DUNGU ATAU BERILMU?
Assalamualaikum.
Ramai orang tercari-cari hala tuju hidup mereka setelah mereka menamatkan pelajaran di peringkat ijazah sarjana muda. Sukar untuk menemukan kerjaya yang sepadan dengan kelulusan mereka di zaman yang penuh persaingan dan materialistik ini. Sering bertukar-tukar kerjaya dan tidak dapat menghayati pekerjaan yang bukan di dalam bidang sendiri. Begitulah juga SRI. Tapi SRI tidak memilih untuk bekerja. SRI memilih untuk menyambung pelajaran SRI. Dari lubuk hati kononnya SRI mahu menjadi seorang pensyarah. SRI mahu melanjutkan pelajaran sehingga SRI memperoleh gelar profesor emeritus.
Namun, jalan menuju kejayaan tidak mudah. Semangat belajar selalu turun naik dan kadangkala boleh menjadi sifar. Belajar di alam pascasarjana jauh berbeza dengan belajar sewaktu ijazah sarjana muda. Belajar ketika sudah berusia ini menghendaki kita tekun dan perlu sentiasa istiqamah. Bak kata orang sikit-sikit lama menjadi bukit. Tidak dinafikan terdapat banyak masalah jika kita memilih untuk melanjutkan pelajaran. Pertama sekali adalah masalah kewangan. Kedua, adalah masalah kajian yang mahu dijalankan. Masalah kewangan adalah antara halangan yang agak besar yang boleh mengalihkan perhatian kita supaya fokus dalam kajian atau penyelidikan yang kita jalankan.
Namun begitu, cabaran haruslah kita sahut dan jangan cepat berputus asa. Apakah ubat untuk kita menghadapi masalah tersebut? Mudah sahaja, apa yang kita perlu fikirkan adalah niat yang betul. Jika kita mahu belajar, apakah tujuan utama kita mahu belajar. Adakah sekadar mahu digelar orang yang cerdik pandai? Atau kita melebihi orang lain? Jika begitu, saat kita menghadapi satu-satu masalah pasti kita tidak akan dapat bertahan dan sering mahu menyerah kalah. Orang melakukan sesuatu perkara adalah kerana mereka mempunyai tujuan. Tujuan yang kuat akan menjadikan perasaan kita kuat.
Belajar ertinya menuntut ilmu. Menuntut ilmu ertinya mahu keluar dari kejahilan dan menuju kepada cahaya. Tujuan ilmu adalah untuk diamalkan. Bukan begitu? Apalah guna jika kita belajar tapi tidak diamalkan? Sia-sia sajalah perkara itu. Memang, jika mahu menuntut ilmu hati perlu ikhlas. Jika hati keras dan penuh dengan sikap buruk, bagaimanakah kita mahu memperoleh ilmu tersebut? Ilmu adalah cahaya. Cahaya tidak akan dapat masuk jika bekasnya itu kotor dan hitam. Perlulah kikis dosa yang gelap di dalam hati itu sedikit demi sedikit baharulah lembut dan mudah ilmu pengetahuan itu menusuk ke dalam hati.
Ilmu yang tertinggi adalah Allah Taala. Tidak ada siapa yang dapat merungkai ilmu-ilmu berkaitan Allah Taala dan ilmu yang berkaitan dengan perkara ghaibiyyat. Benar, belajar sangat melelahkan. Tapi kelelahan itu lebih baik daripada merasa senang dengan kedunguan. Dungu bererti kita hidup atas dasar hawa nafsu. Hidup sekadar untuk makan, tidur dan isterahat. Tidak ada bezanya dengan haiwan, kerana haiwan juga hidup hanya untuk memenuhkan isi perut sahaja. Kita harus mengerti bahawa hidup adalah permusafiran yang panjang menuju destinasi yang kekal abadi. Teruslah berjalan dan berusaha. Tidak kiralah berapa kali terjatuh, bangunlah lagi dan terus berjalan. Jika sudi, menangislah ketika kelelahan kerana air mata dicipta untuk mengubat hati yang sedih. Setiap keadaan tidak akan pernah kekal. Disebalik kesukaran akan ada kemudahan. Ubatnya adalah kesabaran.
Sekian, Wallahualam.