DULUR
Assalamualaikum wrt.wbt.
Sebelum terlambat, saya nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin.
DULUR - Membawa makna saudara. Raya tanpa kehadiran saudara tiada makna kegembiraan dan ceria. Keluarga adalah satu gabungan manusia yang punya talian darah yang diikat dengan ikatan kasih sayang (takrifan saya). Hubungan persaudaraan selalu di kaitkan dengan perumpamaan cubit peha kiri, paha kanan terasa. Ini menunjukkan betapa dekatnya jalinan ini.
Kalau ada orang mengata tentang adik beradik kita, sudah tentunya hati kita juga turut rasa sakit. Kerana kita dulu-dulunya telah berkongsi susu ibu yang sama. Kita berasa kita juga turut terjejas dengan perkataan orang yang tidak elok tentang kelakuan saudara kita. Kerana kita bersaudara katanya.
Dalam hal saudara ini, tiada istilah jangan jaga tepi kain orang. Kerana kain itu milik kita bersama. Maruah kita sama-sama jaga. Saling ingat mengingati. Contohnya, jika apa-apa perkara yang kurang elok berlaku terhadap saudara kita. Onar yang wujud itu memalitkan lumpur kotor pada wajah kita. Tentunya nama kita juga akan tercemar. Tiada istilah hal kau, hal kau dan hal aku itu aku punya pasal. Jangan begitu!
Zaman yang sentiasa beredar ini membuatkan usia kita bertambah. Hidup juga berubah apabila masing-masing dalam keluarga kita punya hidup sendiri, punya rumah sendiri, kerja sendiri dan anak-anak sendiri. Semua itu lumrah, sudah biasa terjadi. Apa yang tidak elok ialah pentingkan diri. Baiknya dalam sebuah keluarga sentiasa ambil berat seperti bertanya khabar sekali sekala. Bantu membantu kalau ada di kalangan saudara kita yang susah. Nasihat menasihati kalau ada saudara kita yang tergelincir dari landasan.
Silaturrahim ini adalah simbol kesatuan. Pembinaan kesatuan dalam sebuah bangsa dan negara itu bermula dengan bersatunya ikatan dalam keluarga. Keluarga yang bersatu akan menghasilkan masyarakat yang aman dan damai. Tak salah untuk kita berselisih pendapat. Sedangkan lidah lagi tergigit. Tapi bentuk-bentuk perselisihan itu perlu dihadapi secara profesional. Paling utama adalah berlapang dada dan hormat menghormati antara sama lain. Resepi kemakmuran yang sering tak diendahkan kerana timbulnya penyakit pentingkan diri.
Dulur adalah kehidupan kita. Kalau kita mati, dulurlah yang paling diharapkan untuk menguruskan jenazah kita, mendoakan kita. Siapa lagi yang boleh diharapkan? Tak mustahil juga satu hari nanti anda dan saudara anda akan tidak bertegur sapa. Mahu bertemu muka juga tidak sudi. Sudah terjadi. Sebab utama adalah pentingkan diri. Berapa banyak keluarga yang berpecah disebabkan tamak? Berebut harta pusaka sekangkang kera. Hanya memikirkan keuntungan diri tanpa memikirkan kebajikan saudara lain. Malah yang lebih teruk lagi sanggup berbunuhan.Bukan omongan saja. Pernah berlaku.
Jangan anggap saudara anda itu orang lain. Jangan musuhi. Jangan cakap-cakap belakang. Kalau anda tidak suka dengan kelakuan dia, nasihat secara berdepan dengan berhemah. Kalau nasihat itu tak diterima jangan melenting. Tunggu dan sabar. Sabar, Sabar dan Sabar. Kalau sampai hilang sabar, akibatnya anda entah kemana dan saudara anda juga entah kemana. Disitulah akan wujud istilah aku, aku dan kau, kau. Betul sabar punya had. Tapi bila anda hadkan kesabaran itu. Anda sendiri bayar had yang anda tetapkan itu dengan berakhirnya kerukunan dalam persaudaraan Islam.
Jangan bincang hal yang jauh-jauh dulu seperti perang yang berlaku di Palestin, Syria, Rohingya, Somalia dan Mesir lagi kalau anda tak ada usaha untuk memulangkan kembali tiga jari anda yang menunjuk ke arah diri anda sendiri. Mengingatkan anda supaya kembali kepada diri. Bagaimana sikap kita terhadap usaha untuk menyatukan keluarga. Adakah dendam? Kebencian? Atau semua perkara yang anda tidak suka yang ada pada saudara anda. Seberapa banyak usaha untuk menjernihkan semula hubungan itu. Sentiasa meneutralkan diri terhadap perasaan tidak senang dengan saudara kita.
Kadang-kadang kita selalu memandang kesalahan orang tanpa kita sedari bahawa kita sendiri rupanya ada salah. Bercakap terlalu banyak tentang itu ini yang orang lain perlu lakukan. Padahal diri sendiri terlupa untuk melaksanakan. Alangkah malunya menjadi manusia yang sentiasa mahu membersihkan kotoran di baju orang sedangkan baju sendiri tidak dibersihkan. Janganlah begitu. Sekarang inilah masa untuk kita praktikkan pelajaran akhlak yang kita belajar semasa zaman darjah satu dua tiga dulu.
Kita semua mampu untuk melakukannya. Masalahnya sekarang kita tak punya semangat untuk melakukannya. Itulah perlunya saudara yang saling menguatkan dan mengingatkan dengan perkara kebenaran dan kesabaran. Berhikmah adalah yang paling terbaik. :)
"Aku melakukan kebaikan terhadap orang bukan kerana dia itu semata, tetapi kerana aku melihat adanya Allah pada sesiapa yang aku temui dan aku faham kerana Allah juga aku diciptakan"
#Dhadilah wong sing kanggo gawe, sing jowo. Ojo dhadi wong sing rak kanggo wae sing nyesel-nyesel ae ning dunyo karo nyesekki moto.
Sekian, Wallahualam..