YANG INDAH ITU BONDA
Heningnya Subuh sejuknya begitu mencengkam tulang. Azan memang sudah setengah jam berkumandang tapi tubuh ini begitu berat sekali untuk dipaksa bangun dari pembaringan. Mata dipejam celik seketika. Sekejap-sekejap di intai jam pada telefon bimbit. Selagi jam belum menginjak jam tujuh, masih belum syuruk lagi. Sedang matanya terkebil-kebil, kedengaran suara bonda memanggil-manggil. Kedengaran agak nyaring sekali. Bonda minta supaya dia didudukkan. Mahu berwudhuk untuk menunaikan solat subuh.
Badan yang terasa lemah berat itu dipaksa untuk bangun. Arahan ibu tidak boleh dilengahkan lagi. Segera keluar dari bilik setelah merapikan rambut yang agak kusut. Diangkatkan tubuh ibu lalu didudukkan dari pembaringan. Kemudian giliran dia untuk melangkahkan kaki ke bilik air. Menjiruskan air sejuk ke wajah beberapa kali dengan niat sahaja aku bersuci kerana Allah Taala. Segar sekali bila anggotanya itu tersiram oleh air kolah yang memang terasa seperti air cairan ais. Amat sejuk.
Allahuakbar, Solat subuh ditunaikan. Bonda juga menunaikan solat subuh. Kami solat bersama tetapi tidak secara berjemaah. Aku solat dibilik dan ibu solat di atas tilam pembaringannya. Selesai solat, aku menekur di atas sejadah. Mata masih terasa berat. Serasanya mahu dipejamkan lagi. Tapi tidak jadi kerana dia perlu untuk menyiapkan sarapan pagi buat Bonda. Pagi itu sarapan yang dia sediakan hanya sederhana sahaja. Nasi goreng cina yang ditambah dengan ikan bilis tumbuk, sayur lobak, sawi dan ditabur dengan telur hancur. Digorengnya keropok ikan sebagai lawan agar menjadi lebih menyelerakan.
Bonda makan bersederhana. Semasa bersarapan aku bersembang-sembang ringan dengan Bonda. Bonda suka bercerita tentang semua perkara yang dia tahu dan apa yang Bonda mahu bercerita. Aku menjadi pendengar yang setia. Aku lihat Bonda makan dengan selera. Bonda mahu aku menambahkan pada hidangannya. Aku gembira. Bonda tidak memuji masakanku tapi aku tahu bahawa bonda suka kepada nasi goreng hasil tanganku itu. Aku memasak tidak pernah ada resepi tambahan mahupun resepi rahsia. Yang aku amalkan Cuma memasak dengan hati dan niat untuk memberi orang lain makanan yang sihat dan mengenyangkan serta berkat.
Selesai sarapan aku mengemas-ngemas semua pinggan mangkuk kotor dan lalu kubawa ke dapur untuk dibasuh. Selesai membasuh aku mula menyapu, membasuh baju serta mengemas semua yang aku rasa perlu untuk dikemaskan. Bonda kubiarkan menonton rancangan televisyen sendiri. Bila selesai tugasku semua, aku menjenguk bonda, Bonda sudah lena dengan televisyen yang masih terpasang. Televisyen kumatikan dan aku masuk kedalam bilik. Aku membuat kerja yang patut. Biasanya selalu kuisi senggang masasingkat yang ada sebelum bersedia untuk menyiapkan masakan tengahari dengan tidur atau membaca buku. Kadang-kadang aku suka juga untuk menggeledah segala barangan yang ada di dalam bilik untuk dikemaskan atau diasingkan mana-mana barang yang kurasa ingin disimpan di dalam kotak atau mahu dibuang.
Jam sebelas lebih,aku masih di dalam bilik. Ibu memanggil namaku dan menyatakan bahawa jam sekarang sudah melebihi sebelas tengahari. Bermakna aku telah lewat untuk masak tengahari. Aku Cuma mengiakannya dan menyatakan bahawa sebentar lagi aku akan ke dapur. Setelah aku rasa cukup masa untuk bergegas ke dapur aku terus meninggalkan kerja-kerja yang masih terbengkalai. Biarlah dulu, nanti aku sambung semula.
