top of page

Marco Polo dan Kublai Khan



Venice, Itali

Marco Polo, orang Itali yang pergi mengembara pada tahun 1271 M untuk bertemu dengan Kublai Khan. Beliau berangkat kembara bersama ayah dan pakcik saudaranya. Jalan laut dan darat direntasinya. Beberapa gurun telah dijejaki. Tujuannya adalah untuk bertemu dengan si Kublai Khan. Siapakah Kublai Khan ini pula? Kublai Khan merupakan seorang raja yang berasal dari keturunan Gengis Khas. Kublai Khan merupakan keturunan raja ke enam dari susur galur Gengis Khan yang memerintah negara China. Beliau sangatlah berkuasa dengan banyak negeri yang berada di bawah jajahan takluknya. Kublai Khan bukanlah dari kalangan orang China. Beliau berketurunan Monggol. Penampilan orang Monggol biasanya adalah berjanggut dan tidak sama sebagaiman orang China.



Gunung Pamir


Di dalam perjalanan Marco Polo untuk menemui Kublai Khan, dia telah menemui banyak perkara yang menarik dan aneh yang selama ini tidak pernah dilihatnya. Antaranya ialah apabila beliau melihat keindahan Gunung Pamir yang berada di antara negara Tajikistan, Kyrgyztan, Afghanistan dan China. Beliau telah melihat kambing-kambing yang sangat besar dan gemuk yang tidak ada di tempat asalnya. Padang Pasir Gobi di Monggol yang luas itu juga telah direntasnya. Beliau juga telah melalui kawasan kashgar yang kini merupakan kawasan penduduk Islam etnik Uigur di Xinjiang, China.


Orang Monggol


Orang-orang Monggol merupakan golongan masyarakat yang hidup nomad. Mereka suka berpindah randah dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Mereka akan membawa khemah yang diperbuat daripada kain bulu kempa. Kain bulu kempa ini adalah kain tenun yang diperbuat dari benang kapas. Antara lain yang ditemuinya adalah binatang cerpelai. Binatang yang sedikit menyerupai kancil.


Kublai Khan sangatlah hebat dan berkuasa, beliau pastinya mempunyai musuh yang tidak berpuas hati dengannya. Musuh itu pun dari kalangan sesama keturunan mereka juga. Antaranya ialah Raja Kaidu yang merupakan orang Monggol juga.


Raja Kaidu dan Ahmad


Orang-orang China juga tidak berpuas hati dengan Kublai Khan. Ini kerana, Kublai Khan bukanlah orang China. Oleh itu mereka tidak berpuas hati dari merancang untuk melawan Kublai Khan. Antara sebab mereka tidak berpuas hati ialah, salah seorang daripada orang kepercayaan Kublai Khan, yang bernama Ahmad sering menyalah gunakan kuasanya untuk kepentingannya sendiri. Dengan itu telah berlaku pemberontakan. Pada waktu itu Kublai Khan tidak berada di istana. Walaupun pemberontakan itu tidak berjaya, Ahmad yang berketurunan Arab itu telah terbunuh.


Gajah dan Tentera Burma


Marco Polo juga telah menceritakan tentang kisah peperangan Kublai Khan dengan Burma. Tentera Kublai Khan sebelum ini berperang dengan menggunakan kuda. Kublai Khan merasa aneh kerana tentera Burma menggunakan gajah sebagai kenderaan perang mereka. Tentera Kublai gemar berperang di kawasan tanah lapang. Pada ketika menyerang Burma, mereka tidak berada terlalu hampir dengan kawasan tanah lapang. Tentera Kublai hampir-hampir kalah kerana kehebatan tentera bergajah Burma. Namun, oleh kerana senjata yang digunakan oleh orang Burma tidak sehebat senjata tentera Kublai maka mereka kalah. Tentera Burma juga tidak memakai baju besi seperti tentera Monggol. Kublai Khan telah mendapatkan manfaat daripada peperangan ini iaitu beliau telah mendapat kenderaan baru untuk berperang iaitu gajah.



Marco Polo Sebagai Duta Burma

Setelah Kublai Khan berjaya menakluk Burma, beliau telah memerintahkan Marco Polo untuk menjadi orang kepercayaannya di sana. Selama beberapa tahun Marco Polo berada di Burma, beliau telah menemukan perkara-perkara yang menarik. Antaranya ialah, kuil yang telah disadur dengan emas. Orang-orang disana menyembah kuil. Terdapat genta-genta yang di gantung pada kuil tersebut.



Peking/Beijing

Selain Burma, beliau juga telah mengembara ke Peking. Peking pada hari ini adalah merupakan kota yang dinamakan Beijing. Beliau menyatakan bahawa disana orang-orangnya sangat baik. Kawasannya juga indah. Orang-orang Peking merupakan dari golongan orang China. Kebanyakan mereka tidak menyukai Kublai Khan kerana beliaulah yang telah menjajah negeri mereka.


Mata Wang


Antara lain yang menjadi perkara aneh bagi Marco Polo ialah apabila beliau melihat orang yang mandi setiap hari. Mereka telah menggunakan arang batu sebagai cara untuk memanaskan air untuk mandi. Orang-orang disana telah menggunakan batu sebagai bahan bakar kerana terlalu kerapnya. Bahan bakar daripada kayu pula sangat terhad dan mahal. Negara yang diperintah oleh Kublai Khan juga telah mempunyai mata wang mereka. Berbagai jenis mata wang yang mereka gunakan antaranya ialah, batu merjan (sejenis batu yang boleh dibuat hiasan), ada juga mata wang daripada garam. Garam itu dikeringkan dan setiap orang wajib menggunakan mata wang garam yang telah dicop oleh pegawai yang telah dilantik oleh Kublai Khan.


Marco Polo akhirnya telah pulang kembali ke negaranya Itali. Setelah beliau pulang, beliau telah mengikuti satu peperangan yang menyebabkan beliau dipenjarakan. Kisah Marco Polo ini telah menjadi inspirasi kepada Christopher Columbus yang juga merupakan seorang pengembara.


Bagi, SRI kisah pengembaraan Marco Polo ini sangatlah menarik. Kita telah dapat mengetahui dan mempelajari kepelbagain budaya masyarakat yang beragam. Bahasa dan cara hidup yang berbeza seperti yang kita amalkan di tempat kita. Sudah tentulah apabila semakin banyak tempat yang kita jelajahi semakin luaslah cara fikir kita. Kita akan merasakan begitu indahnya alam ini. Kadangkala kita akan bertemu dengan perkara yang berkenan di hati kita. Kadangkala juga kita akan bertemu dengan perkara yang tidak kita sukai seperti Marco Polo yang tidak menyukai sesetengah budaya masyarakat India yang beliau temukan.


Sejauh mana kita mengembara, sudah tentu tanah air sendiri yang kita sayang dan rindukan selalu. Jika kita tanyakan kepada Marco Polo, kenapa beliau tidak tinggal saja di negara taklukan Kublai Khan setelah begitu banyak keindahan yang beliau temukan di sana. Mengapa beliau tetap ingin pulang ketanah airnya? Sebenarnya tidak ada tempat lain yang dapat menggantikan tanah air yang merupakan tempat kita bermula hidup. Jika tidak, tentu tidak akan terwujudnya pepatah 'hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negara sendiri'. Itulah jati diri kita yang tidak dapat ditukar ganti dengan yang lain. SRI cadangkan anda semua membaca buku ini.


Sekian.


Rujukan : Kisah Pengembaraan Marco Polo oleh Richard J. Walsh



SENARAI POS :
bottom of page