Kisah Seorang Lelaki yang Berwajah Hodoh yang Mahu Berkahwin
Terdapat seorang sahabat Nabi yang miskin, wajahnya tidak menarik untuk dipandang. Lebih mudah untuk ditakrifkan beliau mempunyai wajah yang hodoh. Beliau merupakan seorang yang miskin dan tidak mempunyai status di dalam masyarakat. Nama beliau juga tidak menarik. Para ulama tidak bermaksud untuk berkata bahawa sahabat Nabi tersebut hodoh (na'uzubillah). Mereka adalah indah, namun nama beliau tidak menarik perhatian. Nama sahabat nabi tersebut ialah Julaybeeb ra. Kisah ini terdapat di dalam hadis Sahih Muslim dan Riwayat at-Tirmizi. Hadis ini cukup autentik menurut martabatnya.
Hur al-Ayn
Pada suatu hari Rasulullah saw telah melihat Julaybeeb. Umurnya telah meningkat dan baginda bertanya kepadanya. "Bagaimana keadaan kamu Julaybeeb? Julaybeeb bertanya kepada Nabi, "Wahai Rasulullah, apakah aku hanya akan mendapatkan seorang wanita (isteri) di syurga? Hur al-Ayn (bidadari) InshaAllah? Rasulullah mengerti tentang apa yang mahu disampaikan oleh Julaybeeb bahawa dia tidak akan dapat berkahwin seumur hidupnya. Dia hanya dapat menunggu mati dan berharap untuk bertemu dengan bidadarinya. Rasulullah berkata , " Tidak, kamu akan mendapatkan seorang wanita (isteri) di dunia dan juga di akhirat. Dalam erti kata lain ialah beliau akan mendapatkan Hur at-Tyn dan Hur al-Ain. Tyn bermaksud "tanah".
Meminang
Rasulullah berkata " Wahai Julaybeeb, pergilah kamu ke rumah sekian sekian dan tanyalah, mereka mempunyai seorang anak perempuan. Lalu dia pun pergi menanyakan, namun dia telah ditolak. Maka Rasulullah datang kepada lelaki tersebut dan berkata kepadanya. " Saya mahu bertanyakan tentang anak perempuan kamu". Mereka sangat gembira tentang perkara itu. Nabi berkata, "Ia bukan untuk aku". Mereka bertanya, " Untuk siapa?" Nabi menjawab, " Untuk Julaybeeb". Tiba-tiba wajah mereka berubah (tidak senang). Lelaki itu berkata, " Biar kutanyakan kepada ibunya. Lalu dia memberitahu isterinya bahawa Rasulullah telah bertanyakan tentang anak perempuan mereka. Isterinya berkata " Allahu Akbar, sungguh besar kemuliaan ini." Beliau merasa senang hati dengan perkata itu. Suaminya berkata, " Ini bukan untuk Rasulullah". "Untuk siapa?". "Untuk Julaybeeb". Isterinya berkata, " Subhanallah, kita mempunyai lelaki yang lebih baik dari dia bertanyakan tentang anak kita tapi kita menolak. Sekarang telah datang lelaki daripada serendah-rendah darjat dan sangat hodoh. Adakah kita mahu memberikan anak perempuan kita kepadanya? Tidak."
Berkahwin
Anak perempuan mereka telah mendengar perbualan itu dan dia keluar serta berkata, " Apakah yang aku dengarkan daripada ibu dan ayah? Rasululah telah mewakilkan dirinya untuk lelaki yang lain, meminang untuknya kepadaku dan kamu berkata tidak kepadanya? (Rasulullah). Demi Allah aku tidak akan menolak permintaan Rasulullah dan Julaybeeb adalah satu-satunya lelaki yang akan aku kahwini." Apabila berita ini sampai kepada Julaybeeb, dia merasa sangat gembira. Rasulullah menyuruh sahabat pergi kepadanya dan memberi sedekah agar beliau dapat berkahwin.
Bertempur
Masa telah berlalu dan telah berlakunya peperangan. Julaybeeb merupakan salah seorang yang mengikuti peperangan tersebut. Rasulullah juga turut serta. Dalam peperangan itu, pasukan tentera umat Islam telah memenangi pertempuran itu. Seperti kebiasaannya setelah peperangan tamat, baginda akan melihat di kalangan sahabat-sahabat yang syahid. Masing-masing juga akan bertanyakan tentang ayah saudara mereka, ayah, anak serta yang lain. Akan tetapi Rasulullah bertanyakan tentang 1 soalan, "Di manakah Julaybeebku?" Masing-masing berkata tidak tahu. Tiada siapa yang peduli tentangnya. Hanya Rasulullah yang mengambil berat tentang Julaybeeb. " Dimanakah Julaybeebku?" Semua orang berkata tidak tahu. Dan kemudian mereka berkata, "Wahai Rasulullah, adakah engkau melihat ayah saudaraku? Baginda berkata tidak, dan bertanya, " Adakah kamu melihat Julaybeebku? Mereka berkata, " Tidak, kami tidak tahu langsung tentang dia."
Syahid
Maka baginda mencarinya. Lalu ditengah-tengah himpunan mayat yang bergelimpangan baginda telah menemui Julaybeeb syahid diatasnya. Disekelilingnya terdapat 7 orang orang musuh Islam yang mati. Apabila melihatnya, Rasulullah menangis. Baginda berkata, "Dia telah membunuh 7 orang musuh Islam dan dia telah terbunuh. Julaybeeb adalah sebahagian daripadaku dan aku adalah sebahagian daripada Julaybeeb, Dia adalah salah seorang dari keluargaku dan aku adalah salah seorang dari keluarganya." Julaybeeb tidak berbaring kecuali di atas telapak tangan Rasulullah. Rasulullah mengangkatnya dengan tangannya sendiri dan baginda menangis. Kemudian tangisannya bertukar menjadi senyuman dan kemudian baginda mengalihkan pandangannya. Rasulullah telah menguburkan Julaybeeb sendiri.
Isteri di Syurga
Kemudian mereka bertanya kepada Rasulullah saw. "Kenapa engkau menangis wahai Rasulullah dan kemudian engkau tersenyum lalu mengalihkan pandanganmu?" Baginda menjawab, " Aku menangis kerana aku telah kehilangan ahli keluargaku, tidak ada siapa yang peduli tentangnya kecuali aku. Kemudian Allah telah menunjukkan kepadaku tempatnya di syurga. Aku melihat rohnya di syurga dan terdapat salah seorang daripada isterinya (bidadari) telah berlari kearahnya. Kerana itulah aku tersenyum bahawa dia akhirnya telah mendapatkan isteri yang dia mahukan di syurga. Dan wanita itu berlari sehingga menampakkan tumit kakinya. Maka kerana itu aku mengalihkan pandanganku. Aku tidak mempunyai hak untuk melihat kepada isteri Julaybeeb."
Sekian.
p/s : Kisah ini saya ambil daripada youtube (The Prophet Path di bawah tajuk, The Story of Ugly Man) Mohon maaf jika apa yang saya sampaikan tidak sepenuhnya seperti apa yang disampaikan oleh Syeikh tersebut.