Sunyi rasanya suasana di dapur. Semua orang tiada di rumah kecuali aku dan Ibu. Kakak yang selama ini menjadi teman ibu ketika kami semua menuntut ilmu di ibu kota. Hanya apabila kami yang masih belajar ini punya cuti semester kakak boleh pulang kerumahnya sendiri. Menguruskan keluarga sendiri setelah kehilangan suami yang tercinta kerana sakit jantung tidak berapa lama dahulu.
***
Bonda tidak seperti orang lain. Bonda istimewa bagiku. Sudah beberapa tahun bonda tidak boleh untuk berdiri malahan berjalan. Hidup bonda Cuma di atas tilam tempat dia berbaring. Hanya mampu duduk dan mengengsot ke bilik air ataupun ke dapur. Kebelakangan ini, bonda tidak boleh untuk duduk sendiri. Perlu di angkat supaya boleh untuk duduk.
Penyakit radang sendi bonda sudah sekian lama ditanggung. Barangkali tahun ini sudah menginjak kesepuluh tahun Bonda tidak berjalan kerana penyakit tersebut. Oleh kerana itu, bonda tidak biasa sendiri dirumah. Setiap hari perlu ada orang yang menemankannya dan membantunya untuk keperluannya. Menjaga bonda perlu kepada kesabaran dan kasih saying. Ia adalah jihad.
Seorang ibu mungkin boleh memelihara anaknya yang seramai sepuluh orang, tapi sepuluh orang anak tidak mungkin boleh menjaga seorang ibu yang hanya nan seorang. Seperti aku, aku tidak mungkin untuk menjaga ibu dengan sebaiknya sebagaimana bonda menjagaku ketika aku kecil. Dulu, bondalah yang memandikan, menyarungkan pakaian, menyuapkan makanan ke dalam mulutku,membasuh berak kencingku, mencuci muntahku, melayan aku setiap ketika sehinggalah aku besar kini.
Kini Allah telah meminta aku untuk melakukan perkara yang sama yang telah dilakukan oleh bonda terhadap aku ketika aku kecil. Malah lebih ringan dan tidak berat kerana banyak perkara yang boleh dilakukan oleh bonda sendiri.
Memikirkan keadaan bonda aku terkadang rasa sebak dan ada juga rasa beruntung. Sebak yang aku rasa ketika bonda berada dalam keadaan sakit sendi-sendinya serta jika ada kesakitan lain yang ditanggung oleh bonda. Serasanya jika aku yang berada di tempat bonda mungkin saja akau sudah putus asa dan hilang semangat. Tapi bonda masih lagi boleh ceria dan bergembira. Dunia bonda hanyalah di dalam rumah dan itupun tidak seluruh rumah. Hanya di atas tilamnya.
Aku merasa beruntung kerana mampu untuk berjasa sedikit kepada bonda. Tika sendi tangan bonda membengkak dan tidak mampu untuk membersihkan badannya dengan sempurna ketika mandi, bonda meminta aku untuk memandikannya. Aku menurut dan merasakan bahawa ia satu peluang bagiku untuk meraih pahala.
Bonda mahu aku memberi shampoo pada rambutnya. Tanganku menggosok kepalanya dengan sederhana. Membasuh sabun-sabun itu agar tidak kena di muka dan mata. Sama yang akan kulakukan ketika bonda memandikan aku ketika kecil. Bonda pasti tidak akan membiarkan mataku pedih terkena sabun. Kemudian menggosokkan pula bahagian badan, tangan dan kaki seluruhnya. Perlahan-lahan sahaja. Setelah itu kusiram semua tubuh bonda dengan air putih bersih agar bersih semuanya dari sabun. Ibu mengambil wuduk dan meminta nanti aku supaya mengelap badannya dan menyarungkan pakaiannya.
