TRAVELOG KEHIDUPAN SRI : LEMBAM
Pernah satu hari, di tahun lepas SRI telah bertemu dengan seorang lelaki. Waktu itu SRI sedang makan jajan. Enak sekali jajan itu. Elok saja SRI makan SRI telah ditegur oleh lelaki itu. Dia bertanyakan arah perjalanan kereta api di Stesen KTM KL Sentral. Dia mahu ke mana SRI sudah lupa. SRI tunjuklah begitu dan begini. Dia berterima kasih dan SRI senyum saja. Barangkali dia jarang menaiki kereta api. SRI meneruskan makan jajan. Orang itu pula mundar mandir dan terus tercegat di hadapan SRI. SRI abaikan saja.
Kemudian, tiba-tiba dia berada dekat dengan SRI dan terus duduk di sebelah SRI. SRI hanya senyum saja. Kerusi itu semua orang boleh duduk. Cuma agak kurang selesa kerana bahagian itu adalah khusus untuk wanita. Tapi tidak mengapalah kerana dia tidak biasa dengan perkhidmatan kereta api ini. Kalau dia tahu pasti tidak menunggu di sebelah SRI. Tiba-tiba dia menyapa dan berbasa-basi. Terus dia menunjukkan kad KTM nya. Dia memperkenalkan dirinya sekian sekian dan dia menyatakan bahawa dia adalah orang kategori OKU. Terkejut juga SRI, kerana dia kelihatan sempurna. Tanpa ditanya dia menjelaskan bahawa dia OKU yang mengalami masalah pembelajaran.
Dari situ terus dia bercerita itu dan ini. Dia mengaku bahawa dia sejenis orang yang lurus bendul. Apa yang diarah orang dia akan menurut. Ceritanya terus masuk ke bahagian dia bekerja kebun. Dibayar sedikit dan dia dijaga oleh ibunya. Nadanya terus berubah menjadi sayu apabila bercerita tentang ibunya. Ibunya sudah meninggal dunia tahun lepas. Kemudian dia bertanya SRI masih punya ibu dan ayah atau tidak. SRI jawab sekadarnya. Begitu dan begini.
Orang itu memang suka berbicara sehingga SRI hanya mampu mengangguk-ngangguk sahaja. Tiba-tiba dia menyatakan bahawa dia dari tadi tidak makan langsung. Dia tiada duit. Dia pun tidak tahu bagaimana untuk makan. SRI serba salah, waktu itu SRI sedang mengunyah jajan. Kawan kita sedang lapar kita pula makan dihadapannya. Selera SRI terus mati dan SRI pun berkira-kira mahu memberikan jajan itu atau tidak. Masih banyak lagi. Tapi itu bekas yang telah dimakan. Akhirnya SRI beri juga. Tidak sampai hati pula.
SRI terkejut juga apabila dia mahu menerima. Malu rasanya di hati SRI. Orang itu usianya sudah menjangkau 50 tahun. Ceritanya terus masuk kepada peribadi dirinya yang masih belum berkahwin. Dalam hati SRI patutlah dia kelihatan agak pemalu, rupanya masih bujang. Biasanya orang yang seusia dengannya wataknya sudah seperti seorang ayah tetapi dia tidak. Dalam hati SRI menunggu bilakah orang ini mahu pergi? SRI sudah agak letih sebenarnya untuk mendengar ceritanya. Banyak kisah sedih yang dia kongsikan. Tapi dia orangnya sangat positif.
Antaranya ialah dia pernah mengatakan bahawa dia pernah masuk kumpulan al-Arqam. Patutlah gayanya agak alim. Memakai songkok putih. Oleh kerana dia lembam maka ramai orang kampungnya tidak menyukainya dan tidak percaya bahawa dia boleh mengajar orang mengaji. SRI merasa aneh juga bagaimana dia boleh mengajar oran mengaji sedangkan dia lembam. Dia beritahu bahawa dia cuma menghafal. Makin lama SRI merasa agak takut dan ragu. Entah dengan siapa-siapalah SRI berbual. Memang SRI sudah tidak larat. Sejam mungkin ada dia bercakap.
SRI cuba menepis-nepis prasangka yang ada di dalam hati SRI. Ceritanya ada setengah yang boleh dipercayai dan setengah tidak. Tapi SRI tidak mahu ambil serius kerana terang-terang di awal tadi dia mengaku bahawa dia OKU. Lega rasanya apabila kereta api sudah sampai. Kami berpisah disitu.
Setelah sesi perbualan yang panjang itu, SRI tiba-tiba terus terfikir. Mungkin saja dia orang yang hebat. Tidak siapa pun tahu kebarangkalian dia itu wali, orang hebat di sisi Allah. Terus jatuh segala pelabelan yang tidak-tidak kepada orang itu. Insaf pula bahawa jangan mudah berprasangka. Kita tidak tahu apa yang tersembunyi. Sentiasa berfikir perkara baik tentang orang lain. Jangan memandang orang lain lebih rendah dari diri kita. Semaikanlah sikap suka merendah diri. Terus SRI ingat kisah Uwais al-Qarni. Terkenal di langit tapi tidak dikenal oleh penduduk Bumi. Boleh jadi orang itu begitu. Mana kita tahu. Apapun, SRI mendapat banyak pengajaran dari pertemuan itu. Antaranya tentang rasa bersyukur, masih boleh belajar, tidak lembam, masih punya duit untuk makan walau tidak banyak. Masih punya ibu. Masih punya keluarga lain yang diharapkan pertolongan.
Orang itu rupanya bergerak dari Perak ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas dan seterusnya mahu ke pejabat kebajikan untuk menguruskan permohonan bantuan kewangan. Duit itu mahu digunakan untuk menyara hidupnya kerana dia hanya tinggal sendiri. Itu adalah seperti yang dikatakan olehnya sendiri. Harapan SRI, semoga dia sentiasa beroleh lindungan Allah dan beroleh kebahagian hidup. Amin.
SEKIAN.
SRI :)