top of page

LUGU

Tahukah kamu siapakah guru yang paling terbaik? Sudah tentu Nabi Muhammad adalah sebaik-baik guru yang kita ada. Guru yang terbaik selain dari Nabi kita adalah KEHIDUPAN itu sendiri. Apabila kita menjalani hidup, tentu kita akan mendapat pengalaman sepanjang perjalanan itu. Melalui kehidupan, kita telah belajar banyak tentang sesuatu.

Begitu juga dengan saya. Saya telah mengerti tentang berharganya hidup saya setelah saya belajar dari kehidupan saya. Saya punya sebuah kisah hidup. Kisah yang telah membuka hati saya tentang kehidupan. Sebelum itu, mari saya jelaskan tentang cara hidup saya,persekitaran dan pendidikan saya.

Saya berasal dari keluarga yang mementingkan gaya hidup yang beragama. Lahir dalam suasana yang sentiasa menitikberatkan agama. Maka, saya sudah terbiasa dengan tuntutan agama yang memang sudah diketahui sedari kecil. Saya sudah terbiasa menjadikan agama itu sebagai gaya hidup. Apa yang ketara dilihat sudah tentulah dari sudut pakaian dan adab pergaulan.



Pendidikan saya di sekolah juga adalah pendidikan yang berteraskan agama.Walaupun begitu, pendidikan akademik juga penting dan termasuk dalam senarai pendidikan saya. Namun, agama tetap yang utama dalam peraturan pendidikan ayah saya kepada anak-anaknya. Terima kasih ayah atas usahamu ini. Sehingga kealam university bidang agama masih menjadi pilihan di hati. Dari kecil hingga dewasa suasana pendidikan saya sangat lurus dan tenang. Semuanya pelajaran tentang agama Islam.

Sehinggalah satu saat. Saya telah bertemu dengan seseorang yang telah menggelarkan saya sebagai seorang yang lugu. Naif. Dia menyatakan bahawa saya tidak tahu akan cabaran dunia yang sebenarnya. Apa yang saya fikirkan semuanya lurus dan baik-baik belaka. Sedangkan realitinya, kehidupan tidak seperti itu. Mungkin kerana persekitaran hidup saya begini. Maka dengan sebab itulah saya mempunyai pandangan hidup yang sedemikian. Adakah saya seorang yang tidak realistic?

Dia menegur sikap saya yang tidak bercampur gaul dengan masyarakat. Sebagai contoh gadis-gadis yang berkehidupan bebas. Saya selesa dengan suasana saya yang tidak banyak warna dan tidak banyak cabaran. Setelah perkara itu dibangkitkan kepada saya, saya selalu mempersoalkan tentang diri saya. Tentang betulkah sikap saya ini? Saya telah diajar supaya jangan mencampurkan diri saya dengan budaya-budaya yang tidak elok. Memilih kawan agar tidak mudah terpengaruh. Bagi saya, pilihan yang dibuat oleh saya untuk tidak menceburkan diri dikalangan masyarakat bebas itu benar.Bukan bererti saya tidak bersahabat dengan mereka. Namun, untuk menjadikan mereka sebagai teman rapat itu sudah tentu tidak. Saya bimbang saya yang tidak kuat iman akan mudah terikut-ikut dengan gaya hidup yang bebas.


