top of page

Syeikh Tahir Jalaluddin Ulama Falak Nusantara


Syeikh Tahir ketika muda

Pendahuluan

Sudah lama SRI bercita-cita untuk berkongsi tentang tokoh falak yang bernama Syeikh Tahir ini. Namun, hanya kali ini baru berkesempatan untuk menuliskannya. Beberapa waktu ini SRI telah melakukan sedikit kajian berkenaan biografi beliau kerana ia merupakan topik penyelidikan yang sedang dilakukan oleh SRI. Pelbagai sumber yang telah diperolehi oleh SRI dan sudah tentu terdapat bermacam kisah yang sama dan berulang ataupun kisah yang bercanggah antara satu sama lain. Sebagai seorang pembaca dan penulis, SRI selalu berharap agar sentiasa dapat berlaku adil dalam menyampaikan maklumat.



Bukittinggi yang indah

Ampat Angkat, Bukittinggi

Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki. Beliau merupakan anak kelahiran Koto Tuo Balai Gurah Ampat Angkat (Ampek Angkek) Candung, Bukittinggi yang terletak di Sumatera Barat pada 8 Disember 1869 M. Syeikh Tahir mempunyai lima orang adik beradik. Pada usianya 2 tahun, ayahnya yang digelar Tuanku Cangking telah meninggal dunia. 7 tahun kemudian, ibunya yang bernama Gandam Urai pula menyusul ayahnya. Setelah menjadi anak yatim piatu, beliau telah dipelihara oleh ibu saudaranya (Limbak Urai) yang merupakan ibu kepada Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Pada usianya 10 tahun, beliau telah pergi ke Mekah menyusul sepupunya yang bernama Syeikh Ahmad Khatib itu. Syeikh Ahmad Khatib telah lama berada di Mekah dan beliau telah menjadi Imam dan merupakan pemimpin Mazhab Imam Syafie di Masjidil Haram.


Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau


Di Mekah, beliau telah belajar mengaji dan tajwid dengan Syeikh Abdul Haq. Beliau turut belajar kitab dengan Syeikh Muhammad al-Khayath, Syeikh Umar Syatha dan sepupunya sendiri iaitu Syeikh Ahmad Khatib Minangkabau. Beliau telah berada di Mekah selama 13 tahun. Antara ilmu yang telah dipelajarinya ialah ilmu nahu (grammar), shorof (epistemlogi), balaghah (retorik), arudh (prosody), mantik (logik), tauhid, fiqh, usul fiqh, hadith, tafsir, hisab (kira-kira), handasah (geometri) dan falak haiah (astronomi).



Melanjutkan Pelajaran Ke Mesir

Kemudian, beliau telah melanjutkan pelajarannya ke Mesir. Beliau menuntut di Universiti al-Azhar selama 4 tahun. Beliau adalah antara pelajar Melayu terawal yang belajar di Mesir. Syeikh Ahmad al-Fathani merupakan gurunya yang mempengaruhi murid-muridnya supaya melanjutkan pelajaran di Mesir. Ketika belajar di Mesir inilah beliau telah mendapat pengaruh fahaman pembaharuan agama yang telah dibawa oleh Syed Jamaluddin al-Afghani. Fahaman tersebut mengalir kepadanya melalui Syeikh Muhammad Abduh. Syeikh Tahir telah bersahabat dengan Syeikh Muhammad Rashid Ridha yang merupakan anak murid kepada Syeikh Muhammad Abduh.



Pakar dalam Ilmu Falak


Syeikh Tahir dilihat lebih menonjol di dalam ilmu falak berbanding yang lain. Tidak dinafikan beliau adalah ulama yang mahir dalam banyak ilmu agama. Setelah menghabiskan pelajarannya di Mesir, beliau telah kembali ke Mekah dan mengajar dan belajar selama 2 tahun. Kemudian beliau telah pulang ke Sumatera untuk menyebarkan ilmunya. Semasa beliau mengajar di Mekah, beliau telah mengajarkan ilmu falak kepada anak-anak muridnya. Antara anak muridnya yang terkenal ialah. Syeikh Khalifah bin Ahmad Nibhani, Syeikh Jamil Jambek, Haji Abdul Karim Amrullah dan Haji Saad bin al-Fakih Abdul Daim. Mereka adalah dikalangan anak muridnya yang datang dari Tanah Jawi.



