top of page

MUSAFIR DI BULAN RAMADHAN

  • 7 Jul 2014
  • 3 min membaca

Assalamualaikum wrt wbt..

Hari kedua di bulan Ramdhan kami gagahkan menuju ke salah sebuah masjid di Pahang. Kami ini musafir. Bukan asal anak negeri Pahang. Tempat ini dirasakan semuanya serbi serbi baharu dan serba serbi tidak tahu. Tapi masjid yang bakal kami tuju ini sudah diketahui lokasinya. Maka kami pergi dengan harapan ia ada menyediakan juadah berbuka puasa untuk kami para musafir ini.

Kalau ada anak nanti nak bawa semua ke masjid & surau hari-hari (comelnya diorang :) )

Perjalanan lebih kurang 15 minit melalui jalan lampu isyarat. Masyakarat disitu memandang kehairanan kepada kami. Iyalah, kami berempat anak gadis berjalan kaki di waktu petang. Mahu kemanalah agaknya. Tapi kami membuat muka tidak berperasaan. Kita orang mendatang mesti pandai membawa diri. Rumah sewa yang diduduki agak mahal juga. Kalau berbuka puasa di masjid mudah-mudahan dapat berjimat cermat. Wang yang ada boleh digunakan untuk keperluan lain. Manfaat rezeki yang ada di masjid jangan dibiarkan begitu sahaja.

Di masjid makanan yang ada sederhana sahaja. Tapi ia sudah cukup membuatkan kami rasa bersyukur yang tidak terhingga. Ada air teh tarik dan kuih muih. Pertama kali dalam hidup berbuka puasa di perantauan sangat mengujakan. Makcik-makcik di sana sedar bahawa kami ini orang baharu dan bukan orang asal Pahang. Syukur Allah memberi peluang untuk bersilaturrahmi sesama muslim. Baru terbuka fikiran bila dapat berbicara dan bertukar-tukar khabar tentang negeri baru yang kami diami.

berjalan menuju ke masjid

Azan sudah berkumandang, hidangan yang tersedia dijamah dengan penuh rasa syukur. Mudah-mudahan Allah memberi berkat kepada rezeki ini dan memurahkan rezeki kepada orang yang bersedekah makanan ini. Makanan yang dimakan ini terasa sangat nikmat. Apatah lagi ia percuma dan perut pun ketika itu sudah sedia lapar. Makanan yang ada lebihan boleh dibungkus dalam bekal pula. Wah, beruntungnya! Itulah rezeki para musafir di bulan Ramadhan yang berkat.

Solat tarawikh itulah penyeri Ramadhan. Kemeriahan ramadhan terasa sekali dengan melakukan ibadah tarawikh secara berjemaah di masjid atau surau. Sebelum kehadiran waktu solat Isyak, masa yang ada diisi dahulu dengan tadarus al-Quran. Cuba menghayati makna kalimah Allah ini.

Berkenalan dengan seorang makcik yang bernama Makcik Jah atau nama sebenarnya Khatijah, sangat mengusik nurani. Penuh dengan rasa lucu dan tertarik. Makcik Jah umurnya dalam 60-an sudah tujuh tahun berbuka puasa di masjid Sultan Ahmad Shah ini. Katanya dia sering berbuka dimasjid ini. Anaknya yang mengahntarkannya di masjid ini. Ditanya, kenapa anaknya tidak mahu ikut serta berbuka puasa bersama makcik. Dia menjawab, anak bujangnya itu segan selalu.

kalau bulan-bulan biasa ramainya macam ni kan bagus :)

Jadi anaknya hanya mahu mengahantarnya sehingga ke dalam masjid sahaja kemudian pulang kerumah berbuka bersama adiknya. Maka begitulah rutin Makcik Jah berbuka puasa di masjid dan terus menunggu sehingga selesai solat tarawikh. Terpulang pada dia mahu melakukan 20 rakaat ataupun 8 rakaat. Ibadah sunnat yang membutuhkan keihkhlasa hati jika mahu ianya diterima oleh Allah.

Pulang dari masjid juga berjalan kaki. Orang ramai tertoleh-toleh kepada kami. Siapakah gerangan anak gadis yang berjalan kaki diwaktu malam ini. Berkain telekung putih. Mujur bulan Ramadhan kalau tidak mesti disangkanya hantu! Perjalanan pulang tidak terasa letih bila diselangi dengan bicara ringan bersama sahabat semusafir. Tiba di rumah melebar senyuman kerana puas hati kerana hari ini berjaya menyempurnakan ibadah ramadhan di rantau orang.

Malam ini ditekadkan azam baru untuk melaui bulan ramadhan dengan lebih bersemangat lagi. Berbuka di masjid lagi esok. Kalau hari-hari dapat makan bubur lambuk pun tak mengapalah. Rezeki Allah wajid untuk disyukuri. Ya Allah berkatilah hidup kami sebagaimana Engkau memberkati bulan Ramadhan ini. Kami musafir yang mengharap agar hidup kami sentiasa beroleh keberkatan berterusan walau Ramadhan telah berlalu :)

Sekian, Wallahualam..


 
 
 

Komen


SENARAI POS :

© 2016 Jariku Bercerita - rahimahikhsan.wix.com/jarikubercerita

  • b-facebook
  • Twitter Round
  • Instagram Black Round
bottom of page