PULANG
Sepasang sandal melangkah
Belok kiri dan kanan
Menghormati nisan-nisan yang bersusun
Assalamualaikum wahai orang yang mendahului
Kubur lama tanahnya tandus
Pokoknya merimbun menutupi
Kubur baru masih membukit
Merah tanahnya kerana kelmarin baru pulang
Semuanya lurus berbaris
Jasadnya di dalam mengiring menatap Kaabah
Dia duduk di atas tanah
Menatap tulisan pada batu nisan
Al-Fatihah dibacakan
Mata terpejam berdoa
Hati insaf mengakui
Jasad ini juga akan tidur di dalamnya
Esok sentiasa ada
Mati bukan bererti berakhir
Tapi adalah baru bermula
Hidup dalam keabadian hakiki
Terbaik dari yang terbaik
Pangeran jua yang mengadili
Jauh Dia dari ketidakadilan
Semuanya berada di dalam genggamanNya
Aku pulang dahulu
Kelak aku akan kembali
Kembali untuk berdoa
Atau kembali untuk tidur disini
SRI
180117
Kuala Lumpur