top of page

CERPEN : Uhibbuka Fillah



Mereka bahagia. Sudah beberapa tahun mengecap kemanisan rumah tangga. Lebih-lebih lagi hadir cahaya mata penyejuk hati. Izzah dan Mumtaz sama-sama berjanji untuk mencapai cinta sehingga ke jannah. Cinta abadi untuk Allah taala. Izzah gadis sederhana cantik. Berpendidikan tinggi dan tidak bekerja. Hanya menjadi suri rumah mengabdi untuk suami dan membesarkan anak-anak.







Mumtaz, lelaki yang mempunyai wajah segak dan bependidikan tinggi. Mumtaz bermula dari bawah menjalankan perniagaan sehinggalah di telah berjaya membuka beberapa cawangan perniagaan. Syukur, mempunyai isteri yang sangat menyokong dan sabar ketika jatuh bangun membina perniagaan. Mumtaz ternyata terhutang budi dengan isterinya. Memang dia sangat mencintai Izzah. Izzah wanita yang penyayang, lemah lembut dan sangat menjaga agamanya. Kerana itu dia memilih Izzah.








Sehinggalah satu hari dia bertemu seorang wanita yang sangat menarik perhatiannya. Perempuan itu cantik, berkarisma, tangkas bekerja, tegas dan berani. Perempuan itu ialah Salwa. Salwa adalah salah seorang pekerjanya. Mereka selalu berurusan bersama. Mumtaz tidak dapat membohongi dirinya bahawa dia telah jatuh hati kepada Salwa. Dalam diam rupanya Salwa juga menaruh hati kepada Mumtaz.




Semakin lama semakin akrab dan akhirnya Mumtaz telah meluahkan rasa hatinya kepada Salwa. Bagai pucuk dicita ulam mendatang, Salwa menerima Mumtaz. Hubungan mereka serius dan mahu bersatu sebagai suami isteri yang sah. Hanya Mumtaz agak bimbang terhadap reaksi isterinya, Izzah. Namun Mumtaz merasa positif bahawa Izzah akan menerima keputusan ini walaupun berat hati. Mumtaz yakin, Izzah wanita yang faham agama. Sudah tentu dia akur terhadap keputusannya dan dia terbukti mampu.



Izzah, wanita sederhana itu sudah tahu bahawa suaminya telah mempunyai wanita lain. Dia wanita yang mempunyai naluri yang sangat hebat. Hanya dia menunggu kejujuran dari suaminya. Hanya dia telah merasa sisi suaminya yang agak berlainan sejak beberapa lama ini. Dan dia telah menyelidikinya sendiri dan ternyata memang benar suaminya telah jatuh hati kepada wanita lain.





Mumtaz telah terbuai dengan perasaan sehingga dia tidak pernah menyangka sama sekali bawa Izzah telah mengetahui rahsia perhubungannya dengan Salwa. Adakah Mumtaz menyangka bahawa Izzah terlalu naif? Dia menyangka bahawa Izzah adalah wanita yang jujur dan taat sahaja semata-mata.

Izzah, wanita tenang telah lebih dahulu memohon kepada Allah akan segala keputusan yang bakal dilakukannya. Hati perempuan mana yang tidak merasa sedih tatakala orang yang dipercayai tidak mahu jujur dan setia kepada kita. Namun, kerana dia telah faham bahawa cinta untuk manusia selamanya tidak akan abadi. Hanya kepada Allah sahaja cinta abadi mampu terlaksana. Dengan itu dia merasa redha akan tabir ujian hidupnya. Dia masih menanti kejujuran dan pengakuan dari suaminya.



Izzah merasa bimbang akan hubungan suaminya itu. Kerana sudah beberapa lama berlangsung secara rahsia namun dia tidak melihat bahawa Mumtaz akan meluahkan secara jujur kepadanya. Apakah suaminya mahu merahsiakan selama-lamanya? Izzah merasa bahawa suaminya sudah agak berlainan dan sudah agak tidak mesra jika pulang ke rumah. Izzah mengakui bahawa mungkin adalah kesilapannya dan dia berusaha untuk memikat hati suaminya semula.



Izzah benar-benar tidak merasa untuk melarang jika suaminya memberitahu untuk berkahwin lagi. Dia telah redha. Dia tidak memegang hati manusia. Hanya dia menunggu saat bila suaminya sendiri akan memberitahunya. Dia amat bimbang jika suaminya tersalah langkah dan menimbulkan murka Allah. Dua orang yang bercinta, jalan keluarnya adalah pernikahan. Begitulah dia selalu ingat dan yakin. Izzah sendiri mencuba menyelidiki bagaimana hal Salwa. Melalui pemerhatian dan gerak hatinya. Salwa bukanlah wanita yang sanggup untuk berkongsi. Salwa lebih berani dan bersikap memimpin. Mumtaz sering kalah dengan keputusan Salwa. Tidak dinafikan, Salwa adalah seorang yang sangat penyayang dan agak keanak-anakan. Kadangkala Salwa tidak matang. Izzah telah berfikir semasak-masaknya tentang keputusan yang akan dilakukannya nanti.


