top of page

Mengapa Wanita Perlu Menutup Aurat?

Sebagai seorang manusia, kita tidak dapat hidup dengan hanya menurut kemahuan sendiri. Kejadian kita di muka bumi ini juga adalah bersebab. Tidaklah Allah menjadikan kita ini dengan hanya untuk bermain-main tanpa ada tujuan. Begitu juga dengan suruhan menutup aurat kepada para wanita. Setiap hari kita menutup aurat, namun apakah kita faham apa makna di sebalik penutupan aurat itu. Apakah kita menutup aurat kerana atas dasar adat atau paksaan daripada orang tua?







MENGHAYATI MAKNA MENUTUP AURAT


Sangat penting untuk kita mendalami maksud menutup aurat ini kerana jika kita menutup aurat tanpa ada sesuatu dalil yang kukuh, maka kita akan mudah sekali untuk meninggalkan arahan menutup aurat di satu-satu masa kita merasa tidak kuat atau tidak terdorong untuk menutupnya.






MENGAPA MENUTUP AURAT?


1) Kerana di dalam al-Quran telah tertulis arahan menutup aurat di dalam surah an-Nur ayat 31 :


Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”


2) Begitu juga di dalam surah al-Ahzab ayat 59 :


Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”


3) Dan hadis Nabi ketika Asma binti Abu Bakar telah menemui Nabi dengan memakai pakaian yang tipis :


Sabda Rasulullah saw. " Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaidh, tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah sahaja. " (Riwayat Bukhari dan Muslim)


Berdasarkan dalil-dalil yang telah disebutkan, mari kita teliti apakah suruhan yang perlu kita perhatikan dan seterusnya melaksanakan suruhan itu.


1) Menutup seluruh tubuh kecuali yang zahir (muka dan tangan) sahaja.

2) Menutup dada

3) Melabuhkan pakaian semasa keluar

4) Tidak tipis


Sekarang kita sudah mengetahui tentang kewajipan itu datangnya daripada Allah. Lalu apakah hikmah kita menutupnya?


Zaman sekarang kita melihat ramai orang yang memakai pakaian yang menutup tubuh dan wanita muslim dapat dikenal dengan kerudung yang menutup kepala mereka. Secara automatik orang akan mengenal kita dengan sehelai kain yang menutup rambut kita. Namun, adakah dengan tudung tersebut telah menjadikan kita sudah melaksanakan kewajipan menutup aurat?


Pelbagai fesyen pakaian yang ada di pasaran sekarang dan kita mengenakan ia bersama-sama dengan tudung. Tudung hanyalah sebagai syarat dan tidak perlu menitip beratkan tentang apakah pakaian yang sebenar-benarnya yang disyariatkan oleh Islam.


Ramai yang meremehkan tentang soal melonggarkan dan melabuhkan pakaian. Istilah longgar dan labuh itu perlulah dihayati. Longgar bererti tidak menampakkan bentuk badan dan labuh bererti panjang serta berkeadaan lebar.


Wanita adalah ciptaan yang sangat indah. Istimewa. Segala yang ada pada wanita itu menjadi tarikan kepada lawan jenis. Bentuk badan wanita adalah keindahan bagi para lelaki. Mereka sentiasa berkeinginan untuk melihatnya. Tidak semua lelaki akan memelihara pandangan dan hati mereka. Apakah yang berlaku jika mereka berkeinginan jahat dan ia kerana di dorong oleh diri kita yang berpakaian tidak menutup aurat serta menarik perhatian mereka? Kita semua tidak akan sanggup untuk menerimanya jika perkara itu berlaku kepada diri kita.


Sudah tentu kita boleh mengatakan bahawa mangsa kerakusan lelaki jahat tersebut termasuklah wanita yang menutup aurat sempurna. Kejahatan mereka tidak ada kena mengena dengan hijab yang dipakai, tetapi adalah daripada diri mereka sendiri. Antara pendorong kejahatan itu adalah perbuatan mendedahkan perhiasan dan aurat wanita yang sangat menarik hati mereka yang jahat. Bukankah mencegah itu lebih baik dari mengubati?


Apakah kita merasa rendah diri menjadi wanita muslim yang taat? Apakah kita malu digelar muslimah? Apakah erti kita menjadi Muslim jika kita mengelakkan diri untuk dikenali sebagai muslimah. Bukankah kita boleh mengenakan apa sahaja pakaian asalkan ia dapat menutup aurat anda dengan sempurna. Islam tidak melarang kita untuk berfesyen asalkan ia tidak berlebihan. Bersederhanalah dalam apa sahaja keadaan.


Semoga semakin hari kita semakin menghayati makna menutup aurat dan seterusnya dapat istiqomah dengan menutup aurat. Semoga Allah memberi pembalasan yang baik kepada semua wanita yang menutup aurat demi untuk mentaati perintah Allah dan menjadi hamba yang bertaqwa.


Sekian, Wallahu'alam.




SENARAI POS :
bottom of page