top of page

AZURA (bukan nama sebenar)

Assalamualaikum.

Bulan lepas, aku pulang ke kampung sempena cuti semester. Taqdir Allah yang indah telah mempertemukan aku dengan Azura. Aku tidak kenal Azura. Hanya kebetulan Allah pertemukan aku dengannya di satu tempat dan di satu masa yang aku rasa tak penting untuk di beritahu.

Oleh kerana ketika itu aku duduk disebelah Azura, aku rasa tidak sopan jika tidak menyapanya yang aku kira dia orang Islam walaupun tidak bertudung. Walaupun mulanya aku malas mahu memulakan bicara tapi batinku tidak tenang kerana aku faham bahawa Islam suka kepada orang yang menghubungkan persaudaraan sesama manusia.

Bermula dengan berbasa basi, aku bertanya dia mahu ke mana, orang mana, belajar di mana. Bersyukur kerana Azura seorang yang mesra. Mudah untuk aku bertanya selanjutnya dengan tidak segan-segan. Azura rupanya telah tamat belajar dalam bidang fisioterapi. Dia datanga ke Kuala Lumpur kerana mahu menyelesaikan urusan studinya yang mempunyai masalah dalam pentadbiran. Sepatutnya dia sudah boleh graduasi tapi sehingga kini dia tak juga bergraduasi.

Aku kira Azura seorang yang jujur. Dia berani-berani meluahkan hal peribadinya kepada aku yang boleh dikira orang asing yang tiada kaitan langsung dalam hidup dia. Bermula dengan dia menyatakan bahawa di mudah terpengaruh dengan kawan-kawan. Lagi-lagi dia dulu belajar di institut pendidikan swasta yang sangat mencabar dari sudut sosial. Hidup dalam persekitaran yang penuh dengan keseronokan hidup. Azura bercerita bagaimana dia mula pandai tidak bertudung dan memerangkan rambutnya. Aku faham anak gadis sepertinya suka kepada fesyen dan mahu dilihat cantik walaupun caranya salah.

Dia juga bercerita tentang zaman dia sekolah dulu, bagaimana dia belajar bahasa arab. Dia pernah menghafal doa-doa yang sehingga sekarang ada yang dia masih ingat. Aku tidak bercadang untuk bercerita lebih tentang diriku. Aku lebih berminat untuk mendengar.

Azura kemudian semakin berani bercerita lebih dalam tentang keluarganya bila aku yang suka berbasa basi bertanya tentang keluarganya. Aku tidak tahu adakah benar atau tidak cerita Azura itu. Tapi aku berharap ia benar kerana hatiku kuat menyatakan bahawa dia adalah seorang yang jujur. Mungkinkah kerana cerita yang Azura kongsi itu bukan cerita yang baik untuk dikongsi. Cerita itu adalah sati keaiban yang mana kalau aku menjadi dia lebih baik aku simpan di dalam hati sahaja. Aku beranggapan kalau itu bukan kisah benar, apa manfaat yang Azura peroleh daripadanya.

Hidup Azura sejak kecil penuh dengan sejarah yang hitam pekat. Aku sebenarnya tidak mahulah untuk berkongsi kisahnya yang tidak menggembirakan. Tapi, aku kira mungkin ia mengandungi seribu pengajaran yang boleh dikutip. Azura, semasa kecil telah dirogol oleh datuknya sendiri. Kecewa aku mendengarnya. Dia yang masih kecil dulu tidak faham. Dia juga takut diapa-apakan jika melawan. Rasa kesakitannya itu dia tanggung sendiri. Dia simpan kemas-kemas rahsianya daripada keluarganya. Mungkin datuknya mengancamnya jika membongkarkan rahsia ini.

