Secangkir Teh di Danau Mimpi
Suatu hari,
Kita telah bertemu
Sambil menikmati secangkir teh
Ketika itu
Kita berada di danau mimpi
Kita memandang wajah masing-masing
Dengan tatapan yang dalam
Begitu lama rupanya kita terpisah
Berapa ribu purnamakah perpisahan itu?
Wahai sahabat lamaku
Lalu aku berkata kepadamu
Sambil tertawa kecil
Rupanya engkau telah berumur singkat
Maka aku telah menang
Menang untuk mendoakanmu
Aku berkata lagi
Telah engkau ingatkah?
Bahawa aku pernah mengatakan
Lebih baik kita mengingati MATI
Dari berbantahan tentang masalah yang sekecil biji sawi
Aku tertawa lagi
Sambil berkata
Bahawa semenjak keberangkatanmu
Hidupku telah terbelok ke kiri dan kanan
Tapi aku tak pernah cuba berpatah pulang
Kenapa aku mesti mundur lagi
Sedangkan mundur kebelakang itu adalah kegagalan
Kerana aku telah mendapatkan bukti
Bahawa kepulanganmu dulu
Menjadi bukti kefanaanmu
Lalu kukuhlah dihatiku
Bahawa duniaku bukan selamanya disini
Kelak sedikit waktu
Akan bertemu pula denganmu
Bukan begitu?
Apakah kau masih ingat aku sahabat?
Apakah kau sudah sudah bertemu dengan keindahan yang lain?
Sehingga kau terlupa yang kita pernah bersahabat
Tak mengapa jika kau lupa
Asalkan kau gembira maka aku juga akan bahagia
Habiskan dahulu teh itu
Jangan pergi sedangkan ia masih terisi
Kelak nanti ku jemput kau lagi
Sama-sama kita menyaksikan lagi
Danau mimpi yang indah ini
Sampaikan salamku kepada yang lain
Jangan lupa sebut namaku selalu
Supaya mereka tahu
Bahawa aku akan bertemu mereka juga
Di suatu masa nanti
Assalamualaikum sahabatku.
SRI,
Hamba Fakir.