top of page

MATAHARI

Assalamualaikum wbt.

Sistem suria mempunyai keluarga yang besar. Terdiri daripada ahli-ahli yang berbeza jenis dan fizikal. Senarai adik beradik sistem suria adalah planet, komet, asteroid, meteor, bulan dan sebagainya. Matahari juga adalah salah seorang daripada ahli keluarga sistem suria. Dia adalah yang paling gagah dan besar berdasarkan jisimnya.

Matahari sebenarnya merupakan sebuah bintang yang terdiri daripada gas helium dan hidrogen. Menghasilkan tenaga hasil daripada pelakuran nuklear di dalam terasnya. Tenaga itu dapat dilihat oleh manusia sebagai cahaya. Padanya terdapat pembahagian lapisan-lapisan iaitu, kerak, zon perolakan, zon pelakuran dan teras. Menurut kajian saintis, cahaya daripada matahari yang diterima oleh manusia di bumi adalah cahaya 8 minit yang lalu. Ia menunjukkan jauhnya jarak antara bumi dan matahari sehinggakan kita hanya akan merasai cahaya matahari lapan minit yang lalu.Jarak purata - 149,680,000 km.

Namun begitu, matahari sebenarnya adalah bintang yang paling hampir dengan bumi. Oleh kerana itu manusia merasai kehangatan cahayanya kerana ia berada dekat dengan kita. Bintang-bintang lain walaupun ia turut panas tetapi kita tak mampu untuk merasai hangat cahaya daripadanya.

Sebagai manusia yang bersyukur, kita patut tahu apa manfaat matahari kepada manusia. Hikmah matahari dijadikan kepada umat manusia yang paling utama adalah sebagai rahmat dalam menentukan waktu. Waktu adalah teramat penting dalam hidup manusia. Seorang muslim yang dijadikan untuk beribadah kepada Allah taala tentunya perlu menentukan waktu untuk beribadah. Matahari adalah panduan umat Islam dalam menentukan waktu solat yang lima.

Selain itu, penentuan arah juga bergantung dengan matahari dan bintang yang lainnya. Berdasarkan kedudukan matahari kita boleh menentukan arah sesuatu tempat. Ini kerana, matahari bergerak dalam orbit yang tetap dalam satu tahun.

Matahari juga menerangi kegelapan bumi di waktu siang. Betapa besarnya peranan matahari kepada kita. Bagaimana agaknya kehidupan manusia tanpa bergantung kepada pelita matahari. Ia umpama lampu di malam hari. Urusan seharian manusia menjadi mudah dengan terangnya bumi oleh sinar matahari. Ia adalah nikmat yang mungkin tidak disedari oleh manusia kerana hari-hari kita menikmatinya secara percuma. Alhamdulillah :)

Matahari punya kitaran tersendiri iaitu 11 tahun kitaran. Ia dikelaskan sebagai kitaran maksimum dan minimum. Matahari berada di tahap maksimum bermaksud matahari sedang dalam keadaan aktif. Manakala tahap minimum pula adalah sebaliknya. Antara cara untuk mengetahui bagaimana aktifnya matahari itu adalah dengan mengira kadar tompok matahari yang tedapat di permukaan matahari. Semakin banyak tompok matahari yang wujud menunjukkan bahawa matahari sedang dalam keadaan yang aktif.

Keaktifan matahari memberi petanda yang tidak baik bagi manusia di bumi kerana pada bila-bila masa bumi akan terdedah kepada bahaya. Sekiranya sebahagian daripada jasad matahari- coronal mass ejection (jisim matahari yang terlepas dari graviti matahari) terkena di bumi maka bumi mungkin akan ditimpa bencana kemusnahan. Namun, kerana kebijaksanaan Sang Pencipta bumi terlindung oleh medan magnetnya daripada ancaman marakan suria dan lapisan ozon juga melindungi daripada sinaran berbahaya (ultra violet dan infrared).

Antara bencana daripada matahari yang pernah dialami oleh bumi ialah, musnahnya sistem satelit yang menjadi punca kepada kemudahan manusia (telekomunikasi- radio,tv dan radar). Sekiranya terlalu tinggi tenaga elektrik yang menimpa bumi, kabel elektrik mungkin boleh termusnah (contoh: transformer meletup di Quebec, Kanada). Kesulitan yang besar mungkin dialami oleh manusia sekiranya ia berlaku. Maka dengan itu, para saintis sentiasa memerhatikan aktiviti harian matahari ini sebagai langkah berjaga-jaga. Namun, kemusnahan mungkin hanya dapat dikurangkan tapi ia semestinya tidak dapat diatasi/dielakkan sekiranya ia menimpa bumi.

Bencana apapun yang akan tertimpa kepada kita ianya menjadi rahsia Allah taala. Apa yang penting adalah bagaimana kita bersiap siaga terhadapnya. Bencana daripada matahari mungkin hanya secebis gambaran hari kiamat yang akan mendatangi manusia. Sebagai manusia yang dikurniakan fikiran, bersyukurlah dengan manfaat penciptaan matahari yang indah tercipta. Tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu sia-sia (Ad Dukhaan [44] : 38-39).

Kerana manusia itu tercipta lemah, maka banyaklah kerosakan yang dilakukan. Bencana dari matahari itu juga mungkin sebagai peringatan. Maka, hiduplah di muka bumi dengan tidak sia-sia kerana kita dikurniakan aqal fikiran yang membezakan kita dengan haiwan. Akhir kata, jangan lupa untuk bersyukur walau hanya dengan mengucapkan lafaz alhamdulillah :).

"Alhamdulillah, terima kasih ya Allah."

Sekian, Wallahu'alam.


SENARAI POS :
bottom of page