top of page

Astronomi dan Islam


Teleskop Angkasa Hubble

Menyebut tentang ilmu astronomi pasti ramai yang membayangkan langit, bulan dan bintang serta sebuah teleskop yang digunakan untuk meneropong langit. Paling-paling, orang akan menyenaraikan planet-planet yang 8 atau 9 yang pernah mereka hafal ketika belajar di sekolah rendah. U zuh bu ma mu zu u nep. Formula yang sehingga sekarang JB ingat yang telah diwarisi dari seorang guru sains di sekolah rendah. Urutan planet di dalam sistem suria, Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus, Neptun dan Pluto. Pada masa itu Pluto masih tidak dikeluarkan dari kumpulan sistem suria lagi oleh IAU (International Astronomical Union) pada tahun 2008.


Astronomi dan Ilmu Falak


Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu astoronomi ini? Ilmu astronomi ataupun dikenali juga sebagai ilmu falak ini adalah salah satu daripada cabang ilmu sains yang mengkaji tentang jasad-jasad samawi (langit) dan alam semesta. Jasad-jasad samawi ini terdiri daripada bintang, planet, satelit/bulan, komet, asteroid, meteor, galaksi dan sebagainya. Antara topik yang dikaji dalam ilmu ini termasuklah mengkaji tentang asal-usul kejadian alam, sifat fizikal jasad samawi seperti suhunya, kecerahan, jisim, gravitinya dan pelbagai lagi.


Ilmu astronomi dengan Islam adalah sangat akrab dan tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan umat Islam sehari-hari. Banyak ayat-ayat di dalam al-Quran yang menceritakan tentang ilmu astronomi ini. Di dalam melaksanakan kewajipan ibadah, umat Islam telah menggunakan panduan ilmu astronomi ini untuk memudahkan urusan mereka. Jika berada di dalam bidang astronomi ini, menjadi lazimlah terhadap pelbagai kajianyang berkaitan dengan keperluan umat Islam di dalam ibadah.


TIGA perkara yang menjadi tunjang utama umat Islam memerlukan ilmu astronomi ini ialah untuk urusan penentuan :


1) Waktu solat


Waktu solat dapat ditentukan dengan melihat kepada pergerakan matahari. Lima waktu yang wajib ditunaikan akan dapat ditentukan dengan Matahari sebagai objek panduan. Ilmuan Islam pada zaman yang lalu telah berusaha kerasa demi menimbulkan pelbagai rumus-rumus untuk menjadi panduan kepada seluruh umat Islam. Sehinggakan pada zaman dahulu telah ada jawatan muwaqqit (penjaga waktu) untuk menentukan masuknya waktu solat.


Banyak peralatan yang telah di cipta sebagai contoh jam matahari berdasarkan bayang, rubu' mujayyab (sukuan sinus) dan astrolab yang digunakan untuk mengetahui kedudukan objek samawi itu.


Sukuan Sinus

Astrolab

2) Arah Kiblat


Kaabah pula adalah arah hadap bagi umat Islam ketika melakukan solat. Tidak kira dimana kita berada kita wajiblah menghadap ke arahnya. Persoalan untuk menghadap kiblat bagi umat Islam yang berada di sekitar Kaabah tidaklah menjadi masalah kerana hampirnya dengan kawasan tersebut. Namun, penyebaran umat Islam diseluruh dunia menjadikan satu kerumitan untuk menentukan arah kiblat. Dengan itu, para ilmuan astronomi Islam telah melakukan kajian terhadap bulatan sfera samawi dan menimbulkan rumus-rumus untuk menentukan arah kiblat sebagai ilmu al-Muthallathat ataupun sebagai ilmu trigonometri sfera.


Trigonometri Sfera


Sekarang, dengan perkembangan teknologi yang lebih kompleks telah dapat dimanfaatkan oleh umat islam di dalam penentuan arah kiblat. Teodolit merupakan salah satu alat moden yang digunakan untuk menentukan arah kiblat. GPS (Global Positioning System) yang berpangkalan daripada satelit yang terdapat diangkasa dapat menentukan kedudukan kawasan di atas muka bumi. Nilai ardh (latitud) dan thul (longitud) sesuatu kawasan itu dapat diketahui dan sangat menghampiri ketepatan.



3) Kalendar/Takwim



Penentuan takwim ataupun kalendar adalah merujuk kepada pergerakan bulan. Walaupun dunia sekarang menggunakan kalendar Masihi yang berpandukan kepada pergerakan matahari, Islam masih tetap merujuk kepada pergerakan bulan untuk keperluan ibadah seperti menentukan tarikh-tarikh penting dalam Islam. Tentu ramai yang sudah biasa mendengar dan arif dengan akitiviti pencerapan bulan ketika hampirnya berlaku bulan Ramadhan, Syawal, Zulhijjah dan sebagainya. Mengetahui kriteria-kriteria kenampakan anak bulan ini memerlukan kepada kemahiran ilmu astronomi. Maka, astronomi sangatlah penting kepada umat Islam.





Kesimpulan


Orion/ M42

Selain daripada mengetahui ilmu astronomi sebagai keperluan dalam ibadah, penting dan perlu untuk mempelajari ilmu astronomi sebagai seorang hamba. Melihat kepada kejadian-kejadian alam semesta di langit akan menunjukkan betapa besarnya kekuasaan Allah. Mengakui kebesaran Allah dan memuji-mujinya merupakan salah satu perkara penting sebagai seorang hamba yang beriman. Islam tidak hanya menghadkan mempelajari ilmu hanya untuk keperluan ibadah fizikal semata-mata, tapi menggalakkan mempelajari semua perkara yang dapat memudahkan umat manusia dan yang paling penting sekali yang dapat memanfaatkan manusia untuk menuju ke akhirat.


Mempelajari ratu ilmu sains ini akan menjadi lebih menyeronokkan dan dapat dihayati dengan lebih lagi jika disertai dengan kesedaran Islam dan bersandarkan dengan iman. Tidaklah Allah menjadikan semua makhluk di atas muka bumi ini sebagai mainan. Maka, terokailah alam ini dan tundukkan kepada kekuasaan sang penciptanya yang maha agung!


SENARAI POS :
bottom of page