MUTIARA KEHIDUPAN
Assalamualaikum wbt.
17 Julai semua orang tahu bagaimana berlakunya tragedi kapal terbang MH17. Semua yang ada telahpun mati. Tiada yang tersisa nyawa. Maka, ramailah orang berduka. Kehilangan orang yang tersayang memang sangat menyakitkan. Aku juga pernah merasai kehilangan orang yang tersayang. Betul, ia sangat menyakitkan. Ubatnya, yakin dengan taqdir bahawa kita datang dari Allah dan kepadaNya juga kita kembali.
Tanah perkuburan di Jerantut - during fieldwork
Membaca akhbar tempatan, setiap hari ada tragedi kemalangan yang meragut nyawa. Kita semua akan pergi. Cepat atau lambat saja bezanya. Kita sedang menunggu giliran. Giliran untuk bertemu Tuhan. Menghitung hari bilakah bakal dijemput ke hadratNya.
Kadang aku terfikir-fikir dan membayangkan. Bagaimana menjadi orang yang telah mati. Berada di dunia barzakh. Bagaimanakah keadaannya? Berbaring di atas tanah dengan keadaan mengiring di lambung kanan. Menghadapkan muka kearah kiblat dan ditutupi tanah. Tinggal sendiri. Sunyi, gelap dan sempit. Saat itu baru kita tahu apa yang sepatutnya dilakukan dan apa yang tidak patut dilakukan semasa hidup di alam dunia.
Hati manusia yang dijadikan Allah berbolak balik. Kadang tinggi sekali tahap kesedarannya. Kadang menjunam jatuh. Lupa segala perkara baik yang perlu dilakukan. Kadang begitu dekat sekali dengan Tuhan. Kadang begitu jauh sekali untuk mencapai rahmat Tuhan itu dan merasa kecewa. Saat hati insaf, terasa sangat dekat denga kematian dan jelas sekali tujuan hidup. Begitulah putaran kehidupan.
I refuse to give up!
Manusia biasa bilamana berada dalam kesibukan. Tak kira kesibukan dengan kerja atau berkumpul bersama keluarga atau teman-teman akan sering lupa tentang keberadaan Tuhan dalam hati. Bilamana berada dalam keadaan yang sunyi dan bersendirian pasti akan datang rasa duka yang mencengkam hati nurani. Saat itu memang sangat perlu kepada Tuhan. Ada ruang-ruang kosong dalam hati yang memerlukan nafas untuk diisi.
Percaya dengan janji Allah bahawa kebaikan yang sekecil zarah itu pasti akan dibalas. Tidak mengambil enteng tentang segala apa jenis kebaikan yang dilakukan. Menjaga hati dari perasaan buruk sangka dan sering tidak bahagia dengan kelebihan yang diberi kepada orang lain. Tidak terlalu cinta kepada kehidupan dunia. Dunia yang semakin dikejar, akan kelihatan semakin jauh. Dan tidak memberi apa-apa kepuasan.
Seiring dengan pertambahan usia kita kenapa tidak tanyakan sudah berapa banyak kebaikan yang aku lakukan? Sudah berapa banyak usaha untuk menghapuskan dosa lalu? Sudah berapa banyak? Lakukan usahamu dengan sungguh-sungguh. Allah tahu usahamu dan Allah tahu keperitanmu dalam kegigihan melawan kesedihan dan kedukaan di sepanjang jalan kehidupan.
Buahkan mutiara-mutiara indah dari jejak-jejak jalanmu. Biarkan orang lain mengaut hasil kebaikan yang kau tinggalkan itu. Hidup tidak akan rugi. Tidak akan rugi. Selagimana kau sematkan rasa percaya dan rendah diri bahawa dunia ini hanya persinggahan.Tempat tinggal abadi adalah kampung akhirat.
life goes on..and on and on and...till we meet again in jannah :)
Mungkin ada orang yang merasakan bahawa kata ini seolah-olah berada di awang-awangan. Tidak menjejak dunia nyata. Tapi usah pedulikan semua itu. Jika benar kita mahukan kebaikan, pasti kita akan menemuinya walau di mana sahaja kebaikan itu berada dan dari siapa ia di sampaikan. Aku bukan ulama yang boleh memetik dalil sesaat sahaja. Aku juga bukan pakar berkata yang boleh memukau orang dengan kata-kata yang menarik hati.
Aku cumalah aku yang punya watak sendiri. Punya cara sendiri untuk menyampaikan sesuatu yang apa aku rasa. Aku ingin kongsikan segala perasaan yang ada ini. Asalkan aku rasa perkara ini boleh memberi kebaikan kepada orang lain tak pun boleh memberi nasihat kepada diri sendiri di kala aku sedang jatuh.
Kata-kata ini tidak semestinya benar dan perlu untuk diikuti. Cuma aku menyeru, marilah kita berhidup dengan sebenar-benar erti kehidupan dengan memandang semua perkara adalah pelung untuk dilakukan kebaikan.
Sekian, Wallahualam..