top of page

MUTIARA DI PUNCAK GUNUNG

Manusia secara umumnya mempunyai keinginan untuk mencapai kenikmatan hidup di dunia. Salah satu perkara yang di dambakan oleh setiap manusia yang berakal waras ialah perkahwinan yang membahagiakan. Manusia tidak mampu untuk hidup sendiri. Setiap tubuh yang bergerak dimuka bumi ini saling memerlukan antara satu sama lain. Masing-masing melengkapkan keperluan yang lain. Sebagai contoh, nelayan memerlukan tukang tanam gandum untuk mendapatkan bekalan makanan untuk membikin roti. Tukang gandum memerlukan nelayan untuk mencampur roti dengan tuna yang di pukat oleh nelayan. Tukang kayu memerlukan tukang besi yang membikin pahat untuk membuat rumah. Tukang besi memerlukan tukang kayu untuk memotong kekisi rumahnya agar boleh membentuk rumah!



Maka untuk mencapai kemudahan bertolong-tolongan antara satu sama lain maka haruslah sentiasa dipelihara keamanan yang kesejahteraan hidup dalam bermasyarakat. Jangan sesekali ditimbulkan bibit pergaduhan yang kelak boleh merugikan diri sendiri. Apa kata kita beralih pula pada kehidupan bermasyarakat yang lebih besar dan luas. Iaitu hubungan antara negara-negara dengan negara yang lainnya. Hubungan dua hala antara satu negara negara yang lain amat penting bagi melengkapi kebutuhan kehidupan dan kemajuan negara. Hubungan ini akan saling menimbal balik untuk kepentingan negara masing-masing. Negara si fulan ini mengimport gas dan minyak kepada negara si fulan. Negara si fulan ini mengimport beras kepada negara si fulan dan negara si fulan membekalkan ubat-ubatan kepada negara si fulan yang satu lagi. Maka begitulah berjalannya kehidupan bersahabat antara satu negara dengan negara-negara yang lainnya.


Pastinya, dalam hidup masyarakat bernegara ini pasti ada sebahagian orang-orang yang suka untuk menguasai orang lain. Suka melakukan apa saja perkara yang hanya dapat memberi keuntungan hanya untuk diri sendiri. Merasa bahawa dirinyalah yang gagah dan paling berkuasa. Memonopoli. Melakukan helah untuk mendapatkan sesuatu diluar dari hak. Mencuri hak milik orang lain. Malah, kalau sanggup untuk membunuh akan dilaksanakan! Asal niat di hati tercapai maka tak usahlah takut akan ancaman Tuhan yang tidak akan tersaksikan sebelum nyawa sampai di tenggorok mereka.


Kita boleh lihat saja dongengan yang dilakonkan oleh para pejuang keangkuhan dan kebiadaban peribadi oleh negara-negara berkuasa besar. Negara Russia, Amerika Syarikat dan yang lain-lain lagi. Semakin ramai pula orang yang tidak beradab di dunia ini. Mereka akan sentiasa tidak senang duduk jika segala niat dan apa yang dicita-citakan oleh mereka itu tercapai. Sebahagian mereka dilahirkan untuk membunuh. Jangan cuba-cuba mahu menerangkan kepada mereka tentang apa itu erti kemanusiaan. Sia-sia sahaja. Mereka berkawan tapi tidak akan berniat untuk berkawan. Mereka hanya hadir untuk merosak kehidupan.



Alangkah deritanya hidup jika berada di bawah tapak kaki orang lain. Alangkah sakitnya hati kita apabila maruah kita diinjak-injak dan paling membencikan adalah apabila kita tidak mampu mempertahankan diri kita kerana kita lemah. Yang kuat akan sentiasa mengawal yang lemah. Sebenar-benar apapun di pihak kita, jika kita lemah maka tidaklah akan mampu untuk mengalahkan kebatilan yang perkasa. Kebatilan yang terancang akan dapat mengalahkan kebenaran yang tidak terancang.


Nah, inilah yang mahu disampaikan kepada semua agar sentiasa meningkatkan diri. Sentiasa bercita-cita untuk menjadikan diri kita sebagai yang terbaik. Jika kita berperan sebagai pelajar, maka jadilah kita pelajar yang terbaik dari semua pelajar yang ada. Jika kita jadi seorang doktor, maka jadilah kita doktor yang paling cemerlang di antara doktor-doktor yang ada di hospital tersebut. Jika kita jadi tukang cuci tandas, maka jadilah kita tukang cuci jamban yang terbaik yang paling cermat kerjanya, awal hadirnya dan paling memuaskan hasilnya. Itulah amanah dalam pekerjaan yang menimbulkan kejayaan dalam pekerjaan. Jadilah yang diatas. Kerana sering siapa yang berada di atas itulah yang menjadi contoh kepada yang dibawah. Jika bukan kita yang amanah ini berada di atas, dibimbangi ada yang tidak amanah akan menggantikan tempat kita kelak. Maka hancurlah kedamaian jika yang tidak amanah yang menjadi contoh teladan kepada yang di bawah. Sudah tidak layaklah untuk mengecap keharmonian dalam setiap pekerjaan yang dilakukan kerana semakin lama akan tersebarlah kerosakan sedikit demi sedikit sebelum semuanya hancur musnah pada akhirnya.



Begitu pentingnya membentuk peribadi yang mulia di setiap tubuh yang bernyawa di dunia ini. Setiap jasad mempunyai potensi untuk mengubah dunia kepada kehidupan yang lebih baik. Pembentukan inilah yang perlu diperhatikan oleh setiap orang. Janganlah hanya mengejar kejayaan dalam mencapai kekayaan, tetapi lupa untuk memenuhinya dengan kekayaan jiwa. Sejauh mana kejayaan yang dicapai jika tidak ada akal dan budi maka kelak akan runtuh juga. Kerana, asasnya terbina daripada peribadi yang rapuh. Lambat laun akan hancur juga kehebatan itu. Ilmu jika tidak serta dengan adab akan jadi tidak bermakna. Maka usahlah kita memisahkan kedua-dua perkara ini dalam hidup kita. Ilmu dan agama harus berjalan seiring. Akhir kata, capailah kejayaan dengan meyakini bahawa kejayaan hakiki bukanlah di dunia melainkan adalah di kehidupan akhirat semata-mata.


Sekian, SRI.

Universiti Malaya,

Kuala Lumpur.



SENARAI POS :
bottom of page