NAMA DIA ADAM
NAMA DIA ADAM
Dia
Adam.
Cuma seorang anak kecil.Belum pun cukup setahun umurnya. Tapi dia sudah yatim sejak umurnya lima bulan.Hobinya suka bermain, berlari, membuat eksperimen terhadap persekitarannya. Dunianya sangat luas.Luas disebabkan kecil tubuhnya berbanding bumi ini.
Adam
Dia suka bergembira dengan dunianya.Dia cuma berlegar-legar di kampungnya,rumah ibunya juga rumah neneknya.Walaupun kehidupan sehariannya hanya seputar kawasan itu dia dapat rasa bahawa dunianya sangat luas.Tersangat luas.Dapat bermain di luar rumah sahaja bagai syurga permainan hidup bagi dia.Dapat menyentuh tanah,batu-batu,daun-daun pokok,air yang sejuk serta merasa segarnya udara bumi.
Adam
Sejak sudah pandai berjalan kira-kira dua bulan lebih ini dia jadi kaki jalan.Tubuhnya sengaja dijatuhkan diatas tanah. Tangannya suka memegang batu-batu yang berdebu.Dia ingin merasa bahasa alam.Menarik.Segalanya baru.Inilah syurganya.Sengaja mengocak air lopak dengan tangan kecilnya. Habis berlari lintang pukang makcik mahu menghalangnya dari berbuat demikian. Bimbang ada kuman yang bakal menjangkitinya.Nanti dia jatuh sakit.Padahal dia kuat daya ketahanan badan.
Adam
Masih lagi mengelilingi dunia luar rumah.Kaki kecilnya yang dipakaikan kasut CROC’S comel berwarna hijau terketik-ketik berlari bila dikejar makcik. Dia tidak mahu masuk rumah. Dia masih belum puas bermain.Dunianya masih luas dan dia belum habis menerokainya.Kaki kecilnya degil mahu menuruni tangga.Kadang-kadang dia tersilap langkah dan terjelepok jatuh.Tapi dia bangun semula tanpa ada sedikitpun tangisan.
Adam
Bila ibu tiada di rumah dia menggagau-gagau mencari. Ditolak setiap pintu yang ada.Diongak kalau-kalau ada kelibat ibu di dalam bilik.Ibu perlu pergi menghantar dan menjemput kakak dan abang yang gigih belajar.Ayah sudah tiada.Jadi ibu perlu mengambil alih semua tugas ayah.Ibu kini serba boleh.Dua dalam satu.Ibulah ayah dan ibu juga memanglah ibu kepada semua anak-anak.
Adam
Dia bukanlah yang paling kurang kasih sayang dari ibu.Dia hanya terlebih kasih sayang daripada Allah.Dia dilihat paling kaya dengan kegembiraan dan ketabahan.Mungkin dia tak pernah mengenal ayah.Membesar dalam keadaan yatim.Jadi,dia sudah biasa hidup sebegini.Masih dapat tersenyum.Dia tidak pernah diajar untuk terus lemah dengan keadaan hidup yang sunyi tanpa kehadiran ayah.
Adam
Masih lagi tidak pandai bercakap.Mulut comel itu hanya mampu mengeluarkan air liur yang berjejeh membasahi baju.Comot! Dia masih tidak pandai berkemas.Biarlah, masih tetap comel! Abang terpaksa menjaganya jika ibu terpaksa keluar sekiranya ada urusan.Abang juga masih mentah untuk menjaga adik.Mujur ada abang.Boleh tengok-tengokkan.Ialah,semenjak boleh berjalan ini langkahnya makin jauh.Macam-macam eksperimen yang berjaya dilakukannya tanpa disedari oleh abang.Memecahkan barangan kaca? Mengutip makanan basi? Tercepit pintu? Kepala terhantuk pada bucu almari? Memegang ubat nyamuk? Menjatuhkan pintu?
Adam
Semua kisah suka dan duka dia tidak pernah cuba mengingati..Dia tak mampu.Dia masih mentah! Setiap hari pasti ada bentuk senyuman baru. Lebih berseri dan lebih berperisa. Dia terus membesar dan membesar.Kehidupan adalah guru yang paling berharga baginya. Dia sahaja yang dapat memahami bagaimana dia belajar untuk meneruskan hidup. Belajar untuk bersyukur. Belajar untuk tabah dan belajar untuk terus percaya! Percaya bahawa setiap hari pasti ada pelajaran baru yang bakal diajarkan oleh melalui guru kehidupan. Dia tahu bahawa hidup adalah ujian dan lihat! Sehingga kini dia masih tetap bertahan.
Adam
Dia tak sendiri.Setiap masa ada DIA disisi.Itu yang membuat dia percaya bahawa setiap hari mesti ada kegembiraan dalam hidup.Hidup yang perlu sentiasa dihargai dan diperbaharui.Apa yang perlu diperbaharui? Semangat untuk meneruskan hidup. Hati yang perlu sentiasa digilap dengan keyakin yang tinggi. Hidup dan mati mesti ada tujuan. Ia bukan hanya satu kebetulan. Kebetulan yang seringkali membuatkan kita tidak tahu tujuan hidup. Tidak nampak jalan.
Adam
Mujur dia menjadi Adam.Adam yang beruntung.Kini dia tinggal terus bersyukur dan membesar dengan ketabahan.Mahu menghargai ibu,abang-abang dan kakak juga semua keluarga yang memberi sokongan kepada dia.Sejak dari ayah menghembuskan nafas yang terakhir sehingga dia sudah pandai berlari kini.Syukur saja yang perlu ditingkatkan.Moga Adam tetap terus membesar di jalan yang tetap lurus. Sehingga bila dia sudah dijemput DIA, dia bakal bertemu kembali dengan ayah di sana.Pertemua kedua yang tidak mustahil.Hanya perlu menunggu sedikit masa lagi.
Adam
Sebelum Adam bertemu ayah dia mahu doa banyak-banyak semoga dia tergolong dalam kalangan anak yang soleh.Hanya doa anak yang soleh untuk kedua ibu bapanya sahaja yang dimakbulkan oleh Allah.Dia tetap yakin!Satu hari nanti pasti dia bertemu lagi dengan ayah!Adam sayang ayah hidup dan mati.
Salam sayang dari Lek Siti,
Untuk Adam yang sentiasa comel di hati Lek Siti.
Sekian.