Akan tetapi, bagi dia yang hidup dengan suasana yang bebas dan mempunyai ramai kawan dari pelbagai latar belakang sikap saya adalah tidak betul. Saya tidak patut bersikap yang sedemikian. Saya sepatutnya mesti mendekatkan diri dengan siapa sahaja terutamanya golongan yang masih kurang mengamalkan syariat hidup luaran (contohnya seperti tidak bertudung, berpakaian tidak menutup aurat dan bergaul bebas). Baginya, saya perlu bersahabat dengan mereka dan menunjukkan contoh yang baik kepada mereka. Agar lambat laun mereka akan tertarik dengan gaya hidup saya yang lebih mementingkan aturan agama seperti yang sepatutnya semua lakukan. Bagi saya perkara itu tidak mudah. Saya akui perkara itu memang perlu ada pada setiap insan yang memahami agama yang semestinya perlu disampaikan dan bukan hanya untuk diamalkan sendiri. Saya merasakan tugas menjadi orang yang mendapat didikan agama itu terlalu berat. Saya merasakan mereka yang berfahaman bahawa tanggungjawab untuk menyedarkan masyarakat yang tidak berpegang dengan gaya hidup agama itu adalah tugas para ustaz dan alim ulama sahaja. Saya merasa tidak berpuas hati dengan pendapat sebegitu. Habis tu, mereka yang sudah terbiasa hidup tidak mahu menitikberatkan agama ini kenapa? Mengapa harus meletakkan beban kesalahan mereka kepada orang lain? Tidak mahu mengubah diri sendiri tetapi mengharapkan orang lain mengubah diri mereka malah memarahi orang lain pula yang tidak mahu merubah mereka? Bagaimanakah wujudnya fikiran seperti itu? Oh, saya sudah berasa agak marah ketika itu.

Sering sahaja kesalahan itu diletakkan di bahu orang lain. Lihatlah kesalahan diri sendiri dahulu baharu menunjuk jari di tangan orang lain. Namun, perkara itu saya tidak menyalahkannya sepenuhnya. Bagaimana pandangan seseorang itu terbentuk adalah melalui pengalaman hidup beliau. Kita tidak boleh juga terus menyalahkannya sebelum kita melihat sejarah disebalik kehidupan seseorang itu. Namun, tanpa saya sedari, saya telah banyak belajar daripada pandangan hidup beliau. Bagi saya, tidak kisah apa pandangan orang lain terhadap kita, apa yang penting setiap manusia yang dicipta adalah untuk menjadi khalifah. Menjadi khalifah bererti menyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada keburukan. Apa yang dinyatakan oleh dia terhadap saya itu benarlah. Tugas untuk menyampaikan agama kepada orang lain masih tidak diselesaikan lagi.

Saya mula menyedari bahawa seruan dakwah itu sudah sampai kepada diri saya. Bererti saya masih belum sempurna menjalankan tugas saya sebagai seorang khalifah. Mentadbir diri sendiri sahaja tidak cukup. Harus di dalam masa yang sama mentadbir masyarakat. Kita diibaratkan sebagai satu jasad. Jika rosak sebahagian, maka rosaklah semuanya. Ertinya, kita harus bahu membahu untuk membina masyarakat yang baik dan beragama.


Saya telah mengucapkan berbanyak terima kasih kepada beliau kerana telah mengajar saya tentang sesuatu yang berharga dalam hidup. Benar, saya ialah seorang yang lugu. Saya ialah orang yang tidak banyak pengalaman sepertinya. Suasana hidup saya putih dan tidak seperti kamu yang berwarna warni seperti pelangi. Tentu indah dapat mencorakkan kehidupan kita seperti pelangi lebih-lebih lagi jika disinari dengan cahaya keimanan.

Sungguhpun beliau sudah tidak ada, saya suka untuk memuhasabah tentang semua ucapan yang diberinya. Saya telah berjaya untuk membalikkan segala ucapan yang dilihat tidak patut dimata saya kepada perkara yang semuanya penuh dengan hikmah dan harus diteliti. Saya telah menyedari bahawa selama ini saya sering mendengar pandangan beliau dengan cermin mata yang kotor. Saya gagal untuk melihat dengan cermin mata yang bersih dari kotoran agar saya dapat melihat semua perkara dari sudut yang positif.

Terima kasih atas pelajaran kehidupan ini. Saya berjanji akan meneruskan kehidupan saya dengan menebarkan seberapa banyak kebaikan dan hikmah yang bisa untuk dikongsi oleh ramai orang agar kita sama-sama menuju satu tujuan yang pasti dan abadi. Sekian.

Siti Rahimah Binti Mohammad ikhsan 21 Ogos 2016


SENARAI POS :
bottom of page