruh kita untuk membalas atau menolak perbuatan buruk dengan kebaikan.[3] Jika kita mempunyai saudara mara yang bersikap buruk terhadap kita maka elok bagi kita untuk membalas sikap yang buruk tersebut dengan sikap yang mulia. Jika kita bertemu dengan saudara yang mahu memutuskan ikatan persaudaraan, kita perlulah menjadi orang yang menghubungkan tali silaturrahim itu semula. Disini penulis sertakan beberapa langkah cadangan untuk memperbaiki hubungan persaudaraan yang renggang.
Pertama adalah dengan menziarahi mereka. Barangkali kita hanya bertemu mereka ketika tiba waktu perayaan sahaja. Cubalah kita datang berziarah mereka ketika bukan masa perayaan. Pada awalnya mungkin kita akan merasa kekok dan tidak biasa. Namun, jika perasaan itu dapat dibendung pada permualaannya, lama kelamaan ia akan menjadi ringan dan akan hilang sama sekali. Ketahuilah, kita tidak akan dapat menjadi akrab jika kita tidak cuba untuk berkomunikasi dengan orang yang kita tidak kenal hati budinya. Komunikasi membantu kita untuk mewujudkan persefahaman dan menjadikan kita lebih memahami seseorang. Berkenal-kenalanlah dengan mereka, siapa tahu mungkin satu masa nanti kita akan menjadi teman yang paling akrab.
Kedua adalah dengan memberi hadiah kepada mereka. Kita boleh memberi apa sahaja kepada saudara kita. Tidak semestinya barangan yang mahal. Jika kita tidak mampu memberi sesuatu yang kelihatan mahal, kita boleh saja memberi sedeqah berupa makanan. Setiap hari kita akan makan, cubalah lebihkan sedikit hidangan yang kita masak untuk diberikan kepada saudara kita. Percayalah, lambat laun kita pasti akan berada di dalam ingatan mereka sebagaimana kita telah memperuntukkan fikiran kita untuk mengingati mereka. Manusia kadangkala dapat ditawan dengan cara kita menawan perutnya.
Ketiga adalah sentiasa tersenyum dan memaniskan muka apabila bertemu dengan mereka. Jangan sesekali segan untuk menegur mereka jika bertemu mereka di jalanan. Tembok pemisah antara kita dan mereka akan runtuh sedikit demi sedikit jika kita sentiasa ada untuk menyapa mereka. Sikap sombong seseorang tidak layak untuk dibalas dengan sikap sombong juga. Tidak ada bezanya jika kita turut sama berperilaku sebagaimana mereka. Balaskan setiap perbuatan buruk dengan perkara yang sebaliknya. Inilah bukti bahawa kita merupakan seorang yang berakhlak.
Akhir sekali, tidak ada manusia yang sempurna di dalam dunia ini. Setiap orang akan membuat kesalahan. Kita tidak boleh sentiasa mengharapkan kesempurnaan daripada orang lain. Daripada kita menunggu orang lain menjadi sempurna, lebih baiklah kita saja yang berusaha untuk menjadi lebih sempurna. Ubahlah kehidupan masyarakat anda bermula dari diri anda sendiri. Setiap perubahan selalunya bermula dari dalam. Jangan menunggu orang lain bertindak. Jadilah pencetus terhadap setiap perubahan yang lebih baik. Setiap kali ingin melakukan sesuatu pastikan bahawa hati dan niat anda melakukan perkara tersebut hanya semata-mata mengharapkan redha Allah dan bukan untuk mendapat perhatian daripada manusia.
Sebelum menghabiskan kata, ingin saya kongsikan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“Zuhudlah terhadap dunia (tidak mencintai dunia), nescaya kamu akan dicintai Allah dan zuhudlah terhadap apa yang dimiliki oleh manusia (tidak cemburu atau tidak berkeinginan terhadap apa yang dimiliki oleh orang lain), maka kamu akan dicintai oleh manusia.”
[Hadits hasan, diriwayatkan oleh Ibnu Mâjah dan selainnya dengan beberapa sanad yang hasan] Sumber: https://almanhaj.or.id/3585-zuhudlah-niscaya-engkau-dicintai-allah-dan-dicintai-manusia.html
[1] Riwayat Bukhari dan Muslim
[2] Al-Baqarah : 177
"Bukanlah perkara kebajikan itu hanya kamu menghadapkan muka ke pihak timur dan barat, tetapi kebajikan itu ialah berimannya seseorang kepada Allah, dan hari akhirat, dan segala malaikat, dan segala Kitab, dan sekalian Nabi; dan mendermanya seseorang akan hartanya sedang ia menyayanginya, - kepada kaum kerabat, dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan, dan kepada orang-orang yang meminta, dan untuk memerdekakan hamba-hamba abdi; dan mengerjanya seseorang akan sembahyang serta mengeluarkan zakat; dan perbuatan orang-orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka membuat perjanjian; dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa."
[3] Al-Fussilat : 34
“Tolaklah (kejahatan itu) dengan cara yang lebih baik, maka tiba-tiba orang yang antaramu dan antara dia ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia.”
SENARAI POS :
bottom of page