top of page

Ketika Bertemu Jalan Buntu


Mawar itu indah sekali!


Pernahkah kita merasai satu keadaan ketika kita melihat sekuntum bunga kita merasa kagum. Kita menikmati keindahan bunga itu dan menghargai keindahan itu. Bagaimana perasaan itu muncul secara tiba-tiba, secara spontan tanpa ada pengaruh dari orang lain bahawa bunga itu indah. Aneh, jiwa sendiri yang mengatakannya tanpa dipinta. Itulah jiwa halus yang secara semulajadi terwujud di dalam diri. Adakah orang yang tidak mempunyai perasaan halus ini?




Ketika bertemu duka


Begitulah jua ketika mana kita menempuh hidup. Adakala kita bertemu dengan keindahan dan ada kala kita telah bertemu dengan kedukaan. Kedukaan seperti dikhianati oleh orang. Kita merasa hati kita telah hancur lebur. Luluh hati yang halus itu kerana hebatnya ujian yang diterima. Boleh diperbaiki lagi hati yang telah retak itu, namun ia tidak akan jadi seperti asalnya. Ada yang telah rosak dan tidak mampu sembuh lagi. Kemudian dia menjadi binasa. Manusia kadang-kadang terlalu memikirkan hidup yang terlalu idealistik. Mengidamkan atau membayangkan tentang banyak hal dalam hidup serba sempurna. Contohnya ketika kita menonton filem cinta di televsiyen. Banyak kisah-kisah yang berakhir dengan sempurna. Bahawa sepasang pasangan itu hidup dengan bahagia untuk selama-lamanya. Itulah fairy tale.


Persoalan terhadap takdir


Berapa banyak kita melihat tentang kisah-kisah duka yang menyelimuti sesetengah manusia yang terpilih. Seperti perniagaan tak berjalan dengan lancar, perkahwinan berakhir dengan perceraian. Tidak kira bercerai hidup atau bercerai mati. Ditimpa penyakit berat dan tidak kunjung sembuh dan pelbagai masalah lagi yang berada diluar kemampuan kita untuk mengawalnya. Terkadang kita sering mempersoalkan takdir yang menimpa kita. Mengapakah aku ditimpa masalah sebegini. Mengapakah berat sekali beban ini. Saat itu akan hadirlah perasaan lemah jiwa dan bergoncang kesabaran yang selama ini tidak terusik.



Berdamai dengan takdir


Berdamailah dengan takdir kawan. Tenangkan diri. Biarkan sahaja Allah yang menentukan jalan seterusnya. Serahkan kepada dia jalan penyelesaian. KepadaMu kami menyembah dan kepadaMu kami memohon pertolongan. Tujuh belas kali kita ucapkan di dalam Fatihah kita ketika menunaikan solat. Pastilah didengarkan Allah walaupun tidak diucapkan. Kerana diketahuiNya segala yang zahir terucap dan yang tersembunyi. Dia juga lebih dekat daripada urat lehermu. Maka rasailah keberadaanNya ketika berada dimana sahaja lebih-lebih lagi ketika kita berada di saat getir dan susah.



Genggam erat


Cengkaman tangan akan lebih kencang apabila kita berada di saat ribut taufan yang menggila. Pasti kita akan berpaut pada apa-apa benda yang boleh menyelamatkan kita daripada tiupan angin yang bertiup kencang dan membawa kita hilang entah ke mana. Begitu juga ketika mana hidup kita dilanda badai. Peganglah erat imanmu. Kembali kepada ajaran nabi bagaimana untuk tetap teguh iman dan tidak hilang kepercayaan. Kepercayaan terhadap janji-janji Allah akan kesenangan dan kerehatan di akhirat nanti. Semua perkara yang berlaku adalah untuk menguji kesabaran kita. Sabar menantikan kemudahan daripada Allah. Bertenanglah dengan kesusahanmu.



Tujuan hidup bukanlah untuk berselang lenang menurutkan hawa nafsu. Tidak ada istilah kerehatan dalam hidup ini. Perlu bekerja dan berjuang untuk mencapai satu tujuan. Tujuan untuk menuju ke negeri abadi. Bertemu kembali kepada yang menciptakan keberadaan kita. Di sanalah akhir hidup kita yang tidak akan ada penghujung lagi. Sesuatu dibalas sesuai dengan usaha. Yang baik di balas dengan yang baik begitu juga yang buruk. Hatta sekecil zarah sekalipun ia tetap akan diukur. Di mana saja kamu berada, katakanlah :

Qul aamantu billah, thummas taqim!


Katakanlah

Aku beriman kepada Allah, kemudian istiqomah!





SENARAI POS :
bottom of page