top of page

BUYA HAMKA

Haji Abdul Malik Karim Amrullah.

SRI (Siti Rahimah Ikhsan) pernah merasa menyesal. Kenapalah baru sekarang SRI tahu membaca tulisan Buya Hamka. Mengapa tidak dari zaman sekolah rendah lagi. Kenapa baru sekarang? Tidak ada yang perlu disesalkan SRI. Ilmu itu di dapat dengan panjangnya waktu sebagaimana guru kita yang mulia Imam Syafei menyatakan. SRI beruntung kerana kenal Buya Hamka. Ada orang sampai kesudah hidupnya tidak dapat kenal beliau. Mengapa SRI begitu menyanjung benar Buya HAMKA ini ya? Apakah tidak ada orang lain sehebat dia? Sihir apakah yang digunakan oleh HAMKA kepada SRI?

Senang saja menjawab soalan itu. Kata orang tak kenal maka tak cinta. Kalian bacalah sendiri tulisan HAMKA ini. Pasti semua tersihir dengan kata-katanya yang sungguh memikat. Bahasanya manis. Tiba di saat tulisan yang menyedihkan, menimbulkan tangis. Tiba di saat tulisan yang melucukan, menimbulkan tawa. Beliau bijak memainkan perasaan pembacanya. Menusuk terus kedalam jiwa semua yang disampaikannya. Padahal ia cuma rangkai perkataan dalam bentuk tulisan sahaja. Orang lain juga menulis, namun jika menulis dengan penuh perasaan pasti lebih hebat penghayatannya.

Bagaimanakah sosok ini mampu sekali mengguncang jiwa-jiwa manusia hanya dengan tulisan? Pujangga ini hebat memberi perumpamaan yang memberi maksud yang begitu mendalam. Seisi alam dimanfaatkannya untuk membuat perumpamaan dan dikaitkan dengan kehidupan manusia. Bintang, matahari, bulan, gunung ganang dan segala keindahan tuhan yang boleh disebutkan, digunakan di dalam tulisannya Luas sekali pengetahuan beliau. Menurut SRI, Buya HAMKA mahir dalam pelbagai ilmu alat. Rajin membaca membuatkan kebijaksanaannya begitu terserlah. Sungguh indah lagi kerana falsafahnya terkandung agama yang penuh dengan kemuliaan. Ia telah menjadikan beliau terkenal.

Antara buah tangan Buya Hamka yang telah dibaca oleh SRI ialah, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, Tuan Direktur, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lindungan Ka’bah, Lembaga Budi, Lembaga Hidup, Falsafah Ketuhanan, Kenang-Kenangan Hidup, Peribadi dan Di Dalam Lembah Kehidupan. SRI hanya bermula dengan novel-novel. Kemudian terus jatuh hati dengan bahasa dan kisah yang disampaikan. Sungguh seperti benar-benar kejadian. Seperti kita masuk kedalam buku itu dan kita menjadi watak utama yang melakonkan filem itu. Tidak percaya? Tidak tahu maka tidak percaya. Buya HAMKA dikatakan mempunyai tulisan lebih dari 50 buah buku. Bermula dari tahun 1925 sehingga 1961 sahaja sudah dicatatkan sebanyak 48 buah buku dihasilkan oleh beliau. Kenyataan ini SRI ambil dari buku Buya HAMKA yang berjudul Kenang-Kenangan Hidup. Buku autobiografi yang dikarang beliau.

Hati SRI terdetik setelah membaca autobiografi beliau. Rupa-rupanya beliau membesar di dalam keadaan yang penuh penderitaan batin. Mungkin perkara ini telah menjadikan beliau begitu dalam perasaannya. Semasa zaman kecil belia, beliau sering merasa tidak diperlukan dan tidak ada yang dibanggakan dari hidupnya. Penceraian ibu dan bapanya telah menjadikan batinnya menderita. Beliau membesar di bawah bimbingan ayahnya yang merupakan seorang ulama besar yang tegas dan selalu sibuk. Beliau tumbuh dengan penuh pemberontakan di dalam hatinya. Senakal-nakal beliau, solat tidak beliau tinggal. Itulah yang menjadi banteng kepada tokoh hebat ini. Cita-cita ayahnya adalah supaya beliau menjadi seorang ulama. Benar, beliau telah menjadi ulama.