Izzah telah mengatur pertemuan bersama Salwa. Ternyata Salwa sangat gugup ketika bertemu Izzah. Tenggelam segala sifat kepimpinan dan ketegasannya ketika berhadapan Izzah. Izzah telah bertanya jujur adakah Salwa benar-benar mencintai Mumtaz dan adakah Mumtaz pernah memberi jaminan untuk berkahwin denggannya. Salwa tidak mampu untuk menyatakan tidak. Hatinya tersangat bimbang kerana dia telah terlanjur bersalah mencintai suami orang. Namun, apa yang membuat dia agak tenteram adalah janji Mumtaz untuk mengahwininya dan dia yakin Mumtaz benar-benar mencintainya. Setelah pertemuan itu, Izzah nekad untuk bersemuka dengan suaminya sendiri untuk membahaskan tentang perkara itu. Saat yang tenang Izzah telah membangkitkan hal itu. Begitu berhati-hatinya dia berkata supaya tidak dipengaruhi emosi yang menutup akal yang waras. Mumtaz kaget dan merasa malu terhadap Izzah. Dia tidak dapat menyangkal kecerdikan Izzah terhadap permainan yang dilakukannya. Hanya dia merasa belum bersedia untuk berterus terang. Izzah ternyata adalah seorang wanita yang tegas dalam ketenangannya. Malam itu, Mumtaz telah berlaku jujur terhadap hubungannya dengan Salwa. Lalu dia ditanya oleh Izzah bahawa adakah perkara dari dirinya yang membuatkan Mumtaz mahu mencari perempuan lain. Mumtaz hanya mampu berkata bahawa dia telah jatuh hati. Dia tidak mampu membohongi rasa hatinya tertarik kepada perempuan lain. Izzah tersenyum dan membenarkan di dalam hatinya bahawa hati manusia itu berbolak balik. Rasa cinta hadir tanpa dipaksa. Tapi, akallah yang perlu mendahului perasaan. Mumtaz telah kalah akalnya dan memilih perasaannya.

Dengan itu, dia telah mengumumkan untuk menarik diri dalam kontrak kehidupan bersama Mumtaz. Mumtaz terkesima. Dia akhirnya melihat warna sebenar di dalam diri Izzah. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Izzah akan membuat keputusan ini. Persepsi terhadap peribadi isterinya telah berubah sepenuhnya. Dia tidak pernah melihat keteguhan prinsip yang dipegang oleh isterinya selama ini. Mumtaz hanya melihat bahawa Izzah adalah wanita yang tidak membantah keputusannya. Izzah adalah wanita yang taat dan menerima.



***

Para pembaca budiman, jika anda yang menjadi watak-watak di dalam kisah ini, apakah keputusan terbaik yang akan anda lakukan? Apakah anda akan menyokong Izzah? Adakah anda akan menyalahkan Mumtaz dan membenci Salwa? Apakah yang mendorong anda untuk membuat sesuatu keputusan? Manusia memanglah mempunyai nafsu. Nafsulah yang mendorong kita untuk terus meneruskan kehidupan. Namun begitu, nafsu perlu dikawal oleh akal. Akal tidak dikurniakan kepada haiwan dan tumbuhan. Hanya manusia yang paling mulia dan ditinggikan darjatnya dengan anugerah akal. Lorong manakah yang akan kita pilih di dalam hidup kita.


Sudah tentu setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesalahan. Hanya malaikat dan Tuhan sahajalah yang suci daripada sebarang kesalahan. Sebab itu manusia perlu diberikan hukuman agar keadilah dapat dilaksanakan. Kadangkala kita akan belajar daripada kesilapan kita walaupun hukuman terhadap kesilapan itu sangatlah pahit untuk dihadapi. Setiap masa kita mempunyai peluang untuk menyesali dan bertaubat diatas setiap kesalahan yang telah kita lakukan.


Sebagai contoh kisah di atas, adakah tindakan Mumtaz untuk mencintai Salwa tanpa pengetahuan isterinya itu salah? Sudah tentu ramai dikalangan wanita akan merasa bahawa itu suatu kesalahan yang menunjukkan bukti bahawa perbuatan itu adalah salah satu daripada sikap curang dan tidak beramanah. Akan tetapi, di dalam fikiran Mumtaz barangkali beliau ingin menunggu masa yang sesuai untuk membincangkan perkara yang agak besar dalam hidupnya. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa Mumtaz sebenarnya telah melakukan kesalahan kerana cinta baru yang telah ditemuinya telah menyebabkan dirinya mengabaikan cinta utama yang ada di dalam hidupnya. Mengabaikan kewajipan untuk mengejar sesuatu yang sunat sudah tentu adalah sesuatu yang salah. Sikap yang tidak jujur sama sekali tidak dapat diterima dan perlulah kita melatih diri kita untuk menjauhi segala keadaan yang dapat mendorong kita terhadap sikap tidak jujur.


Setiap hukuman yang kita dapatkan daripada kesalahan yang kita lakukan diharapkan dapat menjadi pelajaran kepada kita supaya lebih berhati-hati terhadap hidup kita di masa hadapan. Bersabar terhadap ujian adalah perkara yang dapat meningkatkan darjat kita di sisi Tuhan. Izzah boleh saja untuk bersabar dan tidak menarik diri dalam perkahwinan itu. Namun, keputusan di tangan kita, kita bebas untuk menentukan ke mana arah haluan hidup kita.


Sekian.






SENARAI POS :
bottom of page