Allah, setiap yang muda akan menjadi tua. Maka beruntung siapa yang memuliakan orang tuanya ketika ia sudah tidak berdaya. Bonda ketika ini masih baik-baik sahaja. Bagaimana jika bonda sudah tidak mampu melakukan apa-apa? Aku ini dikira beruntung kerana tidak pernah membasuh berak Bonda dan tidak pula pernah untuk menyuapkan makanan kedalam mulut Bonda. Kerana semua ibu Bonda bisa melakukannya sendiri.
Bonda dua tahun lalu telah disahkan menghidap penyakit kencing manis. Ini kerana dikesan keadaan kaki bonda yang kelihatan berlainan dari biasa. Aku bertambah gusar. Penyakit lama masih tidak membaik lagi tapi kini datang pula yang baru. Bantu aku ya Allah untuk menggali hikmah semua ujian ini. Pada saat itu semua bahan makanan dan minuman yang bergula menjadi kepantangan bagi bonda. Ah, aku dapat melihat raut wajah bonda yang terkadang teringin benar untuk merasai makanan yang manis tetapi tidak terberikan kerana ia adalah merupakan kepantangan. Betapa nikmat makanan yang terasa lazat itu terhalang dari membasahi lidah.
Ada mudarat yang lebih besar menanti jika pantang larang itu dilanggar. Penyakit kencing manis memang berbahaya. Jika ia berada di tahap yang darurat kemungkinan kaki boleh dipotong. Tak mampu aku menggambarkan perasaan sedih dan pilu jika melihatkan ibu tidak mempunyai kaki. Jika sekarang ibu tidak berjalan tapi masih ada harapan untuk berjalan. Namun apakah ibu mampu lagi untuk berjalan jika langsung tidak mempunyai kaki? ALLAH, jauhkanlah Bonda dari kemudaratan itu. Bahkan berikanlah kesembuhan kepada Bondaku yang tersayang. Aku tahu bahawa disisiMu tidak ada istilah yang mustahil untuk terlaksanakan.
Mujur kini sudah ada teknologi baru yang mampu mencipta gula yang tidak memudaratkan bagi orang yang berpenyakit kencing manis. Kuranglah azab Bonda yang selama ini hanya meneguk air kosong yang terasa tawar. Hilanglah satu bebanan perasaan jika bonda memintaku berbuat air manis. Sudah ada pengganti gula yang tidak memudaratkan. Gula stevia itulah yang digunakan bagi menambah perisa dalam minuman.
Perjuangan bersabar terhadap ujian kesusahan menghidap penyakit bonda ini rupanya telah dapat dilalui dengan redha. Alah bisa tegal biasa. Kesulitan akan tidak terasa sulit lagi kerana sudah terbiasa melaluinya. Begitulah yang aku boleh katakan kepada diriku dan terhadap Bonda. Jika terasa susah dihati, tentang semua perkara yang tidak menyenangkan maka lihatlah orang yang lebih susah. Banyak lagi yang diuji kesakitan yang lebih parah. Kita milik Allah dari segala penyakit yang dapat pun dari Allah. Apakah kita mahu mengingkari kehendak Allah. Bukankah salah satu daripada rukun iman adalah percaya kepada qada’ dan qadar. Namun, menyerah tanpa berikhtiar itu bukanlah juga menunjukkan erti beriman kepada qada’ dan qadar yang sebenar.
Bonda, maafkanlah anakmu ini terhadap semua kesalahan. Bonda, mengenangkan penjagaan dan perjuanganmu membesarkanku ketika kecil sehinggalah umurku 13 tahun. Tak mampu kubalaskan bonda. Sesalku menggunung setiap kali merasa bahawa aku masih tidak mampu memberimu kebahagiaan. Apakah yang kau mahu bonda? Apakah yang ada di dalam hati kecilmu bonda? Apakah harapanmu bonda? Bonda, dikejauhanku dari sisimu tidaklah membuatku melupakanmu bonda malah telah menambahkan perasaan rinduku kepadamu. Bonda, teruslah hidup bonda dengan rasa gembira dan bahagia. Alunkanlah dalam hatimu selalu akan kesyukuran kepada Allah atas segala anugerah Allah buat kita. Teruslah hidup dengan bahagia wahai bondaku..
Sekian,
SRI, Hamba Fakir
Yang Menumpang di Bumi Tuhan.