Sehinggakan dia menginjak sekolah(aku tidak ingat sekolah rendah atau menengah) perbuatan terkutuk itu masih berterusan. Apabila dia sudah dewasa, jiwa bebasnya mahukan hiburan. Dia sering keluar dengan lelaki. Hal tersebut tidak disenangi ayahnya yang panas baran. Aku tidak ingat bagaimana rahsianya dirogol datuknya terbongkar. Aku cuma ingat yang dia bergaduh dengan ayahnya dan waktu itu terlerai semua rahsia yang selama ini melakukan sesuatu perkara yang tidak elok itu adalah ayah kepada ayahnya sendiri.. Ayah Azura terduduk. Oleh kerana tidak mahu membuka aib keluarga hal itu tidak dilaporkan kepada pihak polis. Ia hanya didiamkan sahaja. Tidak ada keadilan bagi Azura.

Azura juga bercerita, ayahnya ada menjalin hubungan sulit dengan seorang ustazah yang merupakan isteri orang. Aku juga tidak tahu ia benar ataupun tidak. Azura menyatakan bahawa ibunya tidak syak apa-apa. Mungkin ibu Azura seorang wanita yang baik hati. Entahlah. Susah untuk aku faham. Sehingga Azura sendiri, mengetahui bahawa ayahnya dan ustazah tersebut telah menjalani hubungan terkutuk sehingga melahirkan anak luar nikah. Astaghfirullahal 'azim .Ia diketahui lewat mesej yang tidak sengaja di baca oleh Azura. Azura telah dihalau oleh ayahnya. Hubungan Azura dengan ayahnya tidak baik disebabkan perkara itu.

Azura, Azura, Azura. Dia telah menjadi seorang yang putus harapan kerana peristiwa-peristiwa itu. Allah tidak sayang diakah? Aku menyatakan pada dia, Allah beri ujian pada Azura adalah kerana orang itu adalah Azura. Kalau ia adalah aku, belum tentu aku mampu bertahan sehingga sekarang. Azura kata, dia teringin memakai tudung. Dia tunjukkan gambarnya bertudung di telefon bimbit kepada ku. Aku menyokong semangatnya untuk berubah kearah yang lebih baik. Nasihatku padanya berubahlah sedikit demi sedikit. Jangan terlalu drastik. Diri sendiri juga perlu masa untuk fahan dan serasi dengan perubahan yang dilakukan. Apa yang penting niat yang ikhlas.

Perbualan terhenti apabila masing-masing sudah agak letih dan mengantuk. Setelah perbualan panjang tersebut, aku berfikir-fikir banyak kali. Kita hidup mesti selalu bersyukur. Selalu berdoa pada Allah moga Allah beri perlindungan daripada perkara-perkara yang tidak baik. Aku mohon sangat-sangat agar dijauhkan dari ujian yang begitu berat sebagaimana yang dialami oleh Azura. Kita sememangnya tidak tahu akhir nasib kita. Tapi, kita masih dianugerahkan rasa dan harapan untuk mendapat hidup yang lebih baik. Kita mahu menjadi lebih baik. Allah sengaja mempertemukan aku dengan Azura supaya aku menghayati dan mensyukuri bahawa hidupku atau nasibku sebenarnya lebih baik dari Azura. Bagaimana Allah mengajar aku bahawa di celah-celah dunia ini sentiasa ada rahmat dan kasih sayang Allah yang harus difahami. Walaupun tidak semua orang mampu untuk memahami tapi sekurang-kurangnya cubalah berusaha untuk memahami.

Telah jelas antara hak dan yang batil dalam hidup ini. Hidup kita pilihan kita. Kadang-kadang dalam satu-satu waktu, kita tak punya kekuatan dalam membuat pilihan yang terbaik dalam hidup. Mujur kita masih ada Allah yang sentiasa menjadikan kita sentiasa ada peluang untuk memperbaharui semangat untuk meneruskan hidup. Hari ini milik kita. Kitalah yang berhak menentukan hala tuju hidup kita hari ini. Maka, nasihat untuk diri sendiri juga, jadikan sekarang adalah lebih baik dari tadi. Moga Allah redha dengan tingkah laku kita.

Sekian, Wallahu'alam :)


SENARAI POS :
bottom of page