Buya HAMKA disebalik gelaran ulama yang diberikan untuknya rupanya lebih memilih untuk menjadi seorang pengarang. Dikatanya bahawa ulama itu adalah asal daripada kata alim. Alim itu adalah orang yang mempunyai pengetahuan atau berilmu. Sedangkan beliau merasakan bahawa beliau kurang ilmunya. Maka, memilih untuk digelar pengarang adalah lebih menarik hatinya kerana terbukti memang banyak sekali karangannya.

Banyak pergaulan telah menambahkan pengalaman dan pengetahuan Buya HAMKA. Buya HAMKA yang bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan merupakan pemimpin agama itu telah banyak memberi pengaruh kepada orang ramai. Sering beliau memberi pidato kepada umum. Hal yang paling SRI kagumi terhadap Buya HAMKA adalah penglibatan beliau semasa zaman kemerdekaan Indonesia. Penglibatan beliau banyak membantu penyatuan rakyat Indonesia semasa pra kemerdekaan. Sudah tentu, dengan ketokohan yang ada pada beliau, telah menjadikan beliau dipercayai. Buya HAMKA mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Sukarno dan Perdana Menteri Bong Hatta. Beliaulah yang sering mendekati Bong Hatta dalam memberi idea dan penyelesaian terhadap konflik-konflik yang berlaku sebaik sahaja Indonesia mencapai kemerdekaan pada tahun 1945.

Terlalu banyak yang boleh SRI ceritakan tentang peribadi Buya HAMKA ini. Sudah sekian lama beliau meninggal dunia, namun bekas-bekas yang telah ditinggalkan oleh beliau masih segar. Segala kata-kata beliau yang terakam di dalam tulisan-tulisannya telah menjadi panduan kepada masyarakat. Jasanya begitu besar dan banyak. Beruntung beliau kerana masih boleh berbakti kepada umat walaupun jasadnya sudah tidak bergerak. Beliau kaya dengan apa yang diberikan kepada orang lain. Masih tetap beramal tanpa henti selama mana ilmunya diamalkan dan dimanfaatkan.

Bagi saudara-saudari yang masih tidak memahami dan tidak mengenali siapakah Buya Hamka ini, SRI syorkan supaya bacalah salah satu daripada bukunya, tentu menarik hati dan akan terdorong untuk membaca yang lain lagi. SRI tahu, sebenarnya ramai lagi orang yang hebat seperti Buya HAMKA. SRI cuma berkongsi tentang sebahagian orang-orang yang SRI kenal dan orang itu sedikit sebanyak telah berjaya mengubah SRI menjadi insan yang lebih baik. SRI suka semua para ilmuan dan orang-orang yang sentiasa berusaha untuk menyumbang untuk kemajuan umat. SRI sokong semua mereka. SRI berharap dapat menjadi seperti mereka. Salah satu daripada impian SRI adalah menjadi penulis. Apakah yang istimewa sangat menjadi seorang penulis? Bukanlah keistimewaan yang SRI mahukan, SRI cuma mahu menjadi orang yang dapat berkhidmat untuk umat sebagaimana yang telah dilakukan oleh Buya Hamka. SRI akui, untuk menjadi seorang penulis hendaklah banyak membaca dan rajin mencari pengetahuan. SRI akan cuba menjadi penulis yang terbaik.

Apapun, SRI sentiasa berdoa agar Allah sentiasa memelihara niat murni ini. Cabaran setiap manusia adalah sikap riak dan berbangga terhadap setiap pencapaian yang diperoleh. Moga dijauhkan perkara yang boleh menghilangkan pahala tersebut. Tidak mudah untuk menjadi seorang pujangga, namun tidaklah salah untuk terus bermimpi menjadi pujangga. SRI berimpian tinggi untuk menjadi seorang pujangga yang dapat merubah dunia dengan pena!

Sekian, SRI, Hamba Fakir Yang menumpang di bumi Tuhan.


SENARAI POS :
bottom of page