Perkahwinan dan Anak


Dikatakan Syeikh Tahir pernah berkahwin beberapa kali. Perkahwinan pertama adalah di Mekah. Namun, isteri yang kekal bersamanya ialah bernama Aishah Binti Haji Mustafa binti Datuk Menteri Sati Rawa. Hasil perkahwinan ini, beliau telah dikurniakan 6 orang anak. 4 orang lelaki dan dua orang perempuan. Antara anaknya yang terkenal ialah Syeikh Hamdan Tahir yang pernah menjawat jawatan Gabenor Pulau Pinang.



Menjadi Guru

Oleh kerana kepakarannya di dalam bidang falak, beliau telah diperintah oleh Sultan Perak , Sultan Idris supaya memeriksa masjid-masjid dan surau untuk dibetulkan mana-mana arah kiblat yang salah di seluruh negeri Perak. Beliau pernah dilantik menjadi penolong hakim besar yang membincangkan tentang hukum agama di Mahkamah Besar Taiping dan Ipoh. Beliau telah berpindah ke Johor dan kemudiannya dijemput oleh Tengku Omar bin Ahmad yang merupakan Hakim Besar Johor untuk mengajar para hakim. Beliau berkhidmat selama lebih kurang 3 tahun. Beliau juga pernah menemani Sultan Idris ke London untuk menghadiri kemahkotaan King George pada tahun 1911.


Antara kerjaya beliau ialah menjadi guru di sekolah. Sekolah yang pernah beliau berkhidmat adalah di Madrasah al-Masyur al-Islamiyyah yang terletak di Pulau Pinang dan juga di Sekolah Agama Johor Bharu. Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan Nazir Sekolah-sekolah Agama Johor.


Syeikh Tahir merupakan seorang yang sangat rajin menulis. Banyak karyanya yang diterbitkan dan yang tidak diterbitkan. Beliau sering melontarkan buah fikirnannya melalui penulisan. Antara medan yang menjadi tempatnya melontarkan pandangan dan kritikan adalah seperti di majalah dan akhbar iaitu al-Imam, al-Ikhwan, Semangat Islam, Warta Negara, Utusan Melayu dan Saudara.


Penulisannya banyak di dalam bidang falak. Antara penulisan falak tersebut ialah :


1. Natijatul Umur

2. Pati Kiraan Pada Menyatakan Waktu Solat Yang Lima dan Hala Kiblat Dengan Logaritma.

3. Nukhbatut Taqrirat fi Hisabil Auqat wa Sammatil Qiblat bil Lugharitmat

4. Jadawil al-Logaritmat

5. al-Qiblat fi Nushushi Ulamais Syafiiyyah fi ma Yata'allaqu bi Istiqbalil Qiblatis Syar'iyah Manqulah min Ummuhat Kutubil Mazhab

6. Catitan Mengenai Pendapat-pendapat Syeikh Tahir Tentang Kiblat dan Bahasanya

7. Jawapan Syeikh Tahir terhadap tulisan Tok Janggut Mengenai Kiblat

8. Keterangan Syeikh Tahir tentang Ilmu Falak

9. Keterangan Diri dan Soal Jawab Mengenai Kuasa Memeriksa Kiblat Masjid


Syeikh Tahir merupakan seorang yang berani menegakkan pandangannya. Beliau yakin terhadap apa yang dirasakan benar walaupun ia bertentangan dengan orang ramai. Walaupun umurnya sudah meningkat tua, namun kerana kecintaanya untuk menyebarkan pengetahuan menyebabkan beliau tetap berkhidmat untuk mengajar tentang ilmu falak. Sumbangan Syeikh Tahir yang besar terhadap perkembangan ilmu falak tidak seharusnya dilupakan begitu saja. Banyak karya-karyanya yang harus disemak dan diteliti semula dan disebarkan kepada orang ramai supaya ia tidak terkubur begitu saja. Syeikh Tahir telah meninggal dunia ketika berusia 87 tahun pada hari Jumaat t tahun 1956.


Sekian.





SENARAI POS :
bottom of page