top of page

MENCARI CAHAYA

Bismillaahirrahmaanirrahim.

Allahumma sholli 'ala Muhammad wa 'ala ali Muhammad

Subhanallah, Alhamdulillah, Lailahaillallah, Allahu akbar.


Assalamualaikum.


“Aku tidak menjadikan Jin dan Manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu” (Q.S. 51:56)


Duhai manusia, lihatlah tabir kehidupanmu. Apakah telah kau penuhi janjimu untuk mengabdi kepada pemilikmu? Saat ini cuba kau tanyakan, di tingkatan manakah imanmu? Aduhai.. Sedang mengeluhkah kamu menyesali dosa-dosamu yang bertumpuk. Jika dada ini boleh kau buka, terlihatkah dirimu akan hitam hatimu.


Cuba kau asingkan dirimu dari kesibukan dunia sebentar. Berfikirlah sebentar tentang dirimu. Kutanyakan kepadamu, berapa lamakah seorang manusia itu mampu hidup. Fikirkan berapa ratus tahun jasad manusia yang mampu bertahan hidup di zamanmu. Sudahkah kau temui manusia yang umurnya seratus tahun? Jika sudah kau temui, hitunglah seberapa banyak bilangannya. Beritahulah aku.


Saudara,


Lihatlah jari jemarimu. Lalu cubitlah kulitmu. Akankah kau merasa sakit dengan cubitanmu sendiri? Fikirkanlah bagaimana rasa sakit itu datang. Fikirkan bagaimana tanganmu mampu kau gerakkan. Fikirkan pandanganmu yang mampu melihat akan jari jemarimu. Dari mana semua kemampuan itu wujud? Dari mana ia datang? Kuasa apa yang telah mengawalnya? Mampukah mindamu memikirkannya?


Lalu tarik nafasmu sedalam-dalamnya dan tahan seketika. Tahan lagi. Mampukah kau tahan seketika lagi? Akankah kau rasakan dadamu sempit dan kepalamu seolah membengkak kerana berkehendakkan udara untuk membuatmu hidup? Aduhai saudaraku, tak terkirakan banyaknya kasih dan sayang Tuhan kepada makhluknya.


Sebelum hari ini, bilakah kau memperhatikan tentang kelakuanmu terhadap Tuhanmu? Benar, Tuhan tidak terjejas apa-apa tentang kelakuanmu. Bahkan Tuhan boleh saja menghapuskanmu dan menggantikannya dengan hamba yang lain. Kehadiranmu tak sedikit mengurangkan kekuasaannya. Sedarkah dirimu akan hadirnya malaikat disisimu yang diutus untuk menjaga dan memerharikanmu. Malukah engkau tika dosa kau lakukan mereka ada disisimu dan memerhatikanmu dari jauh. Tuhan boleh saja menghukummu saat itu juga, tapi kau sentiasa diberi masa dan peluang lagi.


Terisikah hidupmu dengan sekalian dunia ini? Akankah wujud sejuta macam perasaan di dalam hatimu? Kesedihan, kesepian dan penderitaan? Atau kau sentiasa merasa hidupmu penuh dengan sukacita dan rasa gembira. Aduhai..


Aku tak dapat membayangkan saat langit itu terjatuh kerana tiada yang menahannya lagi. Gunung-ganang hancur menjadi debu. Matahari tak tertanggungkan panasnya menimpamu. Bumi di porak perandakan. Lautan melimpah ruah isinya dan menenggelamkanmu. Tika itu berharapkah kau untuk hidup lagi? Siapakah yang akan menolongmu? Mahu bersukacitakah lagi? Janji telah tertunai. Orang yang mensucikan diri akan terus menuju Tuhannya. Maka kau yang sepenuh kebencianmu untuk menghinakan diri di hadapan Tuhanmu dulu akankah dipandangi wajahmu? Akankah dibantu dirimu?


Saudara,


Sudahkan kealpaanmu saudara. Jangan kau batukan hati dan perasaanmu. Hanya kau yang memiliki segala kemahuan. Hanya kau yang mahu mengubah dirimu. Kerana kau saja yang paling menyayangi dirimu. Hentikan langkah kebinasaanmu. Pulanglah ke pangkuan Tuhanmu.


Ikhlas dariku,


Yang sama-sama merindukan Tuhan


Yang sama-sama menderita berjauhan dengan kekasih abadi.


Siti Rahimah Ikhsan


Kuala Lumpur,


14 April 2016.


Wallahualam..


SENARAI POS :
bottom of page