FITRAH
Assalamualaikum wbt.
Kabare? Moga waras ya semua :)
Beberapa minggu lepas keadaan cuaca di negara kita tidak berapa bagus. Mulanya cuaca sangat panas membahang. Seolah mahu menghakis kulit. Matahari seolah tiada penapisnya. Cahaya terus sampai ke kepala. Terik! Kemudian, datang pula jerebu menjadikan nafas menjadi sesak. Pemandangan seolah hanya bayang-bayang. Pudar warna alam dicemari asap dan debu. Oh bumiku...
Hujan sudah lama tidak membasahi tanah. Pokok-pokok menjadi layu kehausan minuman dari langit. Banyak juga kawasan yang telah dicatu airnya. Terpaksa menadah air buat simpanan. Sumber utama yang menjadi satu kesusahan sekiranya tiada. Syukur sekali kesusahan itu Allah tidak panjangkan. Kesulitan yang dilalui hanya seketika. Ramai orang tersenyum kembali. Entah ramai jugakah orang yang beryukur? Hujan telah kembali. Pemandangan sudah semakin terang. Air sudah kembali seperti sediakala. Sedikit saja kita diuji, tapi ramai yang sudah tak tahan.
Aku tahu, kesusahan yang seketika itu sebenarnya harga yang harus kita bayar kerana kesalahan kita. Mungkin bukan kesalahan semua orang. Hanya kesalahan sebahagian orang sahaja. Tapi, kesannya harus dilalui oleh semua orang. Kemodenan telah membuatkan kita lupa asal usul kitakah? Kita mulia dengan kemajuan yang telah kita capai. Tapi janganlah sampai kita melupakan rumah tinggal kita. Bumi kita, diciptakan untuk memudahkan kita. Kita tak perlu mengubahnya. Ia sedia ada untuk menjadikan kita mudah untuk meneruskan hidup.
Tapi ramai orang telah dilalikan dengan istilah kemajuan dunia yang meninggalkan alam semula jadi sehingga ia langsung tidak dipelihara dan disayangi. Seolah alam semula jadi itu mereka tak perlukan langsung dek kerana selesa dengan semua peralatan kemajuan yang telah dicipta. Padahal tak boleh tidak kita pasti akan kembali memerlukan alam semulajadi yang telah dicipta oleh Allah. Semua itu sebab fitrah.
Penceamaran yang banyak terjadi di bandar yang sedang membangun membuatkan aku rindu suasana hening alam. Aku rindu pada pokok. Aku rindu suasana sejuk pagi. Aku rindu melihat embun. Melihat tanah merah basah. Aku rindu alam semula jadi. Aku suka alam ini hijau. Alam semula jadi itu penuh dengan ketenangan. Ia seolah-olah sentiasa tersenyum walaupun ia tidak pernah mengeluarkan suara. Ia seolah menyeru-nyeru aku supaya pujilah pencipta alam. Bersyukurlah pada yang menghadiahkan keindahan ini. Cantiknya alam ini.
Kecantikan alam semula jadi ini menjadikan aku ingin sekalu merakan setiap detik susana yang indah. Mahu kutatap di setiap saat aku berada. Tapi tak mungkin dapat kulakukan semua itu. Ini kerana aku bukan hidup di dunia khayalan. Aku hidup di dunia nyata yang sudah tentunya ada manusia yang mempunyai sisi baik dan tidak. Aku belajar menerima hakikat hidup yang tidak sentiasa baik yang kudapat. Tidak semua orang tahu menghargai alam.
Manusia dan alam memang tak kan mampu untuk terpisah. Walaupun sejauh planet Marikh kita mahu melarikan diri tetap kita membutuhkan Bumi sebagai tempat tinggal kita yang paling serasi. Itulah tempat asal kita, Jangan sesekali lupa perkara sepenting ini.
Pesanan kepada semua. Tolonglah jaga bumi kita ni. Kalau bukan kita manusia, siapa lagi yang boleh diharapkan. Takkanlah kita mahu suruh kambing, lembu, arnab dan ayam semua tu untuk jaga alam kita sendiri. Tolong sayang alam ni sebab kita perlu kepadanya. Kalau mahu hidup tenang, jagalah bumi ni. Terima kasih :)
Sekian Wallahualam :)