3 Perkara Yang Menjadikan Anda Lebih Baik
Dalam menempuh kehidupan harian, satu saat pasti kita tertanya-tanya kepada diri kita sendiri apakah hala tuju hidup kita dan apakah kita sudah menjadi hamba yang baik kepada Tuhan. Kebanyakan orang termasuk SRI akan merasakan diri sendiri masih belum lagi menjadi hamba yang baik. Kerap kita mahu berubah tapi satu hal yang menjadi permasalahan ialah bagaimana kita mahu berubah? Perlu mula dari mana?
Terdapat 3 perkara yang perlu anda lakukan untuk menjadikan hidup anda lebih baik iaitu :
1) Perbaiki kualiti IBADAH
Selama ini memanglah kita sentiasa beribadah. Kita solat setiap hari. Namun perhatikanlah kualiti ibadah solat kita. Apakah kita telah benar-benar menitik beratkan ibadah solat kita. Cuba mulakan dengan menepati waktu solat fardu. Jangan melewatkannya. Solat Subuh adalah solat yang selalu kita terlepas atau terlewat. Mulakan dengan tidur awal agar esok anda akan mampu untuk berjaga awal.
Bagaimana anda dapat menjadi orang yang hebat jika pengurusan terhadap diri anda juga tidak dapat kita ubah. Selepas solat mulakan pagi anda dengan bacaan ayat-ayat al-Quran. Jika anda melakukan ini, pasti anda akan merasakan hari anda menjadi lebih baik.
2) Menambahkan ILMU pengetahuan
Ilmu pengetahuan boleh anda dapatkan dari mana sahaja. Jangan tanya ilmu apa yang anda perlu dapatkan. Bacalah apa sahaja. Jika anda bertanya apakah perlu menambahkan ilmu pengetahuan tentang ibadah? Pengetahuan tentang ibadah sengaja diasingkan. Ibadah adalah perkara pertama dalam hidup kita, jadi tidak perlu dipersoalkan tentang kewajipan kita untuk menambahkan ilmu tentangnya.
Bacalah apa sahaja buku yang dapat menambahkan ilmu anda. Sebagai contoh, cuba anda memfokuskan pada tahun ini untuk memahami sejarah Islam. Baca dan fahaminya dengan sebenar-benarnya serta menghafalnya. Baca semula dan ulang sehinggalah anda benar-benar menguasainya. Nabi Muhammad s.a.w merupakan tokoh yang ingin kita contohi. Bagaimana kita mahu mengikuti segala cara hidup baginda jika kita tidak mengenal dan mengetahui sejarah hidupnya.
Selain itu, cuba fahami dan dalami al-Quran. Al-Quran adalah kitab yang sarat dengan ilmu pengetahuan. Sudah tentu ramai yang keliru apakah perlu menghafal ayat al-Quran tersebut atau hanya memahami tafsiran ayatnya sahaja? Jawapannya adalah jangan sesekali memisahkan antara ayat al-Quran dan kefahaman ayatnya. Sudah tentu jika kita ingin menerangkan tentang tafsir ayat tersebut kita perlu mengingat ayat itu yang bagaimana. Kemudian, cubalah hafal beberapa doa setiap tahun. Hafal dan fahami maksud doa tersebut.
3) BERKHIDMAT kepada masyarakat
Sertailah apa sahaja organisasi atau persatuan yang membolehkan anda berkhidmat kepada orang lain. Tidak kira apa sahaja organisasi. Contohnya menyertai organisasi kesedaran alam sekitar, membantu orang miskin, membantu mangsa bencana alam atau sebagainya. Menyertai aktiviti seperti ini sangat membantu untuk memupuk sifat matang di dalam diri terutamanya kepada para remaja.
Lebih bagus kita menyertai organisasi yang dianjurkan oleh orang bukan Islam kerana kita dapat menjadi kepada duta agama dan menunjukkan contoh yang baik kepada agama lain. Kita juga dapat menyebarkan pengetahuan tentang Islam secara terus. Mereka dapat bertanya kepada anda apa sahaja berkenaan agama Islam. Ini satu bonus kepada anda untuk menarik orang bukan Islam untuk mengenali lebih banyak tentang Islam.
Setakat ini saja dahulu. Cubalah fokus untuk 3 perkara ini dahulu. Anda akan dapat merasakan perubahan yang baik dalam hidup anda jika anda mula melaksanakan 3 perkara ini. Mudah-mudahan kita semua tetap istiqomah dan berjaya menjadi hamba yang lebih baik dari masa ke semasa. Aamiin.
Sekian.
Sumber : Diambil daripada kuliah Syeikh Nouman Ali daripada video The Merciful Servant.