top of page

YANG DATANG DAN PERGI


Ketika bersama-sama dengan ramai orang, lupa segala masalah dan tugasan atau beban kerja yang perlu diselesaikan. Hanya apabila sudah bersendirian dan memiliki ruang untuk bersama dengan diri sendiri maka muncullah pertanyaan dan mengimbas kembali segala perkara yang telah dilakukan pada hari itu. Kadangkala kita akan merasa gembira dan kadangkala sedih terhadap semua peristiwa yang berlaku pada hari itu.





Semenjak kita lahir hingga tumbuh besar seperti yang sekarang, berapa ribu orangkah yang telah kita temukan. Orang yang kita pernah kenali, bukan orang kebanyakan yang lalu lalang di jalan. Cubalah bilang berapa. Sebaik sahaja lahir, ketika sekolah di tadika, ketika di sekolah rendah, menengah, universitI, tempat kerja, kejiranan rumah, adik beradik, saudara mara belah ayah, ibu dan kenalan-kenalan yang lainnya.


Silih berganti kita dipertemukan dengan sahabat, kawan dan kenalan. Ada yang sudah pergi menemui Tuhannya dan ada yang masih hidup juga yang telah tua. Ada juga anak-anak kecil yang baru menjengah dalam hidup kita. Ada orang yang kita kasih, ada yang menjengkelkan ada yang kasihan, dihormati, di banggakan serta pelbagai lagi. Pelbagai watak kita temukan. Samada sedar ataupun tidak kita telah meningkat usia. Bertambahnya bilangan orang-orang yang kita temukan mencerminkan usia yang telah bertambah. Sikap manusia semula jadinya suka bergaul sesama sendiri. Tidak boleh hidup bersendirian.


Orang-orang yang hebat akan menemui ramai orang. Ramai orang mengenalnya jika bertemu dengannya. Akan menjadi bualan orang-orang dan menjadi kebanggaan jika dapat bertemu dengannya. Kita akan turut mendapat tempias kehebatan orang tersebut walaupun hanya menjadi orang gajinya. Ataupun tukang jahit pakaian yang digemarinya. Kita mahu menempelkan nama kita kepadanya dengan apa sahaja peluang dan cara yang kita ada.






Orang hebat jika menghampiri kita akan mampu mengubah hidup kita. Kita akan turut sama-sama mahu menjadi hebat sepertinya walaupun hanya dengan teladan yang dia tunjukkan tanpa perlu menggunakan kata-kata. Itulah aura yang dimiliki oleh orang-orang yang hebat yang cemerlang. Orang yang dibanggakan dan menjadi idola ramai orang.



Ada orang yang tidak disedari kehadirannya atau ketidakberadaannya. Tidak memberi impak ataupun memberikan kekurangan terhadap hidup orang lain. Hadirnya tidak memberi makna apa-apa. Itulah orang yang hanya mementingkan senang hidupnya saja. Urusan masyarakat sekeliling tidak dihiraukan asalkan hidupnya aman damai dan tidak ada gangguan. Sama saja jika ada atau tidak.


Orang datang dan pergi. Ada yang meninggalkan permata juga yang meninggalkan tahi. Meninggalkan luka dan meninggalkan kasih dan sayang serta kebahagiaan.Yang tetap ada dan yang sentiasa bersama kita adalah diri kita sendiri. Yang tetap kekal mendiami tubuh kita. Itulah rohani atau jiwa. Diri sendiri dicerminkan oleh siapa kita berkawan dan siapa yang kita sandarkan.


Orang yang hebat adalah orang yang sering mampu mengawal diri sendiri dan mampu mengatur hawa nafsunya. Dia percaya terhadap diri sendiri dan berjalan di atas muka bumi dengan penuh keyakinan dan keberanian. Tidak ada sesiapa yang dapat menghalangnya untuk mencapai tujuan yang dia tujukan. Itulah orang yang sentiasa terpandu. Hatinya berani kerana dia telah bergantung kepada yang menciptakan semua hati-hati manusia. Biar siapapun yang menghampirinya tetap dia dengan dirinya. Teguh dengan prinsip yang dipegangnya. Pengetahuannya seluas lautan. Tidak takut dengan bayang-bayang sendiri kerana dia dan bayang-bayanganya telah bersatu menjadi dirinya yang teguh.



Kenalilah dirimu dan tuhanmu serta bergeraklah dimuka bumi ini dengan membawa misi yang jitu. Misi yang bukan hanya untuk dirimu sahaja tapi adalah misi untuk manusia sejagat. Jika semua memilih hitam, janganlah takut untuk memilih warna putih kerana putih itulah yang kau yakini suci dan bersih. Ikutilah kemahuan hatimu. Seiring gerak hatimu, begitulah perilakumu. Jangan ada yang terselindung lagi. Jadilah terang dan nyata. Itulah kejujuran yang perlu engkau pelihara selalu. Engkau lakukanlah pekerjaanmu seolah-olah engkau dapat melihat Allah dan jika engkau tidak melihatNya, tetaplah dia melihatmu walau dimana saja kamu berada.


Sekian, Wallahualam,



SENARAI POS :